Friday, 26 July 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 21 Muharram 1446H☆


وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ


Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu" [Surah al-Ghafir 60] 

 

#Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah swt menuntut hambaNya untuk berdoa kepadaNya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara orang Islam (Lihat: Tafsir Ibn ‘Asyur) 


#Ramai daripada kalangan kita tidak mengetahui cara Allah swt menerima doa hamba-hambaNya sehingga mereka menyangka bahawa Allah swt tidak menerima doa mereka. Terdapat sebuah hadis yang membicarakan berkaitan hal ini:

 

#Daripada Sayidina Abi Said al-Khudri r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:


مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا


"Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kecelakaan" (HR Ahmad) 


#Allah swt mengingatkan manusia jangan sesekali berputus asa mendapatkan rahmat dan keampunan daripada Allah swt. Pintu doa sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja yang memohon kepadaNya dengan penuh kesungguhan dan kesabaran. 


#Berkata Imam Fudhail bin Iyadh rahimahullah:


"Daku belajar bersabar sejak dari kecil. Suatu hari, ketika aku berjalan menuju ke masjid, aku dapati seorang ibu sedang memukul anak lelakinya kemarahan, anak itu menjerit menangis, lalu membuka pintu dan segera berlari keluar. Ibu yg dalam kemarahan segera menutup pintu rumahnya, marah dengan sikap anaknya.


Berkata Imam Fudhail lagi: "Ketika pulang dari masjid, aku melihat si anak tadi tertidur di hadapan pintu rumah, setelah letih menangis merayu kepada ibunya agar membuka pintu. Seorang ibu, sudah tentu berasa belas dengan anaknya, dengan segera membuka pintu rumah untuk anaknya.


Menangislah Imam Fudhail bin Iyadh sehingga basah janggutnya, seraya berkata: 


"Maha Suci Allah, kalaulah seorang hamba mahu bersabar ketika mengetuk pintu kemustajaban dari Allah Yang Maha Mulia Dan Maha Agung, sudah tentu, pasti Allah akan membuka pintu kemustajaban untuknya". 


#Berkata Sayidina Abu Darda' r.a: "Bersungguh-sungguhlah berdoa, sesungguhnya siapa yang banyak mengetuk pintu, sudah tentu tidak lama lagi pintu itu akan dibuka untuknya" (Musannaf Ibn Abi Syaibah)


♡Bersabarlah dalam mengetuk pintu doa seperti seorang anak mengetuk pintu hati ibunya. InsyaAllah, sampai ketikanya dan sesuai dengan kehendakNya maka kita akan beroleh apa yang kita munajatkan♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah





No comments:

Post a Comment

  PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Doa Ketika Ziarah Pesakit عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَس...