☆Tadabbur Kalamullah 29 Zulkaedah 1445H☆
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَ أَخَوَیۡكُمۡۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat" [Surah al-Ḥujurāt 10]
#Islam menuntut umatnya agar sentiasa menjadi pendamai dalam sebarang situasi kehidupan.
#Setiap Muslim perlu memainkan peranan di dalam usaha penyatuan sebaliknya mengelakkan diri dari memarakkan api permusuhan sesama insan.
#Ajaran Islam menuntut manusia untuk mencari ruang kedamaian bukan persengketaan yang memecahbelahkan.
#Jom hayati kisah dibawah ini agar kita menjadi pendamai yang menyatukan, bukan batu api yang memusnahkan. Kisahnya:
Ada dua orang adik beradik tinggal berjiran. Masing-masing mempunyai rumah dan kebun sendiri. Rumah dan kebun mereka dipisahkan oleh sebatang anak sungai. Mereka menyayangi antara satu sama lain, hidup rukun dan damai sekian lama sehinggalah pada satu ketika berlaku perselisihan pendapat antara keduanya angkara isteri-isteri mereka.
Perselisihan antara keduanya semakin hari semakin parah sehingga membawa kepada putusnya silaturrahim dan tidak bertegur sapa.
Pada suatu hari, si abang hendak musafir selama sebulan. Sebelum berangkat, dia memanggil seorang kontraktor dan menyuruhnya membina tembok yang tinggi yang memisahkan antara kebunnya dengan kebun adiknya. Dia sangat benci dan tidak mahu bertemu mata dengan adiknya.
Cukup sebulan, dia kembali dari permusafirannya. Dia membayangkan tembok yang dipesannya sudah siap. Sesampai di rumah, alangkah terperanjatnya dia. Kontraktor tidak membina tembok. Sebaliknya dia membina jambatan merentasi anak sungai menghubungkan antara dua tebing. Apabila menyedari abangnya telah kembali, si adik terus datang meniti jambatan yang dibina lantas memeluk abangnya seraya berkata:
"Terima kasih abang. Alangkah besarnya jiwamu! Dalam keadaan kita bersengketa, engkau membina jambatan untuk merapatkan kembali hubungan kita!”
#Sabda Nabi saw:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
"Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim" (HR al-Bukhari dan Muslim
♡Jadilah pendamai yang menyatukan dan jangan sesekali menjadi batu api untuk mencetuskan pergaduhan dan persengketaan♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment