☆Tadabbur Kalamullah 21 Jamadil Awwal 1446H☆
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu"[Surah al-Ghafir 60]
#Kita dianjurkan untuk berdoa memohon sebarang hajat kepada Allah swt. Namun begitu, doa memerlukan tatacaranya, kaedahnya dan dengan ungkapan yang ringkas tetapi menyeluruh. Ini berdasarkan amalan Rasulullah saw yang mengajar para sahabat memulakan doa dengan memuji Allah dan berselawat, kemudian memilih doa yang padat maknanya, meliputi kebaikan dunia dan akhirat.
#Sayidina Fadhalah bin ‘Ubaid r.a bercerita:
سمعَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ رجلًا يَدعو في صلاتِهِ لم يُمجِّدِ اللَّهَ تعالى ولم يُصلِّ علَى النَّبيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ فقالَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ عجِلَ هذا ثمَّ دعاهُ فقالَ لَهُ أو لغيرِهِ إذا صلَّى أحدُكُم فليَبدَأ بتَمجيدِ ربِّهِ جلَّ وعزَّ والثَّناءِ علَيهِ ثمَّ يصلِّي علَى النَّبيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ ثمَّ يَدعو بَعدُ بما شاءَ
"Rasulullah saw mendengar seorang lelaki berdoa dalam solatnya tanpa memuji Allah swt dan berselawat kepada Nabi saw. Lalu Rasulullah saw berkata: Dia gelojoh. Kemudian Nabi memanggil lelaki itu. Lantas baginda memberikan nasihat kepada lelaki itu dan kepada orang lain: "Apabila kamu berdoa, maka mulakan dengan memuliakan Allah Taala dan memujiNya, kemudian berselawat kepada Nabi saw, kemudian berdoa apa yang dimahukan" (Sunan Abi Dawud)
#Menyentuh berkenaan hadis seumpama ini, Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan adab berdoa seperti berikut:
أجمع العلماء على استحباب ابتداء الدعاء بالحمد لله تعالى والثناء عليه ، ثم الصلاة على رسول الله صلى الله عليه وسلم ، وكذلك تختم الدعاء بهما، والآثار في هذا الباب كثيرة مرفوعة
"Ulamak sepakat bahawa disukai untuk kita mulakan doa dengan bertahmid dan memuji Allah Taala, kemudian selawat kepada Rasulullah saw. Demikian kita menutup doa dengan kedua-duanya. Athar yang bertaraf marfu' dalam memperkatakan hal ini agak banyak".
#Sesungguhnya Rasulullah saw suka akan doa yang ringkas yang menyeluruh dan meninggalkan doa yang berlebihan sebagimana yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah r.ha katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنْ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ
"Rasulullah saw suka memilih doa-doa yang ringkas tetapi penuh makna, dan meninggalkan selain daripada itu" (Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Sahih)
#Maksud doa yang ringkas ialah doa yang mencakupi kebaikan dunia dan akhirat, dengan ungkapan yang ringkas tetapi penuh makna, seperti dalam firman Allah swt: رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ, dan juga doa meminta ‘afiah di dunia dan akhirat.
#Diriwayatkan daripada Sayidina Ali r.a bahawa seorang hamba datang kepadanya mengadu bahawa beliau tidak mampu menyelesaikan hutangnya, lalu Sayidina Ali berkata: "Mahukah aku ajarkan kamu beberapa kalimat yang diajarkan kepadaku oleh Rasulullah saw, jika engkau mempunyai hutang sebesar Gunung Sair sekalipun, Allah pasti akan melunaskannya untukmu? Katakanlah:
اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
"Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki halalMu agar tidak mengharapkan yang haram, dan kayakanlah aku dengan kurniaanMu agar tidak bergantung kepada selainMu" (HR at-Tirmizi)
♡Berdoalah sebagaimana adab yang diperintahkan oleh Nabi saw. Moga Allah swt memakbulkan segala permintaan kita. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment