☆Tadabbur Kalamullah 29 Safar 1446H☆
وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَاۤ أَبۡرَحُ حَتَّىٰۤ أَبۡلُغَ مَجۡمَعَ ٱلۡبَحۡرَیۡنِ أَوۡ أَمۡضِیَ حُقُبࣰا
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya (pembantunya): "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun" [Surah al-Kahfi 60]
#Al-Quran menyebut kisah perjalanan rehlah ilmu Nabi Musa Alaihissalam bersama temannya menjejaki Nabi Khidhir Alaihissalam untuk Nabi Musa berguru dengannya. Di dalam surah al-Kahfi ini Allah swt tidak menyatakan nama teman Nabi Musa itu. Namun namanya disebut dalam hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim:
ثُمَّ انْطَلَقَ هُوَ وَفَتَاهُ يُوشَعُ بْنُ نُونٍ، حَتَّى إِذَا أَتَيَا الصَّخْرَةَ وَضَعَا رُءُوسَهُمَا
"Kemudian baginda (Nabi Musa) bergerak bersama dengan pemuda yang menyertai baginda bernama Yusya’ bin Nun, sehingga mereka berdua sampai ke satu batu dan meletakkan kepala di atasnya (berehat)".
#Jom kita kenali teman Nabi Musa tersebut. Beliau ialah Yusya’ bin Nun (يوشع بن نون) bin Afranim bin Yusuf bin Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim Khalilullah.
#Setelah kewafatan Nabi Musa Alaihissalam, Allah swt memilih Yusya’ bin Nun sebagai seorang Nabi. Baginda memimpin Bani Israil dan membawa mereka masuk ke Baitul Maqdis.
#Imam Ahmad meriwayatkan daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda:
إِنَّ الشَّمْسَ لَمْ تُحْبَسْ لِبَشَرٍ إِلَّا لِيُوْشَعَ لَيَالِيَ سَارَ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ
"Sesungguhnya matahari tidak pernah di tahan (dari terbenam) kepada seorang manusia sama sekali melainkan kepada Nabi Yusya’ pada malam-malam baginda bergerak memasuki Baitul Maqdis" (Lihat: Musnad Imam Ahmad, Ibn Kathir dalam al-Bidayah wan Nihayah dan Ibn Hajar dalam Fathul Bari)
#Maksud perkataan Nabi saw: “Matahari tidak pernah ditahan” iaitulah matahari tidak pernah dilewatkan dari pusingan dan pergerakannya sehingga tenggelam di ufuq. Manakala perkataan Nabi saw: "Pada malam-malam baginda bergerak memasuki Baitul Maqdis" iaitulah berlaku ketika baginda bergerak membebaskan Baitul Maqdis dari golongan al-Jabbarin. Peperangan tersebut berlaku pada hari Jumaat, ia berterusan sehingga hampir waktu tenggelam matahari. Nabi Yusya’ bin Nun bimbang apabila matahari tenggelam bermakna masuk hari Sabtu, sedangkan mereka dilarang berperang pada hari Sabtu. Lalu baginda Yusya’ Alaihissalam memandang ke arah matahari dan berkata:
إِنَّكِ مَأْمُورَةٌ وَأَنَا مَأْمُورٌ، اللَّهُمَّ احْبِسْهَا عَلَيَّ سَاعَةً، فَحُبِسَتْ لَهُ سَاعَةً حَتَّى فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ
"Sesungguhnya engkau (matahari) makhluk yang diberi perintah (oleh Allah swt), demikian juga denganku. Ya Allah tahanlah matahari ini beberapa ketika". Lalu Allah menghalang matahari beberapa ketika sehingga baginda berjaya menawan Baitul Maqdis" (Sahih Ibn Hibban)
#Seterusnya, setelah Baitul Maqdis dikuasai oleh Bani lsrail, Nabi Yusya' bin Nun tetap berada di tengah-tengah kaumnya untuk membimbing, mengarahkan dan memimpin mereka diatas jalan kebenaran sehingga baginda meninggal dunia.
#Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah dalam kitabnya al-Bidayah wan Nihayah berkata:
ولما استقرت يد بني إسرائيل على القدس استمروا فيه وبين أظهرهم نبي الله يوشع يحكم بينهم بكتاب الله التوراة حتى قبضه الله إليه وهو ابن مائة وسبع وعشرين سنة، فكان مدة حياته بعد موسى سبعا وعشرين سنة
"Apabila Bani Israil berjaya mendapatkan al-Quds, mereka kekal berada di dalamnya. Dalam kalangan mereka terdapat seorang Nabi Allah iaitulah Nabi Yusya' bin Nun yang berhukum dengan kitab Allah, Taurat sehingga baginda diwafatkan oleh Allah ketika berumur 127 tahun. Tempoh hayat baginda selepas kewafatan Nabi Musa Alaihissalam ialah selama 27 tahun".
♡Nabi Yusya' bin Nun adalah teman dan juga pembantu Nabi Musa. Baginda juga pengganti Nabi Musa dalam memimpin Bani Israel berjihad menentang golongan Jabbarin sehingga berjaya menguasai Baitul Maqdis♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment