☆Tadabbur Kalamullah 17 Jamadil Awwal 1446H☆
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَیِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَـٰتِ یُذۡهِبۡنَ ٱلسَّیِّـَٔاتِۚ ذَ ٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّ ٰكِرِینَ
"Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat" [Surah Hūd 114]
#Ayat ini memahamkan kita bahawa sesiapa yang melakukan dosa maka tebuslah dosa tersebut dengan melakukan solat penuh khusyuk dan mengharapkan pengampunan Allah swt.
#Diriwayatkan suatu hari Sayidina Abu al-Yasar al-Ansari r.a bertemu Rasulullah saw untuk mengakui kesilapan dan ketelanjurannya yang gagal menguruskan cinta dengan sebaik-baiknya. Cerita ini disampaikan oleh Sayidina Abdullah bin Mas`ud r.a:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي عَالَجْتُ امْرَأَةً فِي أَقْصَى الْمَدِينَةِ وَإِنِّي أَصَبْتُ مِنْهَا مَا دُونَ أَنْ أَمَسَّهَا فَأَنَا هَذَا فَاقْضِ فِيَّ مَا شِئْتَ
"Wahai Rasulullah saw, aku telah bermesraan dengan kekasihku di pinggir kota, aku telah melakukan segalanya melainkan hubungan intim. Ini aku, hukumlah aku semahumu.
Sayidina Umar r.a mencelah:
لَقَدْ سَتَرَكَ اللَّهُ لَوْ سَتَرْتَ نَفْسَكَ
"Allah swt akan menutup aibmu jika kamu menutup aibmu".
Rasulullah saw diam tidak berkata apa-apa. Sayidina Abu al-Yasar r.a mungkin dalam keadaan buntu, lalu bangun membawa diri. Selepas itu Rasulullah saw meminta sahabatnya memanggil semula Sayidina Abu al-Yasar. Lalu baginda saw membacakan ayat ini:
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ (114)
"Dan dirikanlah solat pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya segala perbuatan yang baik menghapuskan segala perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat" (Surah Hud 114) (Lihat: Sahih Muslim)
#Dalam riwayat yang lain, Rasulullah saw bertanyakan Sayidina Abu al-Yasar r.a: "Adakah kamu solat bersama kami?". Dia mengiyakannya. Lalu baginda saw berkata, قَدْ غُفِرَ لَكَ iaitu dosamu telah diampuni" (Sahih Muslim)
#Boleh juga merujuk sahih Muslim bahawa terdapat lagi kisah lebih panjang yang diriwayatkan oleh Sayidina Abu Umamah r.a (Sahih Muslim)
#Dalam menguruskan cinta, kasih sayang dan hubungan sebelum kahwin, ada masa dan ketikanya seseorang itu terkhilaf, terlanjur atau tersalah langkah. Yang penting bagaimana membetulkan semula kesilapan dan dosa tersebut. Apabila terkhilaf dan terlanjur, maka kembalilah kepada Allah swt terutamanya dengan cara mendirikan solat. Solat dan mengadulah kekhilafan kita kepadaNya dan bertaubatlah dengan taubat yang Bersungguh-sungguh.
♡Solat dapat menghapuskan dosa. Maka pastikan kita sentiasa mendirikan solat fardhu dan solat sunat. Moga segala dosa kita diampuni dan dihapuskan. Aamiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment