☆Tadabbur Kalamullah 16 Safar 1445H☆
وَأَنكِحُوا۟ ٱلۡأَیَـٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰلِحِینَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ وَإِمَاۤىِٕكُمۡۚ
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan..." [Surah an-Nur 32]
#Islam menggalakkan perkahwinan. Salah satu cara untuk mengelak berlakunya penzinaan maka Islam menganjurkan perkahwinan. Apabila seseorang itu ada pasangan, maka keperluan nafsu dapat dipenuhi dengan cara halal maka tidaklah lagi ada pencarian kepada cara yang haram.
#Dalam ayat ini, Allah swt mengajar kita supaya jangan biarkan wanita dan lelaki hidup bersendirian terlalu lama. Jika ada anak dara yang sudah cukup umur, carikan lelaki yang sesuai untuk mereka. Dan jika ada anak teruna, suruh mereka berkahwin dengan segera. Jika mereka menjadi janda atau duda, usahakan supaya mereka juga berpasangan kembali.
#Namun perlu diingat, perintah kahwin ini bukanlah paksaan. Kita tidak boleh memaksa sesiapa berkahwin tanpa keinginan mereka. Cuma kita boleh galakkan mereka berkahwin dan mudahkan perkahwinan itu. Kita perlu menasihati anak-anak muda tentang pentingnya sebuah perkahwinan dan hidup berpasangan. Ini kerana ianya dapat menjaga mata, menjaga hati dan menjaga kemaluan dari melakukan perkara terlarang.
#Sabda Nabi saw:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Bagi mereka yang sudah mempunyai kemampuan sama ada secara fizikal atau ekonomi, maka hendaklah segera bernikah. Ini kerana terdapat padanya banyak faedah dan kebaikan. Disebut dalam kitab Syarh Bulugh al-Maram: Ramai dari kalangan ulamak yang menyebut bahawa seseorang yang sudah mampu (secara fizikal dan ekonomi) untuk berkahwin, maka wajib baginya untuk berkahwin. Ini kerana pada dasarnya, perintah tersebut (فَلْيَتَزَوَّجْ) menunjukkan kewajiban, dan di dalam pernikahan itu terdapat maslahat yang agung. (Lihat: Syarh Bulugh al-Maram)
#Sekarang musim cuti sekolah, musim banyak berlangsungnya majlis perkahwinan, maka Kita dianjurkan untuk mengucapkan tahniah dan doakan kebaikan untuk para pengantin. Berkata Sayidina Abu Hurairah r.a, adalah Rasulullah saw mengucapkan selamat kepada orang yang berkahwin, dengan kata-kata (doa):
بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا عَلَى خَيْرٍ
"Semoga Allah memberkatimu dan juga memberkati isterimu serta mengumpulkan kalian berdua atas kebaikan” (HR Ahmad)
♡Berkahwinlah kerana ia adalah perintah Allah swt dan sunnah Rasulullah saw. Semoga terdapat kebaikan yang banyak kepada mereka yang berkahwin. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment