Wednesday, 19 June 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 13 Zulhijjah 1445H☆


إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ


"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hambaNya hanyalah para ulamak (orang yang berilmu)" [Surah Fatir 28] 


#Ulamak ialah orang yang pakar dalam pengetahuan agama. 


#Imam Abu Hayyan dalam kitab tafsirnya al-Bahr al-Muhit menjelaskan bahawa ulamak ialah mereka yang mengetahui tentang sifat-sifat Allah swt dan mengesakanNya serta beriman dengan segala yang harus, wajib dan mustahil bagiNya, lalu mereka memuliakan dan mengagungkanNya sebagaimana yang selayaknya. Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka akan bertambahlah takutnya kepada Allah swt". 


#Menurut Ibn Jinni, ulamak ialah seseorang yang menceburi dan berkecimpung dengan ilmu dalam tempoh yang lama sehingga ia menjadi seperti darah dagingnya dan istilah ini tidak diberikan kepada orang yang baru ingin belajar kerana mereka ini hanya digelar dengan penuntut ilmu dan bukannya ulamak. 


#Memuliakan para ulamak itu sangatlah dituntut kerana mereka adalah pewaris para Nabi. Daripada Sayidina Abi Darda’ r.a, bahawa Nabi saw bersabda:

 

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ


"Dan ulamak itu adalah pewaris para nabi" (HR Abu Daud) 


#Jangan sesekali menghina, mencela dan memburukkan para ulamak. Menghina para ulamak termasuk dalam dosa besar. 


#Imam Ibn Hajar al-Haitami menyenaraikan dosa menghina ulamak sebagai salah satu daripada 70 dosa besar:


وَقَدْ جَزَمَ الرَّافِعِيُّ بِأَنَّ الْوَقِيعَةَ فِي أَهْلِ الْعِلْمِ وَحَمَلَةِ الْقُرْآنِ مِنْ الْكَبَائِرِ


“Imam ar-Rafi'i menegaskan bahawa menghina orang yang berilmu dan orang yang menghafaz al-Quran merupakan dosa besar". 


#Berkata Imam Ahmad Bin Hanbal rahimahullah:


الوقيعة في أهل العلم ولا سيما أكابرهم من كبائر الذنوب


“Menghina orang yang berilmu terutama ulamak besar adalah termasuk dalam dosa besar"


#Berkata Imam at-Tahawi rahimahullah:


وَعُلَمَاءُ السَّلَفِ مِنَ السَّابِقِينَ وَمَنْ بَعْدَهُمْ مِنَ التَّابِعِينَ أَهْلِ الْخَيْرِ وَالْأَثَرِ وَأَهْلِ الْفِقْهِ وَالنَّظَرِ لَا يُذْكَرُونَ إِلَّا بِالْجَمِيلِ، وَمَنْ ذَكَرَهُمْ بِسُوءٍ فهو على غير السبيل


“Para ulamak salaf terdahulu (para sahabat) dan yang sesudah mereka daripada kalangan tabi’in yang mereka selalu menjunjung kebaikan, ahli hadis, ahli fiqh dan aqidah, mereka tidak disebutkan melainkan dengan kebaikan dan sesiapa yang menyebut mereka dengan keburukan, maka dia bukan berada pada jalan orang yang beriman". 


#Berkata Imam Ibnu Asakir rahimahullah: "Sesiapa yang menghina para ulamak, Allah swt akan mengujinya sebelum mati dengan dimatikan hatinya".


♡Muliakanlah para alim ulamak kerana Allah dan RasulNya memuliakan mereka. Jangan sesekali menghina dan mencela mereka kerana mereka langsung tidak wajar dan tidak layak dihina♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...