☆Tadabbur Kalamullah 23 Safar 1446H☆
قُلۡ مَا یَعۡبَؤُا۟ بِكُمۡ رَبِّی لَوۡلَا دُعَاۤؤُكُمۡۖ فَقَدۡ كَذَّبۡتُمۡ فَسَوۡفَ یَكُونُ لِزَامَۢا
Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu" [Surah al-Furqān 77]
#Dalam ayat akhir Surah al-Furqan ini, Allah swt memaklumkan bahawa keselamatan kita di dunia dan akhirat terletak kepada doa dan ibadah kita.
#Berkata ulamak tafsir: "Allah menggunakan perkataan 'tidak menghargai' bagi menunjukkan Allah swt tidak memerlukan kepada kita atau ibadah kita sama sekali. Yang perlu adalah kita untuk memohon dan meminta hanya kepadanya untuk segala-galanya. Kejayaan dan keselamatan manusia itu apabila dia menyembah Tuhannya, bermunajat kepadaNya, memohon kepadaNya dan bergantung segala urusan kepadaNya.
#Doa adalah senjata yang ampuh bagi orang mukmin. Islam mengajar disamping kita berusaha sehabis daya, maka sebagai makhluk, kita serahkan segala keputusan kepada pemilik segalanya. Sebagai muslim yang beriman, kita percaya dan yakin bahawa Allah sentiasa ada bersama dan sentiasa memberi perlindunganNya kepada kita.
#Doa adalah otak atau intipati kepada keseluruhan ibadah. Bahkan doa dan ibadah adalah penyelamat kita didunia dan akhirat.
#Rasulullah saw bersabda:
لا يَرُدُّ القَضَاءَ إلَاّ الدُّعاءُ
"Tidak ditolak satu-satu takdir ketentuan melainkan dengan doa" (HR at-Tirmizi)
#Hadis ini menyarankan untuk berdoa kerana hakikat kepada takdir Allah swt itu tidak diketahui. Dengan doa boleh merubah takdir jika diperkenankan Allah swt dan menyelamatkan masa depan akhirat kita.
#Nabi saw juga menyebut dalam sabdanya:
لَيْسَ شَيْءٌ أَكْرَمُ عَلَى اللهِ تَعَالَى مِنَ الدُّعَاءِ
"Tidak ada sesuatu yang paling mulia bagi Allah Ta’ala daripada doa" (HR Ahmad, al-Bukhari dalam Adabul Mufrad, at-Tirmidzi dan al-Hakim)
#Daripada Sayidina Ibn Umar r.a, Nabi saw bersabda:
إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ
"Sesungguhnya doa bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah"
(HR at-Tirmizi)
#Orang yang enggan berdoa, maka dia tergolong dalam kalangan orang yang rugi dan binasa, bahkan dikategorikan mereka yang angkuh lagi sombong. Dan mereka bakal dihumban ke dalam neraka Jahannam. Firman Allah swt:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِیۤ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِی سَیَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِینَ
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina" [Surah Ghāfir 60]
#Allah swt mengatakan orang yang tidak berdoa dan tidak melakukan ibadah kepada Allah bakal diazab di dalam nerakaNya dengan penuh kehinaan dan kesengsaraan.
♡Sentiasalah berdoa, kerana ia merupakan sifat seorang hamba dan menghindari dari sifat takabbur dan sombong. Ingatlah, kita adalah hamba yang lemah dan sentiasa berharap kepadaNya. Doa dan ibadah bakal menyelamatkan kita. Jom doa!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join telegram:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment