☆Tadabbur Kalamullah 23 Jamadil Awwal 1446H☆
وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلۡأَوَّلُونَ مِنَ ٱلۡمُهَـٰجِرِینَ وَٱلۡأَنصَارِ وَٱلَّذِینَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحۡسَـٰنࣲ رَّضِیَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُوا۟ عَنۡهُ وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی تَحۡتَهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَاۤ أَبَدࣰاۚ ذَ ٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِیمُ
"Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar" [Surah At-Tawbah 100]
#Generasi sahabat nabi saw merupakan antara generasi yang terbaik dan terunggul. Allah swt dan RasulNya saw telah menyebutkan tentang keutamaan yang banyak atas para sahabat dibandingkan umat-umat yang lain. Maka, wajib kepada kita untuk mengimani dan mencintai mereka serta mencontohi akhlak mereka yang terhebat.
#Generasi sahabat nabi saw antara manusia yang sangat menghormati nabi saw. Mereka sangat menjaga adab dengan Rasulullah saw.
#Diceritakan dari Sayidina Abu Ayyub r.a, beliau berkata: "Ketika Rasulullah saw singgah di rumahku, Baginda berada di tingkat bawah manakala aku dan Ummu Ayyub berada di tingkat atas. Kemudian aku berkata kepada Baginda: "Wahai Nabi Allah, ibu bapaku rela menjadi tebusan untukmu. Aku merasa tidak selesa berada di atas sementara Baginda berada di bawah. Oleh itu, bangunlah dan naiklah ke tingkat atas, sementara kami akan turun dan pindah ke tingkat bawah". Kemudian Baginda menjawab: "Wahai Abu Ayyub, yang lebih selesa bagi kami dan juga bagi orang yang datang melawat kami, adalah apabila kami berada di tingkat bawah rumah" (HR Muslim)
#Dalam satu riwayat lain, diceritakan bahawa ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, Baginda menginap di rumah Sayidina Abu Ayyub r.a. Rasulullah saw tidur di tingkat bawah, manakala Sayidina Abu Ayyub tidur di tingkat atas. Pada suatu malam, Sayidina Abu Ayyub terjaga dan berkata kepada isterinya: "Kita berjalan di atas kepala Rasulullah saw!" Oleh itu, dia berpindah dan tidur di sebelah. Ketika pagi tiba, dia menceritakan kejadian itu kepada Rasulullah saw, lalu Rasulullah saw menjawab: “Tingkat bawah lebih selesa untuk kami.” Maka Abu Ayyub menjawab: "Aku tidak akan naik ke atas atap di mana engkau berada di bawahnya". Selepas itu, Sayidina Abu Ayyub pindah ke tingkat bawah sementara Rasulullah saw berada di tingkat atas" (HR Muslim)
#Sayidina Abu Ayyub r.a menceritakan kepada Abu Ruhm, katanya: Bahawa Rasulullah saw tidur di tingkat bawah rumah kami, sementara aku berada di dalam bilik. Air tumpah di dalam bilik, lalu aku dan Ummu Ayyub mengambil kain berumbai untuk mengelap air yang tumpah itu mengikut arah alirannya. Aku turun dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, kami tidak sepatutnya berada di atasmu. Pindahlah ke bilik.’ Kemudian, Baginda menyuruh kami membawa barang-barangnya dan kami memindahkan barang-barang Baginda yang sedikit itu" (HR Ahmad)
♡Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia iaitu sentiasa beradab dengan Rasulullah saw. Jangan sesekali menghina Rasulullah saw samada dalam bentuk lawak atau serius. Jaga adab dan contohi perilaku sahabat nabi saw dalam memuliakan saw♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment