☆Tadabbur Kalamullah 20 Safar 1447H☆
هُوَ ٱلَّذِیۤ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَاۤءِ مَاۤءࣰۖ لَّكُم مِّنۡهُ شَرَابࣱ وَمِنۡهُ شَجَرࣱ فِیهِ تُسِیمُونَ
"Dialah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya" [Surah an-Naḥl 10]
#Air yang turun dari langit itu adalah air hujan. Banyak sekali Allah swt gunakan ayat-ayat tentang air hujan ini. Ini adalah kerana kita semua memerlukan air hujan ini untuk kelangsungan hidup kita. Jika beberapa minggu sahaja tidak hujan, kita sudah gelisah dan tumbuhan mula kelayuan. Jelas sekali air adalah satu nikmat yang amat besar daripada Allah swt dan kita semua perlu faham tentang nikmat ini, lalu bersyukur pada Allah swt. Namun, jika air hujan turun terlalu banyak, maka boleh memusnahkan dan membinasakan pula.
#Diriwayatkan daripada Sayidina Anas bin Malik, beliau berkata:
"Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat ketika Rasulullah saw sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lelaki itu berkata: Wahai Rasulullah! Harta benda telah binasa dan perjalanan telah terputus laluan-laluan perjalanan (kerana binasanya unta yang digunakan untuk pengangkutan dan kerana ketiadaan makanan yang boleh dimakan di sepanjang jalan), maka berdoalah kepada Allah agar menurunkan hujan kepada kami.
Lalu Rasulullah saw mengangkat kedua-dua tangannya, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ أغِثْنَا، اللَّهُمَّ أغِثْنَا، اللَّهُمَّ أغِثْنَا
"Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami! Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami! Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami"
Sayidina Anas berkata: "Demi Allah, kami tidak melihat di langit sebarang awan atau sekumpulan awan kecil, dan antara kami dan (Gunung) Sila' (iaitu sebuah bukit yang terkenal berhampiran Madinah) tidak ada rumah atau bangunan (yang menghalang pandangan). Maka tiba-tiba muncul awan dari arah belakang bukit seperti perisai. Apabila awan itu sampai di tengah-tengah langit, ia mula tersebar dan kemudian menurunkan hujan.Demi Allah, kami tidak melihat matahari selama satu minggu.
Kemudian, seorang lelaki masuk dari pintu yang sama pada hari Jumaat berikutnya, dan Rasulullah saw sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lelaki itu berkata: "Wahai Rasulullah! Harta benda telah musnah dan telah terputus laluan-laluan perjalanan (kerana padang ragut telah rosak dan tidak dapat digunakan kerana ditenggelami air, lalu binasalah ternakan kerana kekurangan rumput untuk dimakan). Berdoalah kepada Allah agar menghentikan hujan ini daripada kami.
Lalu Rasulullah saw mengangkat kedua-dua tangannya, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
"Ya Allah, turunkanlah (hujan) di sekeliling kami, bukan ke atas kami. Ya Allah, turunkanlah di atas bukit-bukau, kawasan tinggi, lembah-lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok"
Maka hujan pun berhenti, dan kami keluar berjalan di bawah cahaya matahari" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Kita disunatkan mengangkat tangan ketika berdoa meminta hujan (istisqa') dan disunatkan juga berdoa ketika bimbang akan mudharat hujan.
#Ini juga menunjukkan adab Nabi saw dalam berdoa, di mana baginda tidak meminta supaya hujan dihentikan sepenuhnya, tetapi hanya memohon agar diangkat kemudaratannya, dijauhkan dari rumah-rumah, kemudahan awam, serta jalan-jalan, supaya tiada penduduk tetap atau musafir yang terjejas olehnya dan baginda memohon agar hujan terus turun di tempat-tempat yang memerlukannya.
♡Hujan adalah rahmat daripada Allah swt dan juga boleh bertukar menjadi musibah jika turun melebihi had yang diperlukan. Berdoalah memohon rahmat atau juga untuk mengelak mudharat. Contohilah Rasulullah saw ketika berdoa♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
No comments:
Post a Comment