☆Tadabbur Kalamullah 3 Zulhijjah 1445H☆
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan" [Surah al-A’raf 96]
#Berkata Prof. Dr. Hamka: "Keimanan dan takwa kepada Allah membukakan pintu rezeki".
#Jom hayati kisah dibawah ini untuk keinsafan semua:
Seorang raja pergi berburu bersama dengan hulubalangnya. Tiba-tiba dia tenampak seekor binatang buruan. Dia mengekori binatang itu sehingga terpisah dari hulubalangnya. Dengan tidak semena-mena hujan turun dengan lebatnya. Dia kehilangan arah dan terputus hubungan. Dia berjalan sendirian. Tidak tahu ke mana hendak dituju. Tiba-tiba dia terpandang sebuah khemah. Dia berjalan ke arah khemah tersebut. Di muka pintu tercegat seorang perempuan tua. Dia mempersilakan raja masuk ke dalam khemah. Siang berinsut pergi dan malam mula melabuhkan tirainya. Seorang gadis remaja pulang membawa seekor lembu yang dibelanya di padang rumput di siang hari. Lembu itu dibawa masuk bersamanya ke dalam khemah. Perempuan tua menghampiri lembu. Di tangannya sebuah balang. Dia memerah susu sehingga penuh balang yang dipegangnya. Raja memerhatikan apa yang dilakukan oleh perempuan tua dengan puterinya. Dia terfikir, sepatutnya bagi setiap ekor lembu dikenakan cukai sebab ia mengeluarkan susu yang banyak. Di pertengahan malam, perempuan tua berkata anaknya: "Wahai anakku, bangun dan perahkan susu untukku!"
Si anak bangun melaksanakan apa yang diperintahkan ibunya. Namun lembunya tidak mengeluarkan susu walaupun setitik. Dia memanggil ibunya: "Wahai ibu, sesungguhnya raja telah menyimpan niat yang tidak baik terhadap kita!" Ibunya bertanya: "Bagaimana engkau tahu wahai anakku?" Si anak menjawab: "Tengoklah lembu kita ini, ia tidak mengeluarkan susu walau setitik pun." Ibu berkata: "Tunggulah sekejap." Raja yang mendengar percakapan kedua beranak itu sangat hairan. Dia tertanya-tanya di dalam hati, dari mana gadis itu mengetahui niat di hatiku? Kalau begitu, aku tidak akan lakukan apa yang aku fikirkan tadi!"
Selepas menunggu seketika seperti yang disuruh ibunya, dia mendengar ibunya berkata: "Anakku, cuba engkau perah semula susu lembu itu!" Si anak lantas mendapatkan lembunya dan memerah susunya. Dia dapati lembunya mengeluarkan susu sepenuh balang seperti kebiasaannya. Lalu dia memberitahu ibunya: "Wahai ibu, niat buruk yang berlegar di dalam hati raja telah lesap. Lembu kita sudah mengeluarkan susu dengan banyaknya!". Keesokan harinya para hulubalang yang mencari raja menemuinya di khemah itu. Dia menitahkan hulubalang membawa kedua-dua beranak itu ke istana dan melayani mereka dengan sebaik-baiknya. Di suatu kesempatan dia bertanya kepada kedua beranak itu, bagaimana mereka tahu ada niat tidak baik dan kemudian niat itu telah padam?. Perempuan tua berkata: "Kami telah ditinggal di situ sejak sekian tahun lamanya. Sepanjang yang patik alami, jika kami diperintah dengan adil, negeri kami akan subur, rezeki kami lapang dan hidup kami senang. Sebaliknya jika diperintah dengan zalim, kehidupan kami jadi sempit, hasil pendapatan kami pun merosot" (Lihat: Zaadul Murabbin)
#Teringat suasana hari ini. Pemimpin baru melakar niat, Allah terus tarik nikmat. Di zaman kita sekarang bukan niat, malah rakyat sudah dijerat dengan berbagai cukai yang berat, ditarik subsidi bahan api, kenaikan pelbagai tarif dan kehidupan dipenuhi hiburan dunia. Mungkinkah segala kesulitan yang kita hadapi dan hilangnya keluasan rezeki berpunca daripada ketidakadilan pemerintah serta kezaliman mereka?
♡Sama-samalah kita fikirkan dan insafilah diri♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment