Tuesday, 12 November 2024

 ☆Tadabbur Kalamullah 10 Jamadil Awwal 1446H☆


لَّقَدۡ صَدَقَ ٱللَّهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءۡیَا بِٱلۡحَقِّۖ 


"Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar" [Surah al-Fatḥ 27]


#Apa yang dilihat di dalam mimpi terbahagi kepada tiga bahagian: 


1. Pertama: Mimpi baik sebagai khabar gembira dari Allah swt. 

2. Kedua: Mimpi buruk dari syaitan bertujuan mendatangkan rasa bimbang dan sedih kepada manusia. 

3. Ketiga: Disebabkan perkara yang bermain di fikiran manusia.


#Daripada Sayidina Abu Salamah r.a, katanya:


لَقَدْ كُنْتُ أَرَى الرُّؤْيَا فَتُمْرِضُنِي حَتَّى سَمِعْتُ أَبَا قَتَادَةَ يَقُولُ وَأَنَا كُنْتُ لَأَرَى الرُّؤْيَا تُمْرِضُنِي حَتَّى سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ اللَّهِ فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يُحِبُّ فَلَا يُحَدِّثْ بِهِ إِلَّا مَنْ يُحِبُّ، وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَلْيَتْفِلْ ثَلَاثًا وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا أَحَدًا فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ


"Sesungguhnya aku pernah bermimpi suatu yang tidak elok, sehingga menyebabkan aku jatuh sakit, sehinggalah aku mendengar Abu Qatadah berkata: ”Aku juga sebelum ini pernah bermimpi buruk sehingga menyebabkan aku jatuh sakit. Lalu aku mendengar Nabi saw bersabda: Mimpi yang baik itu dari Allah, oleh yang demikian jika seseorang dari kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, maka jangan dia menceritakannya melainkan kepada sesiapa yang dia suka. Dan jika dia bermimpi sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah dia meminta perlindungan dengan Allah dari kejahatan mimpi dan syaitan, dan meludah (meludah angin tanpa air liur) tiga kali, dan jangan dia menceritakannya kerana ia tidak akan memudharatkannya" (HR al-Bukhari dan Muslim)


#Sesuatu yang tidak disukai yang dilihat di dalam mimpi adalah dari syaitan bertujuan mendatangkan rasa sedih kepada orang yang beriman, dan semua itu tidak dapat memberi sebarang kemudharatan kepada orang yang beriman melainkan dengan keizinan dari Allah swt jua. 


#Dalam riwayat daripada Sayidina Jabir r.a berkata: "Suatu hari datang seorang Arab Badwi bertemu Nabi saw dan berkata: "Wahai Rasulullah! Aku telah bermimpi seolah-olah kepala aku dipancung dan jatuh bergolek. Mimpi itu meninggalakan kesan yang berat ke atasku. Lalu baginda saw bersabda: "Jangan kamu bercerita kepada orang ramai apabila apabila syaitan mempermainkanmu di dalam tidurmu" (HR Muslim)  


#Maka, jika melihat sesuatu yang tidak baik di dalam mimpi, tindakan yang perlu dilakukan ialah tidak perlu menghiraukan mimpi tersebut dan jangan menyibukkan fikiran memikirkan nya. Juga tidak menceritakan mimpi tersebut kepada orang yang tidak menyukainya, agar jauh dari keburukan dan kejahatan seperti hasad atau seumpamanya.


#Oleh yang demikian, seseorang hamba sewajarnya berterusan mentaati Allah swt dan menjauhi sebarang maksiat agar terus berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan dari Allah swt. Berkata Imam Ibn Sirin rahimahullah:


اتق الله في اليقظة ، ولا تبال ما رأيت في النوم


"Bertakwalah kamu kepada Allah ketika jaga, justeru kamu tidak perlu  pedulikan apa yang kamu lihat di dalam mimpi" (Lihat: Syarh al-Sunnah oleh al-Imam al-Baghawi)


#Bagi menghidari masalah mimpi buruk, antara cara yang boleh diamalkan ialah:


1. Membaca ayat-ayat pelindung

2. Sentiasa melazimi zikir pagi dan petang.

3. Melazimi bacaan surah al-Fatihah dan tiga Qul (al-Ikhlas,al-Falaq dan al-Nas). Kaedah yang betul adalah dengan membaca tiga Qul ini dengan mengulanginya sebanyak tiga kali dan menyapunya keseluruh badan.

4. Membaca ayat kursi setiap kali selepas solat dan ketika hendak tidur.


♡Moga Allah swt melindungi kita semua daripada sebarang mimpi yang buruk. Sesungguhnya Allahlah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah





No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...