Saturday, 8 June 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 1 Zulhijjah 1445H☆


وَٱلۡفَجۡرِ * وَلَیَالٍ عَشۡرࣲ 


"Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)" [Surah Al-Fajr 1-2]


#Allah bersumpah demi waktu fajar. Iaitu waktu subuh sebelum terbitnya matahari. Waktunya tidak panjang, hanya antara sejam lebih dan tempohnya  mengikut musim.


#Apakah pula maksud { وَٱلْفَجْرِ} waktu fajar ini:


i- Kata Ibnu Abbas { وَٱلْفَجْرِ} ini ialah waktu fajar pagi sebelum keluarnya matahari. Keluarnya cahaya merah di ufuk timur setiap hari sebelum terbitnya matahari iaitu waktu subuh.


ii- Fajar pada hari haji yang besar (Haji Akbar); iaitu hari Raya Korban. Kerana semua orang berkumpul di masjid masing-masing untuk menyembelih korban.


iii- Ada ulamak kata, fajar itu iaitu fajar pada hari 1hb -10hb Zulhijjah (10 awal Zulhijjah), sebagaimana dalam ayat kedua. Majoriti ulamak setuju dengan pendapat ini!


#Menjelang bulan Zulhijjah, elok kita saling ingat memperingati bahawa 10 hari terawal daripada Zulhijjah merupakan hari terbaik di dunia, hari paling afdhal di sisi Allah 'Azza wa Jalla.


مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.


"Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini - Baginda mengatakan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah, juga tidak dapat menandinginya? Baginda bersabda: "Walaupun jihad di jalan Allah, tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali" (HR al-Bukhari) 


#Daripada Sayidina Jabir bin Abdullah r.a dia berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda: "Hari yang paling afdal di dunia ialah hari-hari 10, iaitu 10 hari (yang pertama) bulan Zulhijjah" (HR al-Bazzar. Menurut al-Haitsami rawi-rawinya tsiqah) 


#Sebagai persediaan, sama-sama kita rancang amalan-amalan yang boleh dipertingkatkan demi meraih kelebihan yang Allah sediakan:


1. Solat – fadhu dan sunat

2. Puasa sunat mulai 1 hingga 9 Zulhijjah. Jika tidak dapat semua, cuba sedaya upaya untuk lakukan pada 9 Zulhijjah kerana fadhilatnya dihapuskan dosa dua tahun

3. Tilawah al-Quran sebanyak mungkin, sedaya upaya cuba habiskan satu juzuk sehari.

4. Selawat ke atas Nabi saw sebanyak yang mungkin. 

5. Istighfar sebanyak yang mampu, paling kurang 100 kali sehari

6. Zikir 

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير

  

100 kali pagi dan 100 kali petang

7.   Membaca sekurang-kurangnya satu tajuk sehari dengan tujuan menambah ilmu

8. Berdakwah dengan menyampaikan sekurang-kurangnya satu ayat sehari

9. Bersedekah dengan ikhlas mengikut kemampuan

10. Menghubung silaturrahim

11. Merapatkan hubungan dengan jiran

12. Melawat orang sakit

13. Bertakbir mulai subuh pada hari ke 9, iaitu hari Arafah hingga  asar hari ke 13, iaitu hari akhir Tasyriq

14. Solat sunat hari raya pada hari ke 10

15. Berkorban bagi yang mampu pada hari ke 10, 11, 12, 13hb. 

16. Dan banyak lagi. 


♡Selamat beramal, moga-moga Allah terima segala amalan kita dan hapuskan dosa-dosa kita♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...