Wednesday, 11 September 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 8 Rabiul Awwal 1446H☆


وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ


"Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk" [Surah al-A’raf  157]


#Yang dimaksudkan dengan الطَّيِّبَاتِ (at-Thoyyibat) ialah lazat, enak, tidak membahayakan, bersih atau halal (Lihat: Fathul Bari, Ibnu Hajar]


#Sedangkan maksud الْخَبَائِثَ (al-Khabaits) ialah sesuatu yang menjijikan, berbahaya dan haram. Sesuatu yang menjijikan seperti barang-barang najis, kotoran atau haiwan-haiwan seperti ulat, kumbang, cengkerik, tikus, cicak, kalajengking, ular dan sebagainya sebagaimana pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam as-Syafi’i. (Lihat: al-Mughni, Ibnu Qudamah) 


#Sesuatu yang membahayakan seperti racun, dadah beserta aneka jenisnya, rokok dan sebagainya. Adapun makanan haram seperti arak, babi, bangkai, darah, yang disembelih untuk selain Allah dan sebagainya.


وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ


"Sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkanNya atasmu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya" [Surah al-An’am 119]


#Sebagaimana kita maklum bahawa makanan mempunyai pengaruh yang kuat bagi diri orang yang memakannya. Ini bererti makanan yang halal, bersih dan baik akan membentuk jiwa yang suci dan jasmani yang sihat. Sebaliknya, makanan yang haram akan membentuk jiwa yang keji dan kebinatangan. Oleh kerana itulah, Islam memerintahkan kepada kita semua untuk memilih makanan yang halal serta menjauhi makanan yang haram. 


#Saat ini kita melihat sebahagian daripada manusia telah mengabaikan keprihatinan mereka terhadap status makanan dan minuman yang diambil, sama ada ia betul-betul halal atau sebaliknya. Malah yang mereka pentingkan ialah kelazatannya, tanpa mempedulikan tentang kesan-kesan yang akan dihadapinya. 


#Sebab itulah kebelakangan ini timbul isu tentang logo halal. Ada yang mempertikaikan kewajarannya. Ada yang anggap ianya menyusahkan, membebankan dan pelbagai lagi alasan. Yang mempertikaikannya di kalangan orang bukan Islam, malah ada juga di kalangan orang Islam. Sedangkan mencari yang halal itu adalah fardhu bagi seluruh umat Islam. 


#Sabda Rasulullah saw: "Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam" (HR Ibnu Abdil Barr)


#Sabda Rasulullah saw lagi: "Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatannya dirinya" (HR al-Bukhari dan Muslim)


♡Ingatlah, Islam sangat menitikberatkan tentang soal halal dan haram dengan sangat teliti. Ia bukan sahaja berkaitan dengan pemakanan, malah soal pemakaian dan pekerjaan juga turut diambil kira. Ini penting dalam menjaga keselamatan umat Islam itu sendiri dan demi mendapat keredhaan Allah di atas setiap urusan kehidupan yang kita lakukan♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:    

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...