Sunday, 27 July 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 2 Safar 1447H☆


وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 


"Juga saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan saling nasihat-menasihati  kepada kesabaran" [Surah al-Asr 3] 


#Maksud saling berpesan dengan kebenaran ialah: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya. Manakala maksud saling berpesan dengan kesabaran pula ialah: Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah" (Lihat: Tafsir at-Tabari dan Tafsir al-Qurtubi)


#Islam ialah agama sempurna yang memiliki mekanisma semak dan imbang dalaman tersendiri. Sayidina Abu Ruqayyah Tamim ad-Dari r.a meriwayatkan Nabi saw bersabda: "Agama itu ialah nasihat". 


#Dalam hal ehwal menasihati pemimpin, ia boleh berlaku dalam banyak kaedah:

1. Daripada yang atas kepada di bawah seperti nasihat dan teguran Allah swt kepada Nabi saw

2. Nasihat daripada orang bawah kepada pemimpin tinggi seperti sahabat menasihati Baginda saw atau ulamak menegur pemerintah. 

3. Orang awam menasihati khalifah.


#Terpahat dalam ayat 1 hingga 4 surah 'Abasa bahawa sebab turun ayat ini adalah kerana Nabi saw didatangi seorang buta, iaitu Sayidina Abdullah Ibnu Ummi Maktum r.a yang ingin bertanyakan hal agama, namun Nabi saw tidak melayannya kerana ketika itu Baginda sibuk berdakwah dengan pemimpin kafir Quraisy seperti Walid Ibnu al-Mughirah dan amat berharap mereka akan memeluk Islam. Lalu, Allah swt menegur Nabi saw atas sikap itu sedangkan hidayah milik Allah jua.


#Begitu juga, ketika Baginda saw mengatur strategi dalam Perang Badar, Nabi saw dinasihati pakar strategi peperangan, Sayidina Khabab Munzir r.a apabila mendapati Baginda bercadang berkhemah di suatu tempat agak jauh dari sumber air, lalu beliau bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah tempat ini pilihan wahyu daripada Allah swt atau dasar strategi perang?". Nabi saw menjawab: "Tidak, bukan (wahyu) daripada Allah swt tetapi ini hanyalah strategi kita sahaja." Lalu, Sayidina Khabab pun mencadangkan tentera Islam bergerak lebih ke hadapan berdekatan telaga air dan dipersetujui oleh Nabi saw.


#Sejarah mencatatkan ketika Sayidina Umar al-Khattab r.a dilantik menjadi khalifah, beliau dengan lantang menyeru agar ditegur jika menyeleweng dengan berkata: "Sesiapa antara kamu melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka luruskanlah." Maka, bangun seorang lelaki Arab Badwi berkata dengan berani: "Demi Allah wahai Umar, sekiranya kami mendapati kamu menyeleweng, nescaya kami akan luruskan kamu dengan pedang kami yang tajam ini" Lalu Sayidina Umar menjawab: "Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt yang menjadikan dalam kalangan umat Nabi Muhammad, mereka yang sanggup meluruskan Umar dengan pedangnya"


#Sheikh Abdul Aziz al-Badri menyebut pelawaan Sayidina Umar itu suatu kesediaan dan pelawaan jelas untuk 'dikritik' serta sebagai proses muhasabah dalam pemerintahan Islam. Beliau berkata: "Ajaran Islam mewajibkan pemimpin dilantik memimpin umat Islam agar mendengar sesiapa mengkritik dan berlapang dada (menerima kritikan) seperti diperintahkan untuk akur dengan kritikan berkenaan sekiranya bertepatan dengan hukum Islam. Islam juga melarang daripada mengenakan apa jua hukuman yang boleh menyakiti mereka yang mengkritik, sekalipun kritikan itu kata-kata keras dan tajam" (Lihat:  al-Islam Bayna al-Ulama' Wa al-Hukkam) 


♡Islam menganjurkan bersikap berani menasihat, menegur dan mengkritik secara membina pemimpin kerana dengan cara itulah kesilapan serta kesalahan yang mungkin tidak disedari pemimpin akan dapat dibetulkan. Ia sikap murni apabila terbit daripada hati jujur dan bersih yang inginkan mencari keredaan Allah swt semata-mata♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...