Friday, 2 August 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 28 Muharram 1446H☆


وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَن يُقْتَلُ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتٌۢ ۚ بَلْ أَحْيَآءٌۭ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ


"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya" [Surah al-Baqarah 154] 


#Setiap manusia akan mati dan kematian datang bila-bila masa sama ada manusia sudah buat persiapan atau belum membuat persiapan. Kematian ditentukan oleh Allah swt sama ada kematian dengan  mendapat husnul khatimah atau su'ul khatimah.


#Dalam kalangan hamba Allah swt ada diantara mereka dipilh oleh Allah swt memperoleh mati syahid iatu kematian yang sangat mulia, dan menjadi idaman para mukmin dan solihin kerana mati syahid adalah kematian yang terlepas daripada seksa kubur dan kegawatan di Padang Mahsyar. Mereka yang mati syahid akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab. Allahuakbar!! 


#Sabda Nabi saw:


مَا أَحَدٌ يَدْخُلُ الجَنَّةَ يُحِبُّ أَنْ يَرْجِعَ إلَى الدُّنْيَا وَلَهُ مَا عَلَى الأَرْضِ مِنْ شَيْءٍ إلا الشَّهِيدُ يَتَمَنَّى أَنْ يَرْجِعَ إلَى الدُّنْيَا فَيُقْتَلَ عَشْرَ مَرَّاتٍ لِمَا يَرَى مِنَ الكَرَامَةِ. وفي رواية: لما يَرى من فَضْل الشَّهادة


"Tiada seorangpun yang telah masuk syurga lalu ingin kembali ke dunia untuk memperoleh sesuatu yang ada di dalamnya kecuali orang yang mati syahid (syuhada'). Dia berharap untuk kembali ke dunia sehingga terbunuh kembali (sebagai syahid) sebanyak sepuluh kali, kerana dia telah melihat kemuliaannya". Dalam satu riwayat: "Setelah dia melihat keutamaan mati syahid" (Muttafaq ‘alaihi)


#Hebatnya mati syahid fan kedudukan yang diperolehi oleh mereka. Tidak ada seorang pun yang berangan-angan atau ingin berpisah dari syurga setelah memasukinya dan kembali ke dunia lagi, walaupun dia diberikan dunia dengan segala harta bendanya yang berharga seperti istana megah dan kebun-kebun indah. Kemudian Rasulullah saw mengecualikan orang yang mati syahid, kerana dia ingin kembali ke dunia sepuluh kali agar dapat berjihad di jalan Allah dan meraih kemenangan dengan mati syahid sebanyak sepuluh kali lagi. Hal tersebut disebabkan dia telah melihat kemuliaan, kehebatan, keagungan dan kenikmatan luar biasa yang diberikan kepada para syuhada'. 


#Dalam hadis riwayat Sayidina Jabir r.a, ia berkata: Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah, di mana aku nanti bila telah mati terbunuh (syahid)? Baginda saw menjawab: "Di syurga". Lelaki itu lalu segera melemparkan beberapa biji buah kurma yang berada di tangannya, kemudian ia berperang hingga gugur syahid. Dalam hadis Suwaid: "Seorang lelaki berkata kepada Nabi saw pada waktu perang Uhud" (HR Muslim) 


# Dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda:

"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:


1. Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar

2. Melihat tempatnya didalam syurga.

3. Dilindungi dari azab kubur  dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar

4. Merasakan kemanisan iman

5. Dikahwinkan dengan bidadari, dan

6. Diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya" (HR at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)


#Mulianya mereka yang mendapat gelaran para syuhada', sentiasa mendapat rezeki dan nikmat yang sungguh besar dikurniakan oleh Allah swt dan jika boleh mereka ingin kembali ke dunia dan mereka ingin mati syahid beberapa kali lagi kerana betapa nikmatnya mati sebagai para syuhada'. 


♡Riwayat berkaitan kemuliaan orang mati syahid ini, sepatutnya mempengaruhi orang Islam supaya bercita-cita mati syahid, iaitu kematian yang termulia dalam Islam♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk     

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah





No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...