☆Tadabbur Kalamullah 21 Safar 1447H☆
وَٱلَّذِینَ جَاۤءُو مِنۢ بَعۡدِهِمۡ یَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَ ٰنِنَا ٱلَّذِینَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِیمَـٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِی قُلُوبِنَا غِلࣰّا لِّلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَاۤ إِنَّكَ رَءُوفࣱ رَّحِیمٌ
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu" [Surah al-Ḥashr 10]
#Kita digalakkan berdoa untuk saudara kita seMuslim. Dan yang terbaik berdoa kepada saudara seIslam adalah dengan cara diam-diam.
#Doa untuk saudara kita secara diam-diam adalah antara penyebab doa dimakbulkan. Oleh itu, sebahagian salaf apabila hendak berdoa untuk diri sendiri, mereka berdoa untuk saudara mereka secara sembunyi-sembunyi.
#Terdapat hadis Nabi saw tentang kelebihan mendoakan orang lain:
1. Diriwayatkan daripada Sayidina Abu al-Darda’ r.a:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ
"Tidaklah seorang hamba Muslim yang berdoa untuk saudaranya tanpa pengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata:" Dan untukmu juga seperti itu" (HR Muslim)
2. Diriwayatkan daripada Sayidina Abu al-Darda’ r.a:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ، كلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ، وَلَكَ بِمِثْلٍ
"Doa seorang Muslim untuk saudaranya secara diam-diam adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang ditugaskan. Setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: "Amin, dan untukmu juga yang serupa" (HR Muslim)
3. Diriwayatkan daripada Sayidina Abdullah bin ‘Amru r.a:
مَا دَعْوَةٌ أَسْرَعَ إِجَابَةً مِنْ دَعْوَةِ غَائِبٍ لِغَائِبٍ
"Tiada doa yang lebih cepat dimakbulkan daripada doa orang yang tidak hadir untuk orang yang tidak hadir" (HR at-Tirmizi)
4. Diriwayatkan daripada Sayidina ‘Imran bin al-Hussein r.a:
دُعَاءُ الْأَخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ لَا يُرَدُّ
"Doa seorang saudara untuk saudaranya yang lain secara diam-diam tidak akan ditolak"
(HR al-Bazzar. Dhaif)
#Berkata Imam an-Nawawi rahimahullah: "Ini menunjukkan kelebihan berdoa untuk saudara Muslim secara diam-diam. Jika seseorang berdoa untuk sekumpulan Muslim, kelebihan ini akan diperolehi. Jika berdoa untuk seluruh umat Islam, zahirnya kelebihan ini juga akan diperolehi. Ada di kalangan salaf apabila hendak berdoa untuk diri sendiri, mereka berdoa untuk saudara Muslim dengan doa yang sama kerana ia akan dimakbulkan dan mereka akan mendapat yang serupa".
#Doa secara diam-diam ini lebih mustajab kerana kerana ia jauh dari riya' dan tujuan-tujuan yang merosakkan atau mengurangkan pahala. Doa yang ikhlas menjadi murni dan niat mencari keredaan Allah menjadi benar, lalu malaikat akan menyertai doanya.
#Imam Abu Bakar al-Turtushi berkata dalam kitabnya al-Dua' al-Ma'thur wa Adabuhu: "Hadis ini memberikan faedah yang besar kerana jika doamu untuk saudaramu dimakbulkan kerana dia ghaib daripadamu, maka kita berharap bahawa doa malaikat untukmu juga akan dimakbulkan kerana kamu ghaib daripadanya"
♡Disunatkan bagi seorang Muslim untuk mendoakan dirinya dan saudaranya dengan kebaikan dunia dan akhirat♡
🐊Ust Naim
Telegram Channel
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook Page:
No comments:
Post a Comment