Wednesday, 27 November 2024

☆Tadabbur Kalamullah 26 Jamadil Awwal 1446H☆

 ☆Tadabbur Kalamullah 26 Jamadil Awwal 1446H☆


إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ 


"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), "Janganlah kamu takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu" [Surah Fusshilat 30]


#Imam Abdullah bin al-Mubarak rahimahullah meriwayatkan bahawa Imam Hasan al-Basri apabila membaca ayat ini, beliau akan berdoa:


اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا فَارْزُقْنَا الِاسْتِقَامَةَ


"Ya Allah, Engkau Tuhan kami. Rezekikan kami istiqamah" (Lihat: Ibn al-Mubarak, Az-Zuhd wa al-Raqaiq) 


#Istiqamah adalah satu rezeki. Maka kita perlu berusaha agar direzekikan sifat istiqamah disepanjang hidup kita dengan kekal beriman kepadaNya dan sentiasa mentaatiNya hingga hujung nyawa. 


#Dikisahkan seorang utusan nabi saw, Sayidina Habib bin Zaid r.a, ditugaskan membawa surat atau perutusan Nabi saw kepada Musailamah al-Kazzab, si nabi palsu. 


#Sayidina Habib r.a pada ketika itu adalah seorang anak muda yang dikatakan sekitar usia 18 tahun. Ketika surat yang dibawa sampai kepada Musailamah, maka bertambahlah kemarahan Musailamah sehinggakan beliau mengarahkan Sayidina Habib ditangkap dan diikat untuk dibicarakan. Keesokan harinya, Sayidina Habib diseret dalam keadaan kaki dan tangannya terikat dan dibawa ke tengah khalayak pengikut Musailamah untuk dibicarakan. Wajahnya tampak tenang.


Saat Musailamah bertanya kepada Sayidina Habib, adakah beliau mengakui bahawa Muhammad itu utusan Allah dan Sayidina Habib mengatakan: "Ya", dan apabila Musailamah mengatakan: Adakah aku juga utusan Allah? Lantas dengan sinis Sayidina Habib menjawab: "Telinga aku pekak sehinggakan tidak mendengar apa yang engkau katakan".


Maka kemarahan Musailamah bertambah dan diarahkan pengawal yang menjaga untuk memotong anggota badan Sayidina Habib. Lalu dipotong pergelangan tangannya lantas jatuh ke bumi. Lalu ditanya perkara yang sama, dan beliau menjawab perkara sama. Lalu dipotong pula pergelangan tangannya yang sebelah lagi. Pertanyaan itu berulang dan setiap kali itu jugalah, jawapan Sayidina Habib tetap sama.

Maka, setiap kali Sayidina Habib menjawab, maka dipotong anggota badannya sehingga dikatakan dipotong kedua-dua belah tangannya sehingga ke paras bahu. Selepas itu, dipotong juga kakinya sehingga ke paras lutut dan akhirnya Sayidina Habib menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan tidak ada satu pun daripada belahan pedang yang mampu memisahkan dirinya daripada beriman kepada Allah swt.


#Begitulah benarnya tahap keimanan dan istiqamahnya mereka yang benar-benar mengakui bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya.


♡Marilah kita berdoa kepada Allah swt agar diperteguhkan hati dan dikurniakan sifat istiqamah. Aamiiin♡


🐊Ust naim

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah






No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...