☆Tadabbur Kalamullah 18 Ramadhan 1446H☆
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah" [Surah al-Baqarah 185]
#Agama Islam menuntut umatnya membaca al-Quran dan mempelajari isi kandungannya. Membaca al-Quran dituntut kerana di antara hikmah al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca, ditadabbur, dihayati dan diamalkan.
#Diriwayatkan daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi saw bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
"Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisiNya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu” (HR Muslim)
#Al-Quran juga merupakan satu mukjizat agung dan setinggi-tinggi anugerah yang Allah kurniakan kepada para hambaNya. Dalam masa yang sama, ia juga berperanan sebagai sebuah perlembagaan abadi yang sesuai sepanjang zaman dalam mengatur hal-hal kehidupan manusia lantaran isi kandungannya yang mencakupi seluruh aspek kehidupan.
#Oleh itu, umat Islam sangat digalakkan untuk membaca al-Quran sehinggakan setiap huruf yang dibaca akan diberi pahala dengan sepuluh kebaikan dan dikurniakan ganjaran yang indah. Pahala lebih berganda jika dibaca dengan memahaminya.
#Daripada Sayidina Abi Musa r.a, bahawa Nabi saw bersabda:
مَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَمَثَلُ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا
"Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Pahala bacaan al-Quran tidak terhad hanya kepada pembacanya sahaja, bahkan mereka yang mendengarnya juga turut mendapat pahala.
#Firman Allah swt:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat" [Surah al-A’raf 204]
#Selain itu, orang yang banyak membaca al-Quran dan hatinya sangat terikat kuat dengan al-Quran dengan menjadikannya sebagai petunjuk dan pedoman dalam hidupnya, maka dia berhak mendapat syafaat al-Quran.
#Daripada Sayidina Abu Umamah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
"Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya" (HR Muslim)
♡Walau apapun hebat tawarannya, jika tiada keupayaan untuk membaca al-Quran, maka manfaat besar al-Quran itu langsung tidak berguna. Maka, amat wajar sekali umat Islam kembali kepada al-Quran dengan mempelajari, membaca dan memahami pengertian ayat-ayat di dalamnya serta mengamalkan suruhannya dengan sebaik mungkin dan penuh keikhlasan♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment