Monday, 17 March 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 17 Ramadhan 1446H☆


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ


"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah" [Surah al-Baqarah 185] 


#Sesungguhnya antara kemuliaan bulan Ramadhan adalah berlakunya peristiwa penurunan mukjizat agung Rasulullah saw pada bulan tersebut dan peristiwa ini dikenali sebagai nuzul al-Quran. 


#Sesungguhnya al-Quran diturunkan secara berperingkat yang mana ia bermula dari luh mahfuz ke baitul ‘izzah (langit dunia) dan seterusnya,dari baitul ‘izzah turun kepada Rasulullah saw. 


#Penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar ialah proses penurunan dari luh mahfuz ke baitul ‘izzah atau dikenali sebagai langit dunia sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah swt dalam firmannya:


إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar" [Surah al-Qadr 1] 


#Berkata Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini dengan menukilkan pandangan Ibn Abbas tentang perkara ini yang mana Allah swt menurunkan al-Quran secara serentak pada malam tersebut. Kemudian, Allah swt menurunkan  wahyu secara berperingkat kepada Rasulullah saw selama 23 tahun.


#Manakala penurunan pada hari nuzul al-Quran atau pada tanggal 17 Ramadhan adalah merupakan penurunan wahyu pertama yang diturunkan ke gua Hira’ yang mana ia melibatkan permulaan surah al-‘Alaq, sekaligus bermulanya penurunan wahyu secara beransur-ansur dari Baitul ‘izzah kepada Rasulullah saw. 


#Perkara ini telah dijelaskan oleh Ibn Kathir dengan menukilkan riwayat Abu Jaafar al-Baqi:


كَانَ ابْتِدَاءُ الْوَحْيِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلَّم يوم الِاثْنَيْنِ، لِسَبْعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ


"Permulaan wahyu bagi Rasulullah saw pada hari Isnin bersamaan malam 17 dari bulan Ramadhan" (Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah) 


#Al-Quran telah pun diturunkan. Isu yang lebih utama yang perlu diberikan perhatian selain berkaitan masa penurunannya ialah tujuan al-Quran diturunkan kepada kita semua. 


#Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk ditadabbur isi kandungannya sebagaimana firman Allah swt:


كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ


"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar" [Surah as-Sad 29] 

           

#Syeikh Sya’rawi rahimahullah ketika mentafsirkan ayat di atas menghuraikan makna kalimah ‘Mubarak’ iaitu benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan. Seumpama orang yang bergaji sedikit tetapi kehidupan keluarganya mencukupi. Segala perbelanjaannya dihalakan kepada perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Seakan hidup sebagai orang yang kaya.


#As-Syahid Imam Hasan al-Banna berkata: "Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah sumber yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah swt dengan cara membacanya"


♡Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah kepada seluruh umat manusia. Maka hiduplah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh al-Quran♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...