☆Tadabbur Kalamullah 3 Safar 1446H☆
وَقُل رَّبِّ زِدۡنِی عِلۡمࣰا
"Dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmu kepadaku" [Surah Ṭā-Hā 114]
#Ayat ini menunjukkan keutamaan ilmu dan keagungannya. Ilmu memiliki kedudukan yang mulia dalam agama Islam. Ilmu merupakan cahaya yang menerangi seseorang dalam menjalani kehidupan didunia ini. Dengan ilmu, seseorang menjadi jelas dalam mengikuti jalan kebenaran yang menghantarkannya ke syurga Allah swt.
#Bahkan dengan ilmu, akan menjadi jelas jalan-jalan kesesatan yang sepatutnya seseorang itu hindari. Seseorang dapat meraih kebahagiaan di dunia dan di akhirat juga kerana ilmu. Dan peribadatan kepada Allah swt tidak akan diterima, kecuali dengan ilmu. Disebabkan itulah Allah swt menuntut kita semua mendahulukan ilmu sebelum beramal.
#Berkata Imam as-Syafie rahimahullah:
تَعَلَّم فَلَيسَ المَرءُ يُولَدُ عَالِمًا وَلَيسَ أَخُو عِلمٍ كَمَن هُوَ جَاهِلُ
"Belajarlah, kerana tidak ada orang yang terlahir pintar dan tidaklah orang yang berilmu itu sama dengan orang yang jahil.
وَمَن لَم يَذُق مُرَّ التَّعَلُّمِ سَاعَةً تَجَرَّعَ ذُلَّ الجَهلِ طُولَ حَيَاتِهِ
"Barangsiapa tidak pernah merasakan pahitnya belajar walau sesaat nescaya dia (akan menyesal) meneguk hinanya kebodohan sepanjang hayatnya".
#Untuk menguasai ilmu secara mendalam maka diperlukan kesabaran dalam menuntutnya. Berkata sebahagian salaf:
من لم يصبر على ذل التعليم بقي عمره في عماية الجهل، ومن صبر عليه آل أمره إلى عز الآخرة والدنيا
"Sesiapa yang tidak sabar dalam kepayahan menuntut ilmu maka dia akan terus hidup dalam sisa kehidupannya dalam buta kejahilan, namun sesiapa yang bersabar padanya maka baginya kemuliaan sepanjang umurnya sama ada di dunia dan akhirat" (Lihat: at-Tibyan fi Adab Hamlatul Quran)
#Selain menuntut ilmu, ilmu yang dipelajari itu tidak akan bermanfaat jika seseorang tidak mengamalkannya. Tujuan mempelajari ilmu bukan sekadar pengetahuan dan wawasan sahaja, yang utamanya ialah melakukan amal soleh.
#Berkata Yusuf bin Asbat rahimahullah:
يقول يُوسُفَ بْنَ أَسْبَاطٍ: بَلَغَنِي أَنَّ الْخِضَرَ عَلَيْهِ السَّلامُ قَالَ لِمُوسَى عَلَيْهِ السَّلامُ لَمَّا أَرَادَ أَنْ يُفَارِقَهُ: يَا مُوسَى! تَعَلَّمِ الْعِلْمَ لِتَعْمَلَ بِهِ، وَلا تَعَلَّمْهُ لِتُحَدِّثَ بِهِ
"Telah diceritakan bahawa saat Nabi Khidir Alaihissalam ingin berpisah dengan Nabi Musa Alaihissalam, beliau telah berkata:" Wahai Musa! Tuntutlah ilmu dengan tujuan untuk engkau amalkannya, bukan engkau belajar untuk sekadar engkau bercakap tentangnya" (Lihat: al-Mujalasah wa Jawahir al-Ilm)
#Daripada Muhammad bin al-Nadr berkata:
عن محمّد بن النّضر قال:"أوّلُ العِلْمِ الاِسْتِمَاعُ، ثُمَّ الإِنْصاَتُ، ثُمَّ حِفْظُهُ، ثُمَّ العَمَلُ بِهِ، ثُمَّ بَثُّهُ
" Peringkat pertama ilmu ialah engkau mendengarnya, kemudian engkau menghayatinya, kemudian engkau menghafalnya, kemudian engkau beramal dengannya dan akhir sekali engkau menyampaikannya" (Lihat: Sir A'lam an-Nubala')
#Kita diperintahkan untuk meminta jalan yang lurus dan berlindung dari 2 penyimpangan terhadap ilmu:
1. Pertama: Beramal tanpa ilmu.
2. Kedua: Berilmu, namun tidak beramal.
#Barangsiapa yang berilmu namun tidak beramal, maka mereka adalah yang dimurkai, berhak mendapat murka Allah swt disebabkan oleh kelalaian mereka dalam mewujudkan tujuan menuntut ilmu, iaitu amal soleh. Dan barangsiapa yang beramal tanpa ilmu, maka mereka adalah orang yang tersesat dari jalan Allah swt dan jalan yang lurus" (Lihat: Tsamaraatul ‘Ilmi Al-‘Amalu)
♡Seseorang tidak dapat menegakkan agama kecuali dengan ilmu dan amal soleh. Bahkan kita dimasukkan ke dalam syurga bukan sekadar kerana ilmu yang kita ketahui, tetapi kerana iman dan amal soleh yang kita kerjakan. Ya Allah, kurniakan kami ilmu yang bermanfaat. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullahl
No comments:
Post a Comment