Saturday, 27 July 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 22 Muharram 1446H☆


وَیۡلࣱ لِّلۡمُطَفِّفِینَ * ٱلَّذِینَ إِذَا ٱكۡتَالُوا۟ عَلَى ٱلنَّاسِ یَسۡتَوۡفُونَ * وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ یُخۡسِرُونَ 


"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi" [Surah Al-Muṭaffifīn 1-3]


#Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut para perniaga bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai helah seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan seumpama ini adalah dilarang dan tercela dalam Islam. Termasuk juga dalam kategori tidak menyempurnakan sukatan dan timbangan ini, perbuatan mengurangkan kualiti dan kuantiti sesuatu barangan.


#Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan ini, Allah swt telah menemplak peniaga yang berbuat demikian sebagaimana disebut dalam ayat diatas. 


#Berkata mantan Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor: "Neraka wail menanti individu menipu urusan jual beli, termasuk di bazar Ramadan" (Lihat: Harian Metro, 22 Mac 2024)


#Imam Fudhail bin 'Iyadh rahimahullah pernah melihat salah seorang anaknya sedang menyapu piring penimbang (barang jualannya) dengan hujung bajunya. 


Tanya Imam Fudhail bin 'Iyadh: "Mengapa kamu lakukan sedemikian?" Jawab anaknya: "Agar aku tidak menimbang untuk orang Islam barangan bersama debu jalanan" 


Menangis Imam Fudhail dan berkata: "Sesungguhnya amalanmu ini wahai anakku di sisiku lebih utama berbanding melaksanakan 2 kali haji dan 20 kali umrah" (Lihat: Ummah al-'Uzhamaa')


#Allah swt memerintahkan agar disempurnakan sukatan dan timbangan dalam aktiviti perniagaan. FirmanNya:


وَأَوۡفُوا۟ ٱلۡكَیۡلَ إِذَا كِلۡتُمۡ وَزِنُوا۟ بِٱلۡقِسۡطَاسِ ٱلۡمُسۡتَقِیمِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلࣰا 


"Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak)" [Surah al-Isrāʾ 35]


وَأَقِیمُوا۟ ٱلۡوَزۡنَ بِٱلۡقِسۡطِ وَلَا تُخۡسِرُوا۟ ٱلۡمِیزَانَ 


"Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang"  [Surah ar-Raḥmān 9]


#Kedua ayat diatas memerintahkan agar disempurnakan timbangan dan sukatan. Bahkan dalam surah Allah swt turut menjanjikan kesan dan kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berbuat demikian.  


♡Diingatkan kepada semua peniaga, samada peniaga restoran, kedai makan, gerai durian, kedai runcit, pasaraya, kontraktor bangunan dan sebagainya, bahawa sekiranya perintah dan suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan turunnya bala dan azab Allah swt, sebagaimana berlakunya terhadap penduduk Madyan, kaum nabi Syuib Alaihissalam. Insafilah!!♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah





No comments:

Post a Comment

 [26/7/25, 21:35:14] KSC Hamidi: (A'uzubi izzatillah wakudratihi min syarrima Ajidu waa u'haadzir) [26/7/25, 21:35:47] KSC Hamidi: (...