Thursday, 20 June 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 14 Zulhijjah 1445H☆


إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ


"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hambaNya hanyalah para ulamak (orang yang berilmu)" [Surah Fatir 28] 


#Ulamak adalah pewaris tugas dan peranan sekalian nabi dan rasul dalam menyampaikan amanah Islam kepada seluruh umat manusia. Di tangan ulamaklah penentu kepada maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya sesuatu umat di bumi ini. 


#Jika ulamak berperanan sebagaimana berperanannya nabi dan rasul, akan baiklah umat berkenaan. Sebaliknya, jika ulamak itu tidak berfungsi dan berperanan jelik, nescaya akan buruk dan binasalah umat berkenaan.


#Oleh itu, setiap kita orang awam hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada para ulamak dalam sebarang persoalan hidup sama ada persoalan duniawi mahupun ukhrawi. 


#Hal ini kerana orang awam, orang kebanyakan tidak berkeahlian untuk berijtihad atau mengeluarkan hukum hakam agama. Mereka perlu mengikut apa yang dibawa oleh para ulamak dan imam-imam mazhab. Orang awam tidak mempunyai kelayakan untuk memahami nas apatah lagi mengeluarkan hukum. 


#Ini jelas memahamkan kita bahawa perlunya masyarakat awam mengikut hukum dan pandangan para ulamak atau ikutan mazhab setempat dalam amal ibadah mahupun perkara yang lain. Bahkan wajib orang awam merujuk kepada golongan yang lebih arif tentang hal ehwal agama. Firman Allah swt:


فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ


"Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui" [Surah an-Nahl 43] 


#Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya oleh seorang lelaki berkenaan syarat untuk menjadi mujtahid (orang yang memiliki keahlian dalam mengeluarkan hukum). Dalam fiqh Muhammad bin ‘Abdullah bin al-Munadi menyebut:


سَمِعْت رَجُلًا يَسْأَلُ أَحْمَدَ: إذَا حَفِظَ الرَّجُلُ مِائَةَ أَلْفِ حَدِيثٍ ‌يَكُونُ ‌فَقِيهًا؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَمِائَتَيْ أَلْفٍ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَثَلَاثَ مِائَةِ أَلْفٍ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَأَرْبَعَ مِائَةِ أَلْفٍ، قَالَ بِيَدِهِ هَكَذَا، وَحَرَّكَ يَدَهُ


"Aku mendengar seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal: Jika seorang lelaki itu menghafaz 100 ribu hadis adakah dia dikira faqih?. Imam Ahmad menjawab: Tidak. Dia bertanya lagi: Kalau 200 ribu hadis? Jawabnya lagi: Tidak. Dia bertanya lagi: Kalau 300 ribu hadis? Imam Ahmad menjawab: Tidak. Lelaki itu pun bertanya lagi: Kalau 400 ratus ribu hadis? Imam Ahmad pun menjawab: Dengan menggerakkan tangannya (tanda bersetuju bahawa orang tersebut layak berijtihad dan berfatwa)". 


#Antara perkara yang menyedihkan kebelakangan ini, wujudnya masyarakat awam yang mencela dan merendahkan sosok tubuh para ulamak, juga imam-imam mazhab dan golongan ilmuan sedangkan keilmuan dan sumbangan mereka begitu besar dalam warisan keilmuan Islam. 


#Syariat Islam bersifat menyeluruh sehingga meliputi perihal adab dan akhlak dalam kehidupan manusia. Antara perkara yang ditekankan adalah sifat menghormati antara satu sama lain merupakan salah satu sifat bagi orang beriman, lebih-lebih lagi, menghormati dan memelihara adab apabila berinteraksi dengan golongan yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari sudut keilmuan serta keagamaan. 


♡Ikutilah para alim ulamak. Ambillah khazanah ilmu daripada mereka sebanyak-banyaknya dan beradablah dengan mereka sekalipun terdapat perbezaan pendapat serta pandangan♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...