Monday, 28 August 2023

 

KKM rampas 93 botol air didakwa zam zam bernilai lebih RM3,000

- Foto hiasan
- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merampas sejumlah 93 botol air didakwa zam zam bernilai lebih RM3,000 dalam operasi khas membabitkan dua serbuan berasingan di Petaling Jaya serta Kuala Lumpur, minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata hasil maklumat daripada beberapa aduan diterima, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) KKM melakukan siasatan dan risikan terperinci sehingga membawa kepada penemuan premis yang menjalankan aktiviti penjualan serta pengedaran air didakwa zam zam.

"Satu operasi serbuan khas telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor pada 23 Ogos lalu. Sebanyak 10 botol (lima liter) air zam zam bernilai RM1,600 dirampas, dan satu notis kesalahan bawah Peraturan 360A (2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dikeluarkan. Lokasi premis itu adalah sebuah pejabat pengurusan di Petaling Jaya, Selangor.

"Operasi khas turut dijalankan di Kuala Lumpur pada 25 Ogos lalu oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Pejabat Kesihatan Cheras. Dalam operasi terbabit, seorang individu didapati menjual produk air zam zam secara tidak sah di premis perniagaan persendirian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. - Foto NSTP
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. - Foto NSTP

"Sebanyak 83 botol (41.5 liter) bernilai RM2,075.00 disita, dan satu notis kompaun RM3,000 dikeluarkan kepada individu terbabit disebabkan kesalahan bawah Peraturan 360A Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata, KKM mengambil serius aduan diterima daripada orang ramai melalui beberapa sumber, termasuk media sosial, berhubung penjualan air didakwa zam zam yang berleluasa kebelakangan ini.

Katanya, isu larangan penjualan air zam zam yang disiarkan Buletin TV3 pada 2020 pernah tular dalam media sosial, malah KKM mengeluarkan kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bagi menjelaskan larangan penjualan air zam zam dalam pasaran serta isu air zam zam tiruan pada 6 Januari 2020, dan kali terakhir kenyataan berkenaan ialah pada 1 Julai 2022.

Beliau menjelaskan, air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub bawah Peraturan 360A Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

"Dalam kes ini, didapati Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan itu kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan," katanya.

Dr Muhammad Radzi memaklumkan hasil aktiviti penguatkuasaan sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zam zam dalam pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

Selain itu, katanya, KKM turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform dalam talian (online), termasuk e-dagang.

"Sejumlah 32 iklan berkaitan penjualan air zam zam telah dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang. Hasil pemantauan dalam media sosial sejak tahun 2021 hingga kini pula, sebanyak 63 iklan air zam zam telah dipadamkan daripada media sosial.

"Bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen, boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun," katanya.

Beliau berkata, KKM menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan membeli air yang dilabel sebagai air zam zam dalam pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan.

"KKM juga memberi amaran dan melarang penjualan air zam zam dalam semua platform sama ada secara fizikal mahupun dalam talian. Mana-mana peniaga atau pengedar yang masih ada stok air zam zam, diarah menghentikan serta-merta penjualan dan seterusnya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

  PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Doa Ketika Ziarah Pesakit عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَس...