☆Tadabbur Kalamullah 29 Muharram 1446H☆
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَ أَخَوَیۡكُمۡۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat" [Surah al-Ḥujurāt 10]
#Umat Islam adalah bersaudara. Persaudaraan ini didasari oleh ikatan tauhid yang tidak boleh dinafikan kekuatannya sekiranya ia benar-benar diperakui oleh hati yang yakin terhadap kekuasaan dan keesaan Allah swt.
#Hubungan yang paling dekat ialah hubungan kekeluargaan. Saudara yang paling dekat ialah saudara kandung. Islam sangat menegaskan kepentingan menjaga silaturahim bukan sahaja sesama manusia malah yang paling utama ialah sesama ahli keluarga.
#Diceritakan al-Hajjaj pernah menangkap dan memenjarakan 3 orang penjenayah. Lalu dijatuhkan hukuman bunuh ke atas mereka bertiga. Sebaik sahaja ketiga-tiga penjenayah itu dibawa ke hadapan tukang pancung, al-Hajjaj terlihat seorang wanita cantik menangis teresak-esak.
Kata al-Hajjaj: "Bawakan wanita itu ke mari". Wanita itu pun dibawa ke hadapan al-Hajjaj. Kata al-Hajjaj: "Apa yang menyebabkan kamu menangis?" Jawab wanita itu: "Mereka bertiga yang engkau telah jatuhkan hukuman pancung itu, salah seorangnya adalah suamiku, seorang lagi saudara kandungku dan seorang lagi adalah anak, buah hatiku, bagaimana aku tidak menangis?".
Simpati dengan wanita tersebut, al-Hajjaj bersetuju untuk memberi kemaafan kepada salah seorang dari mereka bertiga yang lebih disayangi olehnya.
Kata al-Hajjaj: "Pilihlah mana-mana salah seorang dari mereka bertiga untuk diberikan kemaafan". Al-Hajjaj menyangka sudah tentu wanita tersebut akan memilih anaknya.
Suasana menjadi senyap seketika. Semua penglihatan tertumpu kepada wanita tersebut, siapakah yang akan dipilihnya untuk mendapat keampunan dan bebas dari hukuman pancung?
Tiba-tiba wanita itu bersuara memecahkan kesunyian, kata beliau: "AKU MEMILIH SAUDARA KANDUNGKU".
Terperanjat al-Hajjaj. Dengan segera beliau bertanya kenapa kamu memilih saudaramu? Tidak yang lain?.
Jawab wanita itu dengan bijaksana: "Adapun suami itu masih ada iaitu suami boleh sahaja diperolehi dengan mengahwini lelaki yang lain.
Adapun anak, boleh sahaja dilahirkan lagi. Manakala saudara kandung adalah suatu yang tidak mungkin diperolehi lagi, kerana mustahil untuk aku menghidupkan semula bapa dan ibuku".
Al-Hajjaj berasa kagum dengan wanita tersebut lalu diberikan kemaafan kepada ketiga-tiga pesalah.
♡Pengajaran yang boleh kita ambil ialah, saudara kandung tiada gantinya. Biasanya kita tidak merasai nilai saudara kandung melainkan setelah mereka tiada. Justeru jagalah hubungan dengan mereka kerana ketiadaan mereka tiada gantinya lagi♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullahl
No comments:
Post a Comment