☆Tadabbur Kalamullah 26 Safar 1446H☆
وَلَوۡ یُعَجِّلُ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ ٱلشَّرَّ ٱسۡتِعۡجَالَهُم بِٱلۡخَیۡرِ لَقُضِیَ إِلَیۡهِمۡ أَجَلُهُمۡۖ فَنَذَرُ ٱلَّذِینَ لَا یَرۡجُونَ لِقَاۤءَنَا فِی طُغۡیَـٰنِهِمۡ یَعۡمَهُونَ
"Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya" [Surah Yūnus 11]
#Allah swt memaklumkan kepada kita bahawa sesiapa yang berdoa memohon keburukan samada untuk dirinya atau orang lain yang dilakukan dalam keadaan dipengaruhi perasaan marah, tidak akan dimustajabkan permohonannya.
#Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata: "Allah mengkhabarkan berkaitan kesantunan dan kehalusanNya terhadap para hamba, bahawa Dia tidak akan memustajabkan untuk mereka apabila mereka berdoa keburukan untuk diri, harta atau anak-anak ketika dalam keadaan tertekan dan marah. Dia Maha Mengetahui, mereka tidak bermaksud mahu diperkenankan apa yang dipinta tersebut. Kerana itu Dia tidak akan memustajabkan untuk mereka dalam keadaan tersebut, kerana sifat kehalusan dan belasNya, sepertimana Dia memustajabkan untuk mereka apabila berdoa kebaikan, keberkatan yang melimpah untuk diri, harta dan anak-anak. Kerana itu Allah berfirman: "Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka.. Iaitulah jika Allah memustajabkan untuk mereka setiap yang mereka minta (sekalipun keburukan), sudah tentu perkara itu akan membinasakan mereka. Sekalipun begitu, (kita) tidak sepatutnya banyak membuat permintaan seperti itu.."
#Oleh itu, kita dianjurkan agar memperbanyakkan beristighfar memohon keampunan dan permohonan agar sentiasa dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang keburukan, bala bencana, kecelakaan dan kebinasaan di samping memohon dilimpahkan kebaikan dan kurniaan yang banyak.
#Contohilah doa nabi saw dalam memohon. Baginda sentiasa memohon agar dikurniakan kebaikan walaupun doa yang diungkap adalah celaan yang berlaku ketika baginda marah. Sabda Nabi saw:
اَللَّهُمَّ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ فَأَيُّ الْمُسْلِمِيْنَ لَعَنْتُهُ، أَوْ سَبَبْتُهُ فَاجْعَلْهُ لَهُ زَكَاةً وَأَجْراً
"Ya Allah, daku ini hanyalah seorang manusia. Maka mana-mana dari kalangan orang Islam yang daku melaknat dan mencelanya, jadikanlah untuknya pembersihan dosa dan pahala" (HR Muslim)
#Diterangkan doa diatas dalam riwayat Muslim yang lain, Sayidatina Aisyah r.ha menceritakan: "Ada dua orang lelaki masuk menemui Rasulullah saw, mereka berdua berbicara dengan baginda berkaitan satu perkara yang daku tidak tahu apa perkara tersebut. Mereka berdua telah menjadikan baginda marah, maka baginda memaki dan mencela dan mencerca mereka berdua".
#Celaan dan cercaan baginda kepada mereka berdua disebabkan keduanya melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah swt. Sayidatina 'Aisyah menceritakan: "Tidak pernah baginda marah kerana mempertahankan diri baginda sama sekali, melainkan baginda akan marah jika membabitkan kemuliaan Allah, maka baginda marah kerana Allah" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Hadis ini menunjukkan sekalipun celaan dan cercaan baginda tersebut tidak dimakbulkan, kerana baginda mengungkapkannya dalam keadaan marah, namun baginda tetap mengharapkan ia ditukar kepada penghapusan dosa, pahala dan rahmat.
#Itulah kemuliaan Rasulullah saw yang sentiasa mengharapkan kebaikan kepada semua umatnya sekalipun dalam keadaan baginda marah.
♡Berdoalah memohon perkara yang baik-baik untuk diri, keluarga, harta benda, masa depan dan untuk orang lain. Semoga sentiasa dimakbulkan. Janganlah sesekali memohon keburukan samada ketika tenang mahupun ketika marah. Jom berdoa kebaikan!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment