☆Tadabbur Kalamullah 16 Rabiul Awwal 1446H☆
مُّحَمَّدࣱ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ
"Nabi Muhammad saw ialah Rasulullah" [Surah al-Fatḥ 29]
#Nabi Muhammad adalah Rasulullah yakni utusan Allah. Allah swt telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa perkhabaran mengenai kebangkitan Nabi Muhammad telah termaktub di dalam kitab Taurat dan Injil. Ini adalah sesuatu yang menunjukkan kesinambungan risalah Allah swt kepada baginda saw. Sebagaimana ahli kitab terdahulu beriman kepada Nabi Musa dan Nabi Isa Alaihissalam, maka menjadi satu kewajipan kepada mereka untuk beriman kepada Nabi Muhammad. Walaupun begitu, terdapat beberapa golongan daripada kalangan ahli kitab yang mengingkari perkhabaran tersebut dengan berdalilkan bahawa tiada perkataan Ahmad disebutkan di dalam kedua kitab tersebut. Firman Allah swt:
ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِىَّ ٱلْأُمِّىَّ ٱلَّذِى يَجِدُونَهُۥ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ وَٱلْإِنجِيلِ
"Mereka ialah orang yang mengikut Rasulullah; seorang Nabi yang buta huruf yang mereka dapati nama dan sifat-sifatnya tertulis dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka..." [Surah al-A’raf 157]
#Para ulamak Islam menjelaskan bahawa Allah telah memberitahu di dalam al-Quran mengenai penyelewengan yang dibuat oleh golongan ahli kitab terhadap kitab mereka. Antara penyelewengan yang berlaku adalah perkhabaran mengenai Nabi Muhammad. Mereka menyembunyikannya, bahkan memadamnya dari kitab-kitab mereka. Walaupun sedemikian, masih terdapat isyarat terhadap Baginda Nabi dan risalah suci yang dibawa. Namun golongan ahli kitab enggan menerima isyarat-isyarat ini, bahkan mentafsirkannya dengan tafsiran yang selari dengan hawa nafsu mereka.
ٱلَّذِینَ ءَاتَیۡنَـٰهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ یَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا یَعۡرِفُونَ أَبۡنَاۤءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِیقࣰا مِّنۡهُمۡ لَیَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ یَعۡلَمُونَ
"Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian)" [Surah al-Baqarah 146]
#Didalam sebuah riwayat, Sayidatina Safiyyah r.ha, isteri Nabi saw menceritakan saat ketibaan Nabi di Madinah. Ayah beliau Huyai bin Akhtab bersama pakciknya Abu Yasir menunggu kedatangan Nabi ke Madinah dengan perasaan yang berkecamuk. Bilamana Nabi telah sampai di Quba’, mereka berdua bergegas untuk melihat Baginda saw. Lalu apabila mereka telah melihat baginda, mereka pulang dengan penuh hampa. Sayidatina Safiyyah mendengar bicara kedua ayah dan pakciknya itu; Abu Yasir bertanya: "Adakah dia orangnya". Huyai menjawab: ‘Ya’. Abu Yasir bertanya lagi: "Adakah kamu mengenalinya dan kamu yakin tentang dirinya". Huyai menjawab: ‘Ya’. Abu Yasir bertanya lagi: "Maka apakah pendirian kamu terhadap dirinya". Huyai menjawab: "Aku akan memusuhinya selagi mana aku hidup". Kisah ini menunjukkan bahawa golongan Yahudi pada ketika itu sedia maklum tentang kebenaran Nabi Muhammad dan risalah yang dibawanya, dan pengetahuan tentang perkara ini semestinya dirakamkan di dalam kitab mereka. (Tafsir al-Bayan)
#Semua mengetahui bahawa Nabi saw adalah utusan Allah pembawa kebenaran. Namun, disebabkan keangkuhan dan kesombongan mereka lebih memilih kesesatan dan menyembunyikan kebenaran bahawa Nabi Muhammad nabi akhir zaman sebagaimana rasul-rasul sebelumnya.
♡Golongan Yahudi dan Nasrani telah merugikan diri mereka sendiri kerana tidak mahu mempercayai kerasulan nabi Muhammad serta beriman dengan risalah yang dibawanya, bahkan mengingkarinya dengan permusuhan. Mereka mengingkari apa yang mereka ketahui, bahkan lebih rela hidup dalam kesesatan. Pastikan perangai mereka tidak berjangkit pada kita semua. Ini kerana ramai umat akhir zaman yang dijangkiti virus bebal ini iaitu mereka mengingkari kebenaran yang mereka ketahui dan menyelisihi hukum hakam yang telah ditetapkan syariat♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment