Sunday, 27 August 2023

 PEMBAHAGIAN JENIS KASYAF


Kasyaf ialah bahasa arab yang bermaksud tersingkap atau terungkap. Istilah kasyaf sering dipakai dalam dunia tasawuf sebagai sebuah karomah (perkara aneh atau yang mencarik adat dan berlaku kepada selain para nabi). Karomah ini berlaku dalam banyak keadaan dan kasyaf adalah salah satu karomah.


Kasyaf ialah satu keadaan di mana Allah membuka atau menyingkap rahsia sesuatu yang terhijab seperti alam jin, alam malaikat ataupun takdir masa hadapan yang tertulis di lauh mahfuz.


Kasyaf terbahagi kepada dua iaitu Kasyaf Rabbani (penyingkapan dari tuhan) dan Kasyaf Syaitani (penyingkapan dari syaitan). Kasyaf Rabbani dikurniakan kepada orang yang Soleh sahaja bertaraf wali manakala kasyaf Syaitani boleh berlaku kepada semua orang samada Soleh atau tidak, berilmu atau tidak, beramal atau tidak, amalkan sihir atau tidak dan ia sebagai ujian dari Allah. Maka untuk mengetahui kasyaf itu Rabbani atau Syaitani, maka perlu merujuk kepada guru sufi bertauliah yang juga dikurniakan kasyaf.


Kedua keadaannya sama iaitu dapat melihat sesuatu yang ghaib atau masa depan. Ia berlalu kepada penilik nasib yang berkhidmat kepada syaitan lalu syaitan pun membisikkan takdir masa depan yang mereka curi lihat di lauh mahfuz pada suatu masa dahulu.


Yang berlaku kepada para wali seperti Imam Abu Yazid ialah kasyaf Rabbani. Mereka boleh melihat Nur dan mengetahui sebahagian daripada takdir dan terhad kepada apa yang Allah khabarkan melalui ilham kewalian.


Ramai sekali pelajar tasawuf yang tertipu dengan kasyaf Syaitani dan menganggap mereka mendapat kasyaf Rabbani, padahal hati mereka masih kotor, penuh ego, sombong, bangga diri, takabur dan lain-lain. Apabila mereka diludah di wajah mereka, muka mereka akan merah padam. Apabila ada yang memanggil mereka bodoh atau malukan mereka, mereka akan mengamuk dan marah. Apabila pendapat mereka tidak dipedulikan, mereka menjadi marah dan terhina. Maka orang seperti ini adalah sufi palsu dan sekiranya mendapat "kasyaf" maka nyatalah kasyaf itu kasyaf Syaitani.


Wallahua'lam, Allah Maha Mengetahui segalanya.

No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...