☆Tadabbur Kalamullah 1 Rabiul Akhir 1446H☆
لَّقَدۡ سَمِعَ ٱللَّهُ قَوۡلَ ٱلَّذِینَ قَالُوۤا۟ إِنَّ ٱللَّهَ فَقِیرࣱ وَنَحۡنُ أَغۡنِیَاۤءُۘ سَنَكۡتُبُ مَا قَالُوا۟ وَقَتۡلَهُمُ ٱلۡأَنۢبِیَاۤءَ بِغَیۡرِ حَقࣲّ وَنَقُولُ ذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلۡحَرِیقِ
"Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: "Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membayar" [Surah Āali-ʿImrān 181]
#Dahulu, di zaman Nabi saw, ada seorang lelaki Yahudi bernama Finhash. Beliau salah seorang tokoh intelektual kaum Yahudi yang didengar ucapannya dan menjadi ikutan.
#Suatu hari, Sayidina Abu Bakar r.a menasihatinya agar masuk Islam, namun dengan kurang ajar Finhash merespon dengan menyebut bermacam-macam keburukan lalu disandarkan kepada Allah swt. Sayidina Abu Bakar pun menampar Finhash seraya berkata: "Kalaulah bukan sebab ada perjanjian piagam Madinah, sekarang juga aku akan penggal kepala kamu".
#Antara kata-kata jahat daripada Finhash ialah: "Wahai Abu Bakar, Tuhanmu itu dalam al-Quran mengatakan yang Dia mahu pinjam wang dari orang-orang beriman. Kalau dia pinjam wang, bererti Dia miskin". Finhash memaksudkan ayat ini:
مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً
"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?" [Surah al-Baqarah 245]
#Ayat ini sebenarnya sangat jelas dalam citarasa bahasa Arab dengan kualiti sastera tinggi bermaksud anjuran berinfak dijalan Allah (ini bahasa kiasan yang sudah diulas sangat baik oleh ulamak tafsir) kemudian diputarbelitkan maksudnya dengan tujuan yang busuk.
#Kemudian Finhash mengadu kepada Rasulullah dan mereka-reka cerita. Ketika dia berbohong, lalu turunlah wahyu khusus yang membela dan membenarkan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan menempelak kata-kata Finhash. Maka turunlah ayat diatas (surah Ali Imran ayat 181)
#Di akhir zaman, sikap dan perangai seperti Finhash ini sedang menular dalam kalangan kita terutama di kalangan yang diangkap cendiakawan dan bijak pandai, namun mengelirukan orang awam. Contoh ungkapan memutar belit yang selalu kedengaran seperti:
1. Tuhan tidak perlu dibela, kerana Dia Maha Kuasa. Bukankah Dia Raja sekelian alam semesta?
2. Islam tidak perlu dibela, kerana Islam itu sudah mulia dan sentiasa mulia.
3. Nabi Muhammad saw tidak perlu dibela, baginda sudah mulia. Penghinaan tidak mengurangi keagungan baginda. Dan sebagainya..
#Sungguh, ungkapan di atas adalah pemutar belit kata-kata dan tersangat jahil kefahaman mereka.
#Orang beriman membela Allah itu jangan dibayangkan bahawa Allah adalah lemah sehingga perlu perlindungan. Membela Allah adalah bahasa kiasan, maknanya adalah tidak boleh diterima sebarang penghinaan terhadap Allah, dan itu adalah bukti cinta. Allah tidak menuntut kita melindungiNya, tetapi menuntut kita menyembahNya. Aksi terpenting penyembahan kepadaNya adalah menjadikan puncak cinta hanya kepadaNya. Adalah cinta palsu jika diam membisu ketika yang dicintai dihina dan dicaci.
#Membela Islam itu jangan dibayangkan Islam seperti makhluk hina yang perlu dilindungi. Membela Islam maknanya menjalankan perintah Allah sebagai bentuk ketaatan untuk meninggikan kalimahNya.
#Membela Nabi Muhammad itu bukan kerana dengan penghinaan maka keagungan baginda berkurangan. Menjaga kehormatan Nabi Muhammad adalah tuntutan iman dan natijah cinta kepada Allah. Dusta besar jika ada orang yang mengaku cinta Allah, tetapi tidak cinta kepada NabiNya dan membiarkan insan tersayang dicaci dan dihina.
♡Jangan ada perangai Finhash di dalam diri kita. Jadilah pejuang hebat seumpama Sayidina Abu Bakar dalam membela serta mempertahankan Allah, Rasul, al-Quran dan Islam. Demi Islam!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment