☆Tadabbur Kalamullah 16 Muharram 1446H☆
لَّا یُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلۡجَهۡرَ بِٱلسُّوۤءِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ إِلَّا مَن ظُلِمَۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِیعًا عَلِیمًا
"Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui" [Surah an-Nisāʾ 148]
#Doa orang yang dizalimi dibenarkan syarak. Doa orang yang teraniaya termasuk dalam golongan doa yang pasti dikabulkan Allah. Maka, apa sahaja doa yang mereka panjatkan sama ada bermaksud baik atau sebaliknya akan dimakbulkan.
#Berkata Imam Ibn Kathir rahimahullah ketika menceritakan kisah fitnah Khalq al-Quran (mengatakan al-Quran makhluk, bukan kalam Allah):
"Datang seorang lelaki kepada Imam Ahmad sambil mengesat air matanya dengan hujung baju, seraya berkata:
"Berat untuk aku nyatakan kepadamu wahai Abu 'Abdillah (gelaran Imam Ahmad), bahawa al-Ma'mun (khalifah ketika itu) telah mengeluarkan pedang yang belum pernah dikeluarkannya sebelum ini, dia telah menghamparkan Nat'an (hamparan tempat dijatuhkan hukuman mati) yang belum pernah dihamparkannya sebelum ini. Dia juga bersumpah hubungan kerabatnya dengan Nabi saw, jika engkau tidak menerima pandangan Khalq al-Quran (mengatakan Quran itu makhluk), pasti dia membunuh engkau dengan pedangnya itu".
Tiba-tiba Imam Ahmad melutut dan memandang ke arah langit seraya berdoa:
سيدي غر حلمك هذا الفاجر حتى يتجبر على أوليائك بالضرب والقتل، اللهم فإن يكن القرآن كلامك غير مخلوق فاكفنا مؤنته
"Tuhanku, telah melimpah kelembutanMu ke atas penjahat ini (al-Ma'mun), sehingga dia bertindak angkuh ke atas orang ramai, memukul dan membunuh mereka. Ya Allah, jika al-Quran itu benar-benar kalamMu, bukan makhluk lindungi kami dari kejahatannya"
Pada malam hari, ada suara yang berteriakan memberitahu kematian al-Ma'mun pada 1/3 akhir malam tersebut. (Lihat: al-Bidayah wan Nihayah)
#Hayati 2 firman Allah swt ini:
وَٱلَّذِینَ إِذَاۤ أَصَابَهُمُ ٱلۡبَغۡیُ هُمۡ یَنتَصِرُونَ
"Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas)" [Surah Ash-Shūrā 39]
وَلَمَنِ ٱنتَصَرَ بَعۡدَ ظُلۡمِهِۦ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ مَا عَلَیۡهِم مِّن سَبِیلٍ
"Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka" [Surah Ash-Shūrā 41]
#Sebenarnya, bukan sekadar doa agar dibinasakan orang yang zalim dibenarkan, dalam 2 ayat diatas menunjukkan agama membenarkan kita membalas kejahatan yang dilakukan terhadap kita dengan balasan setimpal. Dan mereka tidak dipikulkan sebarang dosa, kerana agama izinkan orang yang dizalimi untuk membela dirinya. Sekalipun demikian, jika orang yang dizalimi itu memberi kemaafan, maka itulah yang lebih baik.
♡Ingatlah, doa dan aduan orang yang teraniaya kepada Tuhannya termasuk dalam golongan doa yang pasti dikabulkan Allah. Maka, apa sahaja aduan yang mereka sampaikan dalam munajat mereka kepada Allah sama ada bermaksud baik atau kebinasaan akan dimakbulkan. Berwasapadalah!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment