☆Tadabbur Kalamullah 20 Jamadil Awwal 1446H☆
وَلِلَّهِۤ يَسۡجُدُ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعًا وَكَرۡهًا وَظِلَٰلُهُم بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ
"Dan kepada Allah swt jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang" [Surah ar-Rad 15]
#Berkata Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali rahimahullah: "Apabila benda tidak hidup (jamadat) pun sujud kepada Allah azza wa jalla, maka bagaimana mungkin seorang hamba yang berakal boleh lalai daripada mengabdikan diri kepadaNya" (Lihat: Ihya’ Ulum al-din)
#Apabila kita terlintas mahu menyombong diri dengan ilmu yang kita ada atau kekayaan yang kita miliki, atau kita enggan memakmurkan rumah Allah untuk solat berjemaah, wahai kaum lelaki, maka ingatlah pesan Imam al-Ghazali ini, sangat menusuk qalbu dan menginsafkan.
#Maka setiap kali mendengar laungan azan, paksakan diri untuk hadir ke masjid surau untuk tunduk dan sujud pada Allah swt sebagai tanda patuhnya seorang hamba pada penciptaNya.
#Sayidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ، صَلاةُ الْعِشَاءِ الآخِرَةِ، وَصَلاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا، لأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak" (HR Ahmad)
#Al-Zarqani menyebutkan dalam syarah kitab Muwatta' al-Imam Malik bahawa Sayidina Abu Darda’r.a ketika sakit hendak meninggal dunia menyebutkan bahawa:
اسْمَعُوا وَبَلِّغُوا، حَافِظُوا عَلَى هَاتَيْنِ الصَّلاتَيْنِ يَعْنِي فِي جَمَاعَةٍ الْعِشَاءِ وَالصُّبْحِ وَلَوْ تَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لأَتَيْتُمُوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا عَلَى مَرَافِقِكُمْ وَرُكَبِكُمْ
"Dengarkan dan sampaikanlah, peliharalah dua solat jemaah ini iaitu Isyak dan Subuh. Kalaulah kamu mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya kamu akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak di atas siku-siku dan lutut-lutut kamu" (Lihat: Syarh al-Zarqani ‘ala Muwatta’ al-Imam Malik)
#Dikisahkan pada suatu hari, Maimum bin Mihran terlewat pergi solat jamaah. Sampai sahaja di masjid, orang dah mula balik. Betapa kecewanya beliau, lalu Maimun berkata:
إنَّا لله وإنا إليه راجعون؛ لَفضل هذه الصلاة أحبُّ إليَّ من ولاية العراق
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un, keutamaan solat ini lebih aku sukai daripada aku menjadi gabenor Wilayah Iraq.”
♡Tunduk dan sujudlah padaNya sebagai tanda seorang hamba yang benar-benar mentaati dan mensyukuri nikmatNya. Lazimkan diri dengan hadir solat berjemaah di rumah Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment