Friday, 6 September 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 3 Rabiul Awwal 1446H☆


وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ قَدْ جَاءَتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ هَٰذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آيَةً ۖ فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ ۖ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ


"Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya" [Surah al-A’raf 73] 


#Menurut Imam Ibnu Kathir rahimahullah: "Kaum Nabi Soleh digelar sebagai kaum Thamud yang diambil dari nama nenek moyang mereka iaitu Thamud saudara kepada Jadis. Mereka berdua merupakan anak kepada ‘Abir bin Iram bin Sam bin Nuh berbangsa arab asli dan menetap di al-Hijr yang terletak di antara Hijaz dan Tabuk, juga dikatakan terletak di antara kota Madinah dan Tabuk. 


#Al-Hijr atau dikenali sebagai Madain Soleh merupakan perkampungan kaum Nabi Soleh yang terletak berhampiran dengan al-‘Ula. Penduduk kaum Nabi Soleh dianugerahkan umur yang panjang, dan mereka tinggal di kawasan bukit-bukit batu dengan menebuk dan membina rumah di dalamnya.


#Kaum Thamud merupakan kaum yang dimurka dan diazab oleh Allah swt atas pendustaan mereka terhadap rasul yang diutuskan. Kisah mereka meminta bukti tentang kebenaran agama yang disampaikan oleh Nabi Soleh Alaihissalam. Lalu Allah swt memperkenankan doa Baginda dan permintaan kaumnya dengan mengeluarkan seekor unta betina daripada batu besar sebagai bukti kepada mereka. 


#Setelah kejadian itu, Nabi Soleh memerintahkan kaumnya supaya memelihara dan menjaga unta tersebut serta anaknya dengan baik. Namun atas sikap kufur dan ingkar, unta tersebut dan anaknya dibunuh lantas Allah swt menurunkan azab ke atas mereka kerana pendustaan dan pelanggaran yang mereka lakukan. 


#Nabi saw berpesan supaya kita tidak masuk ke kawasan yang pernah diturunkan azab oleh Allah swt, malahan apabila Baginda saw melalui kawasan tersebut, Baginda saw berjalan laju serta menutupi kepala dan bersegera meninggalkan kawasan tersebut. 


#Diriwayatkan oleh Sayidina Ibn Umar r.huma katanya: "Ketika Nabi saw lalu di kawasan al-Hijr, Baginda bersabda:" Janganlah kamu masuk ke kawasan orang-orang yang mezalimi dirinya sendiri, kerana sesungguhnya dibimbangi kalian akan ditimpa musibah seperti mana musibah yang menimpa mereka, melainkan kalian masuk dalam keadaan bersedih". Lalu Baginda menutup kepalanya dan cepat berlalu pergi sehingga menyeberangi lembah tersebut" (HR al-Bukhari) 


#Kebanyakan ulamak dalam kalangan mazhab Syafi’i, Maliki dan Hanbali menyatakan bahawa makruh memasuki kawasan yang diazab oleh Allah swt melainkan masuk dengan perasaan takut ke atas azab Allah swt di samping mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku serta tidak berlama-lama berada di tempat tersebut.


#Menurut Ibn Battal sekiranya berkunjung ke tempat yang diazab oleh Allah dalam keadaan gembira dan seumpamanya, maka dikhuatiri akan ditimpa azab sebagaimana mereka sebelum ini.


♡Ambillah iktibar terhadap umat-umat terdahulu yang dibinasakan, sebagai pedoman dan panduan dalam hidup agar kita tidak dibinasakan seperti mereka kerana engkar perintah Allah swt♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...