☆Tadabbur Kalamullah 18 Muharram 1446H☆
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya" [Surah al-Ma’idah 90]
#Arak itu haram hukumnya berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran dan Allah swt memerintahkan kita untuk menjauhinya. Setiap perkara yang terkait dengan arak juga haram dan hanya mendorong kepada kemurkaan dan laknat daripada Allah swt.
#Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw telah melaknat 10 golongan kerana arak:
عَاصَرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةِ إِلَيْهِ، وَسَاقِيهَا، وَبَائِعِهَا، وَآكِلُ ثَمَنِهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا، وَالْمُشْتَرَى لَهُ
"Orang yang memerahnya, orang yang meminta diperahkannya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakannya, orang yang memberi minumnya, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, pembelinya, dan orang yang dibelikan untuknya" (HR at-Tirmizi dan Ibn Majah)
#Setiap muslim diwajibkan untuk menjauhi arak kerana di dalamnya terdapat kerosakan yang lebih besar daripada manfaatnya. Selain itu juga, menjadi kewajiban untuk menjauhi segala hal yang terkait dengannya, seperti proses pembuatan, pengiriman, tajaan dan segala aspek yang berhubungan dengan arak.
#Jika ada penajaan Syarikat Arak terhadap aktiviti sukan atau pendidikan atau apa sahaja maka wajib ditolak.
#Jabatan Mufti Pulau Pinang pernah mengeluarkan pandangan hukum syara' mengenai SUKOM yang ditaja oleh syarikat Carlsberg (12 Okt 2015) seperti berikut:
AJK Syariah memandang berat di atas penajaan daripada syarikat Carlsberg kerana syarikat ini adalah syarikat yang mengandungi unsur arak, dimana unsur arak tidak pernah menjadi alat pemangkin kepada membangun kesihatan badan manusia malah sebaliknya ia menjadi ibu segala maksiat apatah lagi ianya adalah haram mengikut ajaran Islam dan harta yang diperolehi daripada hasil arak ini bagi orang Islam tidak dianggap sebagai "harta Mutakawam". Oleh itu penajaan Carlsberg patut ditolak oleh SUKOM.
#Begitu juga, pemakaian baju yang mempunyai lambang atau logo syarikat arak atau judi adalah haram dan dilarang. Ini kerana, tujuan utama mempamerkan jenama atau logo syarikat arak dan judi di pakaian-pakaian adalah tidak lain bertujuan untuk mempromosikan kepada masyarakat tentang kewujudan mereka (syarikat arak dan judi) seterusnya menjadi satu galakan kepada masyarakat untuk membeli dan mencubanya. Pemakaian baju seperti ini sudah pasti akan mendatangkan keuntungan kepada syarikat judi dan arak tersebut.
#Mempromosikan arak dan judi juga adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang di dalam Islam. Jika tujuan pemakaian adalah sebagai satu promosi maka ianya dikira sebagai menolong kepada yang haram. Namun demikian, sekiranya pemakaian tidak bertujuan sedemikian, maka dia juga dikira sebagai mempromosikan perkara-perkara haram tanpa dia sedari. Maka ia tetap haram.
#Bahkan jika seorang pemandu lori menghantar gas yang akan digunakan untuk proses pembuatan arak, maka ianya juga dilarang dan dia tidak boleh menghantar gas tersebut ke perusahaan tersebut.
♡Ketahuilah, segala apa yang bersangkutan dengan arak adalah haram dan dilarang. Penajaan syarikat arak untuk bidang pendidikan juga haram dan wajib dihalang serta dijauhi. Semoga penjelasan ini, membuka minda dan memberi kefahaman kepada kita semua untuk terus hidup dalam kerangka syariat Islam yang sebenar♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment