☆Tadabbur Kalamullah 25 Zulhijjah 1445H☆
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
"Juga saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan saling nasihat-menasihati kepada kesabaran" [Surah al-Asr 3]
#Maksud saling berpesan dengan kebenaran ialah: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya. Manakala maksud saling berpesan dengan kesabaran pula ialah: Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah. (Lihat: Tafsir at-Tabari dan Tafsir al-Qurtubi)
#Antara manusia yang perlu didakwah, ditegur dan dinasihati ialah para pemimpin. Perkara yang perlu difahami bahawa redha dengan kesalahan dan kezaliman pemerintah adalah satu dosa.
#Daripada Sayidatina Ummu Salamah Hindun binti Abi Umayyah r.ha, Rasulullah saw bersabda:
ستكونُ أمراءُ. فتعرفونَ وتُنْكرونَ. فمن عَرِف بَرِئ. ومن نَكِرَ سَلِمَ . ولكن من رَضِي وتابعَ قالوا: أفلا نقاتلهُم؟ قال: لا. ما صلوا
"Akan ada para pemimpin kelak. Kamu semua mengenal mereka dan menolak perbuatan mereka. Siapa yang membenci kekeliruannya, maka ia terlepas dari dosa. Siapa yang menolaknya, maka ia selamat. Namun yang redha dan mengikutinya, itulah yang tidak selamat". Para sahabat bertanya: "Apakah kita perangi sahaja pemimpin seperti itu?" . Nabi menjawab: "Jangan, selama mereka masih solat" (HR Muslim)
#Justeru, menjadi kewajipan untuk para ulamak menegur mana-mana pemimpin yang dilihat melakukan kemungkaran atau ketidakadilan dalam pemerintahannya. Kaedah yang paling tepat untuk menegur pemimpin adalah menasihatinya. Jika nasihat dan teguran telah disampaikan, namun tidak ada perubahan maka sudah terlepas tanggungjawab para ulamak.
#Berkata Imam Sufyan at-Thauri:
لَا يَأْمُرُ السُّلْطَانَ بِالْمَعْرُوفِ إِلا رَجُلٌ عَالِمٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، رَفِيقٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، عَدْلٌ
"Tidak selayaknya mengajak pemimpin kepada yang ma’ruf melainkan dia seorang yang ‘alim (berilmu) dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, berlemah-lembut dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, serta bersikap adil (dalam menyampaikan)" (Lihat: Syarh al-Sunnah, Al-Baghawi)
#Kepentingan nasihat kepada pemimpin adalah agar lahir pemimpin yang bertakwa yang takutkan Allah swt serta sangat bertanggungjawab. Pemimpin yang bertakwa pasti akan menolong rakyatnya yang berada dalam kesusahan. Bermula suatu kehancuran kepada sesebuah pemerintahan apabila pemimpin mula lalai dengan tanggungjawabnya dan rakyat sudah mula ingin memberontak. Sabda Nabi saw:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَّ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
"Tiada dikalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya di bawah pimpinannya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Tanggungjawab ulamak yang lebih besar ialah melaksanakan tanggungjawab nasihat untuk para pemimpin dan menyeru mereka supaya berhukum dengan kitab Allah dan sunnah RasulNya. Sesungguhnya Allah akan menghisab mereka sekiranya mereka cuai melaksanakan tanggungjawab ini. Rasulullah saw pernah bersabda:
إِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
“Sesungguhnya jihad yang paling afdhal ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim" (HR Ahmad)
#Pastikan ada ulamak yang sentiasa menasihati para pemerintah dengan ikhlas dan penuh keinsafan.
لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي؛ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى الْحَقِّ، ظَاهِرِيْنَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
“Akan sentiasa ada sekelompok daripada umatku yang akan berjuang membela kebenaran. Mereka ini akan sentiasa ada sehingga hari Kiamat" (HR Muslim)
♡Para ulamak perlu sentiasa menasihati pemimpin dan menyatakan pandangan dengan jujur tanpa sebarang kepentingan dan ketakutan kepada makhluk♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 24 Zulhijjah 1445H☆
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya" [Surah Yusuf 55]
#Sambung lagi bicara tentang isu berkaitan keghairahan untuk memegang jawatan dan kuasa.
#Jika dilihat kepada sejarah salafussoleh yang terdahulu, jawatan bukanlah sesuatu yang paling penting bagi mereka. Lihatlah kepada sejarah pedang Allah (saifullah) iaitu Sayidina Khalid al-Walid r.a yang dinaikkan pangkat menjadi panglima perang pada zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a. Beliau terlibat dan memimpin banyak peperangan pada zaman Khalifah Abu Bakar seperti perang memerangi Musailamah al-Kazzab, peperangan Yarmuk, perang memerangi Rom Timur (Byzantine) dan empayar Parsi, dan berjaya menawan Iraq serta berjaya dalam siri-siri peperangan di Syam.
#Setelah Sayidina Umar r.a dilantik menjadi Khalifah, beliau memecat Sayidina Khalid al-Walid dari jawatan tersebut dan menggantikannya dengan Sayidina Abu ‘Ubaidah r.a. Namun, Sayidina Khalid al-Walid tetap berjuang seperti biasa walaupun sebagai seorang tentera biasa, malah tetap taat dan patuh kepada arahan Sayidina Abu ‘Ubaidah r.a sebagai panglima perang baharu dan arahan Khalifah Umar bin al-Khattab.
#Di zaman kini, berlaku kepelikan apabila manusia yang jahil, penipu dan tidak layak untuk memegang jawatan tetapi mereka berusaha bermati-matian untuk mendapat kuasa dan jawatan sehingga sampai sanggup berbohong, berbalah, bertengkar, bergaduh dan berbunuhan.
#Diingatkan, agar jangan sesekali memberi jawatan atau kuasa kepada orang yang gila kuasa. Hal ini kerana kecintaan mereka terhadap kuasa akan mengaburi mereka dari kebaikan. Adalah dibimbangi kepentingan diri sendiri lebih mereka utamakan dari kesusahan rakyat. Amat sukar mencari pemimpin yang bangkit mengutamakan rakyat dari diri sendiri dizaman kini.
#Al-Imam Abu Ayyub al-Sakhtiyani berpesan bahawa mereka yang cintakan kemasyhuran dan kepimpinan adalah mereka yang sukar dipercayai. Kata beliau:
ما صدق عبد قط فأحب الشهرة
"Tiada yang benar langsung buat si hamba yang mencintai kemasyhuran".
#Berkata juga Imam Fudail ibn Iyyad memberi pesanan:
ما من أحد أحب الرئاسة إلا حسد وبغى، وتتبع عيوب الناس، وكره أن يُذكر أحد بخير
"Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain".
#Usah dilantik atau diberikan kuasa kepada mereka yang gila kuasa sehingga sampai meminta-minta walaupun dirinya tidak mampu dan tidak berbakat.
#Diriwayatkan dua orang lelaki pernah bertemu Rasulullah saw lalu meminta daripada Baginda supaya diberikan kuasa sebagai pemimpin. Rasulullah saw menegur mereka dengan berkata:
إِنَّا لاَ نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ، وَلاَ مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ
"Kami tidak memberikan urusan kepimpinan ini kepada siapa yang memintanya, kami juga tidak berikan kepimpinan buat mereka yang terlalu bersungguh mendapatkannya" (HR al-Bukhari)
♡Sifat gilakan kuasa menyebabkan seseorang akan menjadi hasad dengki, pentingkan diri, kejam bahkan suka mencari keaiban manusia lain. Jadilah pemimpin yang baik, bertaqwa dan adil. Moga sentiasa dibimbing dengan petunjuk Allah swt. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 23 Zulhijjah 1445H☆
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya" [Surah Yusuf 55]
#Sambung bicara tentang isu berkaitan keghairahan untuk memegang jawatan dan kuasa.
#Sebahagian manusia beranggapan jawatan itu adalah ghanimah. Ghanimah digunakan merujuk harta yang diperolehi hasil daripada kemenangan dalam peperangan menentang orang-orang kafir. Perkataan ini juga bermaksud faedah, keuntungan, berhasil mendapat sesuatu kebaikan. Sebahagian manusia menganggap jawatan sebagai kemasyhuran (tasyrif).
#Sesungguhnya jawatan adalah amanah dan tanggungjawab yang berat yang perlu dipikul. Ia bukanlah semata-mata ghanimah (keuntungan) ataupun kemasyhuran (tasyrif) seperti yang dilihat oleh kebanyakan orang, bahkan ia adalah suatu beban tanggungjawab (taklif) yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
#Ini sebagaimana kata-kata pepatah Arab yang masyhur: "Sesiapa yang bertambah kemasyhurannya, maka bertambahlah pula beban tanggungjawabnya".
#Kerana itulah Rasulullah saw mengingatkan mereka yang melihat hanya semata-mata kepada jawatan dan pangkat bahawa jawatan dan pangkat itu tidak lebih daripada amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, sebagaimana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Daripada Sayidina Abu Zar al-Ghifari, beliau berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah, kenapa tidak engkau meletakkan aku di mana-mana jawatan?".
Kemudian Baginda memukul bahuku dengan tangannya dan kemudiannya Baginda bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu adalah seorang yang lemah (dalam memegang memikul tugas dan jawatan). Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah, dan sesungguhnya ia adalah menjadi punca kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan tuntutan jawatan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya itu".
#Begitu juga dengan kata-kata Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ketika beliau dilantik menjadi Khalifah: "Aku bukanlah orang yang menjatuhkan hukum, tetapi aku adalah pelaksana (kepada tugas dan amanah yang diberikan kepadaku), dan aku bukanlah orang yang pertama memulakan perkara ini (dilantik menjadi pemimpin), tetapi aku adalah orang yang mengikuti (menyambung perjuangan orang-orang terdahulu). Ketahuilah bahawa aku bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu, tetapi aku adalah salah daripada kamu (yang sama seperti kamu), kecuali sesungguhnya Allah telah menjadikan beban tanggungjawabku lebih berat berbanding kamu semua".
#Orang yang beriman, berilmu dan bertaqwa menganggap jawatan sebagai Gharimah. Gharimah bermaksud hutang, denda, tanggungan yang membebankan. Orang yang berpendapat jawatan sebagai satu gharimah akan mengelakkan diri dari mengambilnya, lebih-lebih lagi apabila dia menginsafi akan kelemahan diri serta ketidak upayaannya untuk memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.
#Apabila jawatan dianggap Gharimah maka tidaklah berlaku perebutan jawatan, tiada yang ghairah meminta jawatan, tiada yang khianat dengan amanah, tiada yang menipu dan berbohong untuk dapatkan jawatan dan tiada yang auta setelah memegang jawatan kerana mereka tahu jawatan adalah suatu bebanan yang menyusahkan hisab di mahsyar kelak kecuali orang yang benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya.
♡Jawatan adalah satu gharimah. Bukan ghanimah♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 22 Zulhijjah 1445H☆
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya" [Surah Yusuf 55]
#Berkata Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya menerangkan ciri-ciri individu yang layak meminta jawatan berdasarkan ayat al-Quran di atas. Seseorang yang menepati kriteria untuk memegang sesuatu jawatan tidak dipilih berdasarkan keturunannya dan juga kecantikannya, akan tetapi dinilai berdasarkan kekuatannya dalam kepimpinan dan mempunyai ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan bidang yang diminta. (Lihat: Tafsir al-Jami’ li-Ahkam al-Quran)
#Jawatan adalah amanah dan bebanan. Ia bukannya satu keuntungan atau kemuliaan. Jawatan tidak sepatutnya dimohon atau diminta kecuali bagi orang yang benar-benar layak iaitu mereka yang benar-benar memiliki kepakaran dalam selok belok kepimpinan dan memiliki ilmu yang banyak berkaitan jawatan yang dimohon. Jika tidak memenuhi kriteria, hanya sekadar kaki sembang dan pencipta formula tetapi tiada kepakaran dan ilmu maka jangan sesekali meminta jawatan atau menerima jawatan. Ini lebih kepada menuju kerosakan dan kepincangan bahkan menjadi penyesalan di mahsyar kelak.
#Nabi saw bersabda berkenaan bahaya meminta jawatan:
إنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الإمَارَةِ، وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ القِيامَةِ، فَنِعْمَ المُرْضِعَةُ وبِئْسَتِ الفاطِمَةُ
"Kamu semua akan sukakan kepada jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan ketika hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat" (HR al-Bukhari)
#Imam Ash-Shan’ani dalam syarah Bulugh al-Maram mengatakan bahawa hadis ini memberi peringatan kepada sesiapa yang mempunyai jawatan atau kekuasaan tidak akan terselamat daripada neraka, kecuali mereka yang mengetahui akan kebenaran (haq) dan beramal dengannya. Mengetahui saja tidak mencukupi, kerana amalan selepas itu juga merupakan tiang-tiang kebenaran (haq). Dan barangsiapa yang tidak beramal dengan kebenaran, maka neraka merupakan tempat yang layak baginya.
#Terdapat manusia yang berpendapat bahawa memegang sesuatu jawatan itu sebagai satu wasilah untuk meraih keuntungan (ghanimah), memperolehi pelbagai faedah yang menggiurkan. Lantaran itu, mereka akan berusaha bermati-matian walau dengan apa cara sekalipun, tanpa mengambil kira halal atau haram untuk mendapatkan jawatan. Yang penting, jawatan mesti diraih. Makin tinggi jawatan, makin luaslah peluang untuk mendapat ghanimah (keuntungan dan kekayaan).
Dan apabila jawatan telah disandang, amat sukar untuk dilepaskan. Berat atau ringan, cemerlang atau kecundang, bukan menjadi perhitungan. Yang penting jawatan mesti dipertahankan demi menjamin ghanimah berterusan mengalir ke dalam genggaman. Mereka langsung tidak memikirkan soal jawab dan soal siasat di Mahsyar kelak yang bakal menjadi penyesalan yang membawa kepada penderitaan dan kesengsaraan.
♡Insafilah diri, jawatan bukan satu kemuliaan dan keistimewaan tetapi suatu tanggungan yang membebankan malah boleh menjadi satu penyesalan. Bagi yang memegang jawatan maka tunaikan seamanah dan seadil mungkin agar tidak merosakkan masa depan di akhirat♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 21 Zulhijjah 1445H☆
فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا
"Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya" [Surah an-Nisa' 4]
#Syeikh Muhammad Zuhaili menyatakan: "Sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya".
#Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah swt:
لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ
"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi" [Surah al-Baqarah 177]
#Sedekah sebenarnya mempunyai maksud yang cukup luas dalam Islam. Secara mudahnya, ia boleh didefinisikan sebagai pemberian oleh seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt sama ada pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak-saudara, mahupun untuk kepentingan fi sabilillah.
#Yakinilah bahawa harta orang yang suka bersedekah tidak akan berkurang. Hadis daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
ما نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِن مالٍ، وما زادَ اللَّهُ عَبْدًا بعَفْوٍ، إلَّا عِزًّا
"Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya" (HR Muslim)
#Namun, perlu diingatkan bahawa janganlah diambil semula sesuatu yang telah dihadiahkan atau disedekahkan. Ulamak bersepakat bahawa tidak boleh mengambil kembali barang yang disedekahnya jika telah diterima oleh orang lain atau kaum keluarga.
#Ini berdasarkan nas Sayidina Umar bin al-Khattab r.a yang berkata:
مَنْ وَهَبَ هِبَةً لِصِلَةِ رَحِمٍ، أَوْ عَلَى وَجْهِ صَدَقَةٍ، فَإِنَّهُ لاَ يَرْجِعُ فِيهَا
"Siapa yang membuat hibahan kerana silaturrahim atau sebagai sedekah maka janganlah dia ambil kembali" (Riwayat Imam Malik dan al-Baihaqi)
♡Umat Islam tidak kira kaya atau miskin digalakkan bersedekah mengikut kemampuannya. Bagaimanapun, orang miskin yang bermurah hati hendak bersedekah, bersedekahlah ala kadar, asalkan tidak menyusahkan diri sendiri dan orang yang menjadi tanggungannya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 20 Zulhijjah 1445H☆
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
"Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka" [Surah al-Baqarah 187]
#Peranan suami isteri ialah menjadi pakaian pada pasangan masing-masing. Sentiasa melayani kehendak pasangan masing-masing terutama berkaitan seksual.
#Pun begitu, ada masanya Syarak tidak membenarkan suami bersama dengan isterinya yang dikenali sebagai uzur syar’ie. Waktunya larangan tersebut antaranya:
1. Disebabkan haid. Firrman Allah swt:
وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ
“Dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci" [Surah al-Baqarah 222]
#Menurut Ibn al-‘Arabi, larangan mendekati membawa maksud tidak dibenarkan untuk mencampuri isteri. (Lihat: Ahkam al-Quran)
#Berkata Syeikh al-Maraghi berkata: “Apabila perempuan telah mandi (suci daripada haid), maka datangilah mereka pada tempat yang dikehendaki yang telah diberitahu oleh Sunnatullah untuk memeliharanya, iaitu tempat keturunan (peranakan)" (Lihat: Tafsir al-Maraghi)
2. Qiyas kepada haid juga, iaitu nifas.
Darah nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin. Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لحظة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafie, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji)
3. Disebabkan sakit, sehingga tidak mampu dari segi kudrat badan fizikalnya untuk melayan suaminya.
4. Boleh membawa mudarat. Hal ini dengan maksud, jika sabit bahawa dengan sebab persetubuhan boleh membawa kemudaratan dan kesakitan bagi perempuan, maka harus baginya untuk tidak menyahut ajakan suaminya.
5. Si isteri sedang melaksanakan kewajiban Syarak, seperti sedang solat fardhu, atau puasa fardhu, maka berhak baginya untuk tidak melayan suaminya. Tetapi, berilah alasan dengan penuh kasih sayang dan penghormatan pada suaminya.
♡Semoga rumah tangga yang dibina setiap pasangan layak mendapat Baiti Jannati (rumahku syurgaku)♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 19 Zulhijjah 1445H☆
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
"Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka" [Surah al-Baqarah 187]
#Ayat ini menceritakan mengenai hal ehwal perkahwinan iaitu tentang hubungan intim suami dan isteri.
#Syeikh Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau telah menyatakan beberapa hikmah perkahwinan, antaranya:
1. Memenuhi keperluan fitrah manusia
2. Mengembangkan masyarakat Islam dengan keturunan
3. Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
4. Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
5. Memelihara generasi manusia yang sejahtera
6. Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji)
#Apabila berlaku akad nikah antara suami dan isteri, antara peranan kedua-duanya adalah untuk menjadi pakaian antara satu sama lain.
#Sayidina Ibn Abbas r.huma menyatakan bahawa maksud yang dikehendaki dari ayat di atas adalah 'mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka'. Manakala dalam Tafsir at-Tabari menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu, iaitu 'bersetubuh'. (Lihat: Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran)
#Ketahuilah bahawa setiap pasangan memiliki kehendak dalam melayani naluri intim pasangan masing-masing dan perlu dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak. Tetapi bagi wanita, hendaklah melayan kehendak suaminya bilamana diajak. Hal ini berdasarkan hadis Nabi saw:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
"Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama), lalu isteri itu menolaknya, dan suami itu pun tidur dalam keadaan marah terhadap isterinya, maka para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi" (HR al-Bukhari)
#Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadis ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. (Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim)
#Penuhilah kehendak seksual pasangan dan layanlah pasangan dengan sebaiknya serta lindungilah pasangan. Suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan.
#Hayatilah hadis ini:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيْلَ لَهَا أُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ
"Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu" (HR Ahmad, Ibn Hibban dan al-Bazzar)
♡Wahai suami isteri, hiduplah bersama pasangan anda dengan penuh kasih sayang dan penuh kemesraan. Tunaikan peranan anda dengan menjadi pakaian antara satu sama lain♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 18 Zulhijjah 1445H☆
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
"(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang" [Surah an-Nur 36]
#Imam Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah swt memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulamak tafsir.
#Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, kemuliaan masjid juga terletak pada fungsinya sebagai pusat perkembangan ilmu. Masjid perlu menjadi pusat pengajian dan perkembangan ilmu berkaitan duniawi dan ukhrawi.
#Sejak zaman Rasulullah saw dan seterusnya dizaman para sahabat dan para tabi’in masjid telah menjadi pusat pengembangan ilmu-ilmu Islam kepada seluruh ummat. Bermula dari Madinah sehinggalah ke Andalusia, masjid-masjid di kota tersebut telah berkembang sebagai pusat-pusat pengajian sehingga menjadi universiti-universiti yang terbilang diwaktu itu dan sepatutnya dicontohi dizaman kini.
#Sabda Rasulullah saw tentang kelebihan berada dalam majlis ilmu di Masjid Nabawi. Rasulullah saw bersabda:
مَنْ جَاءَ مَسْجِدِي هَذَا، لَمْ يَأْتِهِ إِلَّا لِخَيْرٍ يَتَعَلَّمُهُ أَوْ يُعَلِّمُهُ، فَهُوَ بِمَنْزِلَةِ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَمَنْ جَاءَ لِغَيْرِ ذَلِكَ فَهُوَ بِمَنْزِلَةِ الرَّجُلِ يَنْظُرُ إِلَى مَتَاعِ غَيْرِهِ
"Barangsiapa yang mendatangi masjidku ini, tidaklah dia datang melainkan kerana sesuatu kebaikan yang dia pelajari atau mengajarkannya, maka dia seperti orang yang berjihad di jalan Allah. Dan barangsiapa yang mendatanginya disebabkan selain daripada itu, maka dia seperti seseorang yang melihat barang milik orang lain" (HR Ibnu Majah)
#Bilamana Nabi saw sebut ‘barangsiapa yang mendatangi masjidku ini’ maksudnya Masjid Nabawi semata-mata sebab pada masa itu hanya masjid an-Nabawi tempat belajar ilmu.
#Syeikh Muhammad bin Abdul Hadi as-Sindi umpamakan masjid seperti pasar ilmu. Siapa yang pergi masjid seumpama membeli ilmu dengan belajar dan mengajar. (Lihat: Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah)
#Maka, muliakanlah masjid dengan amal ibadah, zikrullah, majlis ilmu dan juga perkara-perkara yang mengingati akhirat. Janganlah mencemari kemuliaan masjid dengan berbual-bual kosong perihal dunia dan perkara-perkara lagha di dalam masjid.
#Hukum berbual di dalam masjid adalah harus selagimana tidak mengganggu orang lain yang sedang beribadah di dalam masjid tersebut. Diingatkan juga bahawa perbualan tersebut hendaklah dalam ruang lingkup perkara-perkara yang diharuskan dan tidak berlebih-lebihan serta bukan dalam perkara-perkara yang diharamkan seperti mengumpat, mencarut, mengadu domba dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw:
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَتَحَلَّقُونَ فِي مَسَاجِدِهِمْ وَلَيْسَ هِمَّتُهُمْ إِلاَّ الدُّنْيَا لَيْسَ لِلَّهِ فِيهِمْ حَاجَةٌ فَلاَ تُجَالِسُوهُمْ
"Akan datang satu masa di mana manusia akan berkumpul di dalam masjid, sedangkan tiadalah keinginan mereka (pada waktu itu) kecuali hanya dunia semata-mata. Allah tidak memerlukan kepada apa yang mereka lakukan dan janganlah kamu duduk bersama mereka" (HR al-Hakim)
♡Muliakanlah masjid dengan amal ibadah dan jadikanlah masjid sebagai pusat perkembangan ilmu. Meriahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang dapat mendekatkan diri kepada Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment