Wednesday, 30 October 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 28 Rabiul Akhir 1446H☆


لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آَمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا


"Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik" [Surah al-Maidah 82]


#Permusuhan mereka iaitu Yahudi dan musyrikin teramat besar terhadap Islam dan umatnya sehingga sampai ke tahap mereka berusaha untuk membunuh umat Islam. 


#Sejarah menceritakan pada kita bagaimana mereka cuba untuk membunuh Rasulullah saw dan juga mereka berjaya membunuh sahabat-sahabat nabi saw. Jom kita telusuri beberapa kejahatan mereka terhadap sahabat nabi saw. 


#Ibn Sa’ad dan al-Hakim dengan sanadnya yang sahih meriwayatkan daripada Ibn Syihab bahawa Sayidina Abu Bakar dan al-Harith memakan daging kecil yang dihiris-hiris, yang dituangkan air di atasnya, yang dihadiahkan kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq. Al-Harith berkata kepada Sayidina Abu Bakar: "Wahai Khalifah Rasulullah saw, angkatlah tanganmu kerana sesungguhnya di dalamnya ada racun. Sesungguhnya engkau dan aku akan mati pada hari yang sama". Beliau kemudian mengangkat tangannya. Dan keduanya sakit hingga akhirnya mereka mati pada hari yang sama di akhir tahun. (Lihat: Tarikh al-Khulafa’)


#Diceritakan bahawa ketika Sayidina Umar bin al-Khattab r.a sedang meluruskan saf solat kaum Muslimin seperti kebiasaannya setiap hari untuk mendirikan solat Subuh, dan apabila hendak bertakbir untuk solat, seorang lelaki bernama Abu Lu’lu’ah al-Majusi datang dengan sebilah belati beracun lalu menikamnya beberapa kali, memutuskan ususnya, dan dengan sebab itu beliau jatuh rebah tidak sedarkan diri. Para sahabat yang berada di situ cuba untuk menangkap Abu Lu’lu’ah, tetapi dia membunuh sebahagian daripada mereka, dan salah seorang daripada mereka datang kepadanya dari arah belakang lalu melemparkan jubah kepadanya dan menjatuhkannya. Maka Abu Lu’lu’ah menikam dirinya sendiri dengan belati yang sama yang membunuh Sayidina Umar dan dia meninggal dunia di tempat kejadian. Setelah itu, para sahabat membawa Sayidina Umar yang masih tidak sedarkan diri ke rumahnya. Apabila beliau sedar, lantas beliau bertanya kepada mereka berkenaan pelaksanaan solat Subuh dan kemudian barulah beliau bertanya tentang pembunuhnya, dan mereka menjawab: “Abu Lu’lu’ah”. Terdapat beberapa riwayat berkenaan tarikh kewafatannya. Ada yang berpendapat, kejadian itu berlaku yakni beliau ditikam pada hari Rabu bersamaan 26 Zulhijjah. Ada juga yang berpendapat, beliau ditikam pada 27 Zulhijjah dan hidup selepas kejadian itu selama tujuh hari, dan ada yang berpendapat selama tiga hari. (Lihat: Syahid al-Mihrab al-Faruq Umar bin al-Khattab r.a oleh ‘Abd al-Salam bin Muhsin)


#Pada hari terakhir pengepungan, sebelum dibunuh, Sayidina Uthman r.a tertidur. Pada waktu pagi, dia menyebut: “Sesungguhnya pemberontak ini akan membunuhku”. Kemudian beliau berkata lagi: “Dalam tidurku, aku bermimpi melihat Nabi saw. Baginda ditemani oleh Abu Bakar dan Umar r.huma. Baginda saw berkata: ‘Wahai Uthman, berbukalah bersama kami'. Oleh sebab itulah, pada waktu pagi harinya Sayidina Uthman berpuasa, dan pada hari itu juga beliau dibunuh. (Lihat: al-Tabaqat)


#Sayidina Uthman meninggal dunia (dibunuh) pada 8 Zulhijjah tahun 35 Hijrah menurut pendapat yang masyhur (Lihat: al-Bidayah wan Nihayah) 


♡Yahudi dan musyrikin sangat kuat memusuhi Islam. Mereka sepatutnya diperangi bukannya dijadikan sahabat dan rakan kongsi. Malangnya masih ada pemimpin kaum Muslimin yang membuat perjanjian dan mengambil mereka sebagai wali (pemimpin, pelindung, penolong, pembantu) dan orang kepercayaan. Masih ada pemimpin umat Islam yang berbaik dan berjabat tangan dengan golongan terlaknat ini dan menolong mereka membunuh saudara-saudara seIslam kita di Palestin. Insafilah!!♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah






No comments:

Post a Comment

  PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Doa Apabila Sakit  عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: أَنَّهُ...