☆Tadabbur Kalamullah 2 Ramadhan 1446H☆
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" [Surah al-Baqarah 183]
#Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Maka, ia ditujukan juga kepada kita yang mengaku beriman ini. Ayat kefardhuan puasa ini diturunkan pada bulan Sya’ban Tahun Kedua Hijrah, iaitu sebelum bulan Ramadhan dan pada bulan Ramadhan itulah terjadinya Perang Badar. Ini bererti para sahabat Ahli Badar berperang ketika berada dalam suasana umat Islam sedang berpuasa.
#Sebelum turun perintah kewajipan berpuasa ini, para sahabat telah biasa berpuasa pada hari Asyura. Jadi apabila puasa Ramadhan ini menjadi fardhu, maka puasa Asyura menjadi sunat sahaja.
#Daripada Sayidatina Aisyah r.ha berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِصِيَامِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ، فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ كَانَ مَنْ شَاءَ صَامَ وَمَنْ شَاءَ أَفْطَرَ
"Adapun Rasulullah saw memerintahkan untuk berpuasa pada hari Asyura. Apabila difardhukan berpuasa pada bulan Ramadhan, sesiapa yang ingin berpuasa (Asyura) maka dia berpuasa dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa maka dia berbuka (tidak berpuasa)" (HR al-Bukhari)
#Kalimah الصِّيَامُ asalnya bermaksud ‘menahan diri daripada sesuatu’ iaitu yang nafsu mahu lakukan. Menahan diri daripada makan, minum, hubungan seks dan perkara-perkara yang ditegah ketika berpuasa untuk beberapa waktu yang tertentu.
#Dalam bulan Ramadhan, iman dapat melawan nafsu. Nafsu tentunya ingin makan dan minum, tetapi kerana iman, kita dapat menahan diri daripada makan dan minum kerana ia adalah arahan daripada Allah swt. Sebenarnya, keseluruhan hidup kita adalah menahan nafsu kerana jika diikut sahaja semua kehendak nafsu tanpa kawalan, maka hidup kita akan rosak dan musnah.
#Bermacam-macam perkara nafsu kita inginkan. Ada yang baik seperti makan dan minum, dan ada yang tidak baik seperti hendak menipu, hendak mencuri, hendak itu dan ini. Namun kita harus menahan nafsu kita daripada melakukannya. Oleh itu, keseluruhan hidup kita sebenarnya adalah puasa.
#Dalam bulan Ramadhan, kekuatan iman kita dilatih untuk menundukkan nafsu dengan bantuan daripada Allah swt. Apabila kita sentiasa berjaya menundukkan nafsu, maka iman kita semakin kuat dan nafsu kita akan semakin mudah untuk menurut iman.
#Syeikh Zakaria al-Ansari menyatakan bahawa jihad terbesar yang boleh diraih oleh setiap muslim adalah apabila ia boleh bermujahadah melawan nafsu bahkan ini lebih berat dan sukar jika dibandingkan jihad melawan musuh (Lihat: Minhatul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari)
#Berkata Imam Ibn Qayyim rahimahullah:
أن أغزر الناس مروءة أشدهم مخالفة لهواه
"Orang yang paling tinggi wibawanya adalah yang paling kuat menentang hawa nafsunya" (Lihat: Raudatul Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin)
#Berkata seorang ulama salaf:
الغالب لهواه أشد من الذي يفتح المدينة وحده
"Orang yang berhasil mengalahkan hawa nafsunya lebih kuat daripada orang yang menakluk satu kota bersendirian"
♡Tuntutan berpuasa bukanlah terhenti sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga tanpa sebarang makna. Malah, makna kejayaan dan keberhasilan didikan Ramadhan tersebut adalah pada kemampuan umat Islam mengawal diri daripada terus bertuhankan hawa nafsu♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment