☆Tadabbur Kalamullah 14 Safar 1445H☆
ٱللَّهُ وَلِیُّ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ یُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ
"Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman)" [Surah al-Baqarah 257]
#Misi Islam ialah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya kebenaran. Inilah kemerdekaan bagi setiap insan. Membebaskan diri daripada belenggu kesesatan dan kesyirikan kepada cahaya kebenaran dan keimanan.
وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةࣰ لِّلۡعَـٰلَمِینَ
"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" [Surah al-Anbiyaʾ 107]
#Ayat diatas menunjukkan bahawa syariat yang diturunkan oleh Allah swt akan membebaskan manusia daripada kegelapan menuju cahaya, dari kegelapan kekufuran ideologi dan sistem sekularisme mahupun sosialisme menuju cahaya iman, iaitu ideologi dan sistem Islam. Inilah kemerdekaan yang sebenar iaitu kembalinya umat Islam ke pangkuan cara hidup Islam sepenuhnya, bukannya mengabdikan diri kepada sistem buatan manusia, cara hidup jahiliyah dan dasar-dasar kekufuran.
#Secara fizikalnya kita nampak umat Islam merdeka dari penjajahan tetapi sebenarnya pemikiran, jiwa dan cara hidup masih lagi dijajah dengan sistem barat. Oleh itu, umat ini memerlukan kemerdekaan pemikiran, jiwa dan cara hidup. Setelah itu, barulah kemerdekaan sebenar dapat dicapai dan dihayati.
#Kemerdekaan adalah sesuatu yang mulia dan dituntut oleh Islam. Kedatangan Islam itu sendiri membawa misi untuk memerdekakan manusia dari ketundukan kepada makhluk dan sistem ciptaan manusia kepada ketundukan secara mutlak kepada al-Khaliq dan seluruh sistemNya.
#Inilah pendekatan dan pendirian yang menjadi jati diri para sahabat yang telah diasuh oleh Rasulullah saw. Inilah juga yang digambarkan dalam jawapan yang dikemukakan oleh Rab’i bin Amir, Hudzaifah bin Mihshin dan Mughirah bin Syu‘bah ketika ditanya oleh Panglima Rustum (Panglima Parsi) secara bergantian pada hari yang berbeza di medan Peperangan Qadisiyah.
#Rustum, Panglima Parsi bertanya: “Apa yang menyebabkan kalian datang ke sini?” Mereka menjawab: “Allah telah mengutus kami untuk membebaskan siapa sahaja yang mahu dari penghambaan kepada hamba (makhluk) menuju penghambaan hanya kepada Allah semata, dari kesempitan dunia menuju keluasannya, dan dari kezaliman agama-agama selain Islam menuju keadilan Islam….” (Lihat: Tarikh at-Thabari)
♡Inilah kemerdekaan sebenar yang dikehendaki oleh Islam. Sesungguhnya, Islam sahajalah yang akan membebaskan manusia dari penghambaan kepada makhluk menuju penghambaan hanya kepada Allah swt semata. Kemerdekaan yang sebenar inilah yang semestinya kita usahakan untuk diwujudkan dalam kehidupan setiap insan, dalam masyarakat dan dalam negara. Salam Kemerdekaan ke-66!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment