https://t.me/tadabburkalamullah/3077
Tadabbur Kalamullah, [Sep 4, 2023 at 00:06]
☆Tadabbur Kalamullah 18 Safar 1445H☆
وَأَنكِحُوا۟ ٱلۡأَیَـٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰلِحِینَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ وَإِمَاۤىِٕكُمۡۚ
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan..." [Surah an-Nur 32]
#Bagi sesiapa yang ingin berkahwin maka hendaklah perkahwinan itu semata-mata kerana Allah iaitu membina rumahtangga yang mengamalkan ajaran Islam, melahirkan zuriat yang baik sehingga mampu memikul amanah dan satu usaha bagi memastikan hidayah Allah swt berterusan dan tersebar ke seluruh alam ini. Firman Allah swt:
ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِن بَعْضٍ ۗ
"(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui" [Surah Aali Imran 34]
#Selain itu, orang yang berkahwin itu juga dikira telah menyempurnakan sebahagian daripada agamanya. Sabda Nabi saw:
إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي
"Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki" (HR al-Baihaqi dan at-Tabarani)
#Malangnya, kebelakangan ini sebahagian manusia memilih tidak berkahwin dan lebih selesa bermaksiat tanpa kahwin. Ini merupakan fenomena yang tidak sihat, sesat dan mengundang kemurkaan Allah swt.
#Disebabkan itu, Rasulullah saw berpesan kepada kaum lelaki supaya mereka berhati-hati atau menjauhkan diri daripada melihat wanita yang bukan mahramnya, berdua-duan dengannya, bercampur baur dengan mereka dan seumpamanya.
#Sabda Rasulullah saw bersabda: "Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan fitnah wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita" (HR Muslim)
#Terdapat satu lagi fenomena pelik di akhir zaman iaitu permasalahan perkahwinan songsang yang merujuk kepada komuniti lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT).
#Daripada Sayidina Abu Musa al-Ash'ari r.a berkata, Nabi saw bersabda: "Tidaklah seorang wanita itu menikmati hubungan dengan seorang wanita lain kecuali mereka berzina. Dan tidaklah seorang lelaki menikmati hubungan dengan seorang lelaki lain kecuali mereka juga (sedang) berzina" (Lihat: al-Mu'jam al-Awsat)
#Allah swt menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, lelaki dengan perempuan dengan jalan perkahwinan yang halal mengikut syarak supaya manusia boleh memperoleh zuriat, memelihara keturunan, sekali gus menjaga akhlak supaya tidak dicemari dengan perbuatan tidak sepatutnya.
♡Berkahwinlah, kerana dengan berkahwin kita berjaya menghidupkan salah satu daripada sunnah Rasulullah saw yang sangat bernilai. Jangan sesekali berzina, kerana itu adalah kegembiraan syaitan dalam merosakkan manusia♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
https://t.me/tadabburkalamullah/3078
Tadabbur Kalamullah, [Sep 5, 2023 at 01:02]
☆Tadabbur Kalamullah 19 Safar 1445H☆
زُیِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَ ٰتِ مِنَ ٱلنِّسَاۤءِ وَٱلۡبَنِینَ وَٱلۡقَنَـٰطِیرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَیۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَ ٰلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)" [Surah Aali-ʿImran 14]
#Dalam ayat ini, Allah swt memulakan cinta syahwat itu bermula dari wanita, sebelum menyebutkan emas, perak, kenderaan dan pertanian. Kenapa wanita? Kerana manusia selalu mencintai dan menganggap indah segala sesuatu yang berkaitan dengan syahwat, fikirannya selalu mengarah kepada syahwat. Allah menyatakan kecintaan manusia terhadap wanita yang pertama menunjukkan fitnah yang sangat luar biasa daripada wanita.
#Daripada Sayidina Usamah bin Zaid r.a, bahawa Nabi saw bersabda: “Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan para lelaki selain fitnah wanita" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Ada banyak fitnah di atas muka bumi ini, antaranya fitnah kemiskinan, kemewahan, kejayaan, harta, anak, peperangan, banjir, gempa bumi, wanita, kebakaran, kematian, kehilangan, kesakitan, kesempitan dan berbagai macam fitnah lainnya.
#Di antara semua fitnah yang ada, ternyata fitnah yang paling dahsyat bagi kaum lelaki ialah wanita. Para wanita harus faham bahawa dirinya adalah fitnah besar bagi para lelaki. Dia adalah perhiasan terindah, yang dunia tanpa wujudnya dirasakan gelap.
#Allah swt menjadikan wanita apabila dilihat akan menimbulkan keinginan (syahwat) dan kaum lelaki mudah tergoda dengan mereka. Untuk itu, fitnah wanita adalah fitnah yang dahsyat kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya.
#Oleh itu, Rasulullah saw berpesan kepada kaum lelaki supaya mereka berhati-hati atau menjauhkan diri daripada melihat wanita yang bukan mahramnya, berdua-duaan dengannya, bercampur baur dengan mereka dan seumpamanya.
#Daripada Sayidina Abu Sa’id al-Khudri r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: "Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan fitnah wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita" (HR Muslim)
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّ مِنۡ أَزۡوَ ٰجِكُمۡ وَأَوۡلَـٰدِكُمۡ عَدُوࣰّا لَّكُمۡ فَٱحۡذَرُوهُمۡۚ وَإِن تَعۡفُوا۟ وَتَصۡفَحُوا۟ وَتَغۡفِرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah at-Taghabun 14]
♡Betapa dahsyatnya fitnah wanita. Maka semua orang perlu berhati-hati akan godaan wanita kerana mampu menjerumuskan seseorang ke lembah kebinasaan. Namun, wanita yang baik dan solehah mampu membahagiakan seseorang di dunia dan di akhirat♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
https://t.me/tadabburkalamullah/3079
Tadabbur Kalamullah, [Sep 6, 2023 at 00:29]
☆Tadabbur Kalamullah 20 Safar 1445H☆
زُیِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَ ٰتِ مِنَ ٱلنِّسَاۤءِ وَٱلۡبَنِینَ وَٱلۡقَنَـٰطِیرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَیۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَ ٰلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)" [Surah Aali-ʿImran 14]
#Sambung bicara tentang kedahsyatan fitnah wanita.
#Allah menjelaskan bahawa ada di antara isteri-isteri dan wanita yang menjadi musuh bagi suami dan orang tuanya, yang mencegah mereka berbuat baik dan mendekatkan diri kepada Allah swt serta menghalangi mereka beramal soleh, bahkan adakalanya menjerumuskan mereka kepada perbuatan maksiat, perbuatan haram yang dilarang oleh agama.
#Firman Allah swt:
ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلࣰا لِّلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ٱمۡرَأَتَ نُوحࣲ وَٱمۡرَأَتَ لُوطࣲۖ كَانَتَا تَحۡتَ عَبۡدَیۡنِ مِنۡ عِبَادِنَا صَـٰلِحَیۡنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمۡ یُغۡنِیَا عَنۡهُمَا مِنَ ٱللَّهِ شَیۡـࣰٔا وَقِیلَ ٱدۡخُلَا ٱلنَّارَ مَعَ ٱلدَّ ٰخِلِینَ
"Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)" [Surah at-Taḥrim 10]
#Selain itu, disebabkan rasa sayang dan cinta kepada wanita, menjadikan ramai para lelaki buta dengan kebenaran. Seorang suami tidak segan-segan berbuat yang dilarang oleh agama seperti makan rasuah dan lain-lain kerana ingin memenuhi kehendak isteri atau wanita yang disayangi dalam berbelanja dan bermewah-mewah. Selain itu, sanggup membiarkan anak isterinya berdua-duaan dengan bukan mahram, membuka aurat, berpakaian menjolok mata, berpakaian seksi dan mendedahkan tubuh badan untuk tatapan orang ramai.
#Sabda Nabi saw: "Wanita itu aurat, apabila dia keluar rumah, syaitan terus memandangnya (untuk menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehinggalah terjadinya fitnah)” (Sahih at-Tirmizi)
#Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, jangan sekali-kali berdua-duaan dengan wanita (bukan-mahram) tanpa disertai oleh mahramnya kerana yang ketiga adalah syaitan" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Sepatutnya seorang lelaki perlu membimbing dan mendidik wanita yang dikasihinya agar mengikuti peraturan agama dan kehendak Allah dan Rasul, bukannya diikuti segala kehendak mereka yang boleh memusnahkan kehidupan dunia dan akhirat mereka.
♡Didiklah wanita agar tergolong dalam kalangan wanita solehah. Disamping itu, berwaspadalah dengan wanita penggoda kerana mereka bakal menjahanamkan akhirat kita♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
https://t.me/tadabburkalamullah/3080
Tadabbur Kalamullah, [Sep 6, 2023 at 23:54]
☆Tadabbur Kalamullah 21 Safar 1445H☆
إِنَّمَا یَفۡتَرِی ٱلۡكَذِبَ ٱلَّذِینَ لَا یُؤۡمِنُونَ بِـَٔایَـٰتِ ٱللَّهِۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡكَـٰذِبُونَ
"Sebenarnya yang tergamak mengadakan pembohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang berdusta (berbohong)" [Surah an-Naḥl 105]
#Kaki bohong, kaki spin, kaki auta, kaki temberang, kaki tipu, kaki belit, kaki khianat, sebenarnya mereka tidak beriman kepada Allah swt. Hal ini kerana, orang yang beriman mereka bukanlah seorang penipu dan pembohong.
#Namun, akhir zaman penipu dan pembohong dipercayai dan dimuliakan bahkan dilantik memegang jawatan yang menguruskan ummah. Ini adalah kepelikan dan sesuatu yang aneh, namun benar.
#Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda:
سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ. قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda saw ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? Maka baginda saw menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar” (HR Ibn Majah)
#Baginda Nabi saw memberi amaran kepada kita semua umatnya agar berhati-hati ketika menghadapi hari-hari yang penuh dengan tipu daya dan dunia dipenuhi penipu kerana kebenaran dan amanah akan terletak pada orang-orang yang bodoh dan keji lagi fasik.
#Nabi saw juga menyifatkan golongan ini dengan dua sifat iaitu orang yang keji atau kurang ilmunya dan dalam masa yang sama bercakap berkaitan perkara-perkara umum yang besar sedangkan dia tidak mempunyai ilmu padanya. Maka mereka mengelirukan orang ramai sehingga kebanyakan manusia tidak dapat mengenali dan membezakan di antara kebenaran dengan kebatilan.
#Zaman kita hidup saat ini benar-benar terjadi sebagaimana yang disebut didalam al-Quran dan as-Sunnah iaitu golongan para penipu muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan mereka diberi kedudukan serta penghormatan. Manakala golongan yang jujur, amanah dan berilmu dihina, dicaci, dibodoh-bodohkan dan dianggap sesat.
♡Berwaspadalah dengan kaki penipu kerana mulut mereka manis bagaikan gula. Jika tersalah langkah akan menyebabkan ditipu dan dibohongi. Perbanyakkanlah zikrullah, istighfar, tawakal dan doa memohon petunjuk Allah serta perlindunganNya daripada terjebak ke jalan yang batil. Semoga kita sentiasa di dalam pemeliharaan Allah swt menuju redha dan kasih sayangNya. Aamiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
https://t.me/tadabburkalamullah/3081
Tadabbur Kalamullah, [Sep 7, 2023 at 23:00]
☆Tadabbur Kalamullah 22 Safar 1445H☆
إِنَّمَا یَفۡتَرِی ٱلۡكَذِبَ ٱلَّذِینَ لَا یُؤۡمِنُونَ بِـَٔایَـٰتِ ٱللَّهِۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡكَـٰذِبُونَ
"Sebenarnya yang tergamak mengadakan pembohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang berdusta (berbohong)" [Surah an-Naḥl 105]
#Seorang Mukmin tidak mungkin akan berbohong. Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw menyatakan bahawa seorang Mukmin boleh jadi pengecut dan kedekut, tapi tidak mungkin sama sekali berbohong:
قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيَكُونُ الْمُؤْمِنُ جَبَانًا؟ فَقَالَ: نَعَمْ، فَقِيلَ لَهُ: أَيَكُونُ الْمُؤْمِنُ بَخِيلًا؟ فَقَالَ: نَعَمْ، فَقِيلَ لَهُ: أَيَكُونُ الْمُؤْمِنُ كَذَّابًا؟ فَقَالَ: لَا
Ditanyakan kepada Rasulullah saw: “Mungkinkah seorang Mukmin itu pengecut?”. Mungkin, jawab Rasulullah saw. Mungkinkah seorang Mukmin itu bakhil?. Ya, mungkin, jawab Rasulullah saw lagi. Mungkinkah seorang Mukmin itu pembohong?”Rasulullah saw menjawab: “Tidak” (Riwayat Imam Malik dan al-Baihaqi)
#Rasulullah saw juga menjamin kedudukan di tengah-tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan dusta sekalipun bergurau:
أَنَا زَعِيْمٌ بِبَيْتٍ فِيْ رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِيْ وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِيْ أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ.
Sayidina Abu Umamah r.a menceritakan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Aku akan menjamin sebuah rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar. Aku juga menjamin sebuah rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan berbohong meskipun sekadar bergurau. Dan aku juga menjamin sebuah rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik" (HR Abu Daud)
#Rasulullah saw juga bersabda:
مَوْضِعُ سَوْطٍ فِى الْجَنَّةِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
“Satu bahagian kecil nikmat di syurga lebih baik dari dunia dan seisinya" (HR al-Bukhari)
#Bagi kaki bohong, ingatlah tempat yang disediakan untuk mereka adalah neraka. Sabda Rasulullah saw:
إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا
"Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan akan membawa ke neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah swt sebagai pendusta" (HR al-Bukhari)
♡Ya Allah, mudahkanlah hambaMu ini untuk sentiasa memiliki akhlak yang mulia, selalu berlaku jujur dalam segala hal. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment