☆Tadabbur Kalamullah 25 Ramadhan 1446H☆
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
"Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan" [Surah al-Qadr 3]
#Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. (Lihat: al-Mughni)
#Daripada Sayidina Jabir bin Samurah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا
"Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil" (HR Ahmad)
#Daripada Sayidina Ibnu Abbas r.huma, Rasulullah saw bersabda:
لَيْلَةُ القَدَرِ لَيْلَةٌ سَمْحَةٌ طَلَقَةٌ لَا حَارَةً وَلَا بَارِدَةً تُصْبِحُ الشَمْسُ صَبِيْحَتُهَا ضَعِيْفَةٌ حَمْرَاء
"Lailatul qadar adalah malam yang penuh kemudahan dan kebaikan, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, pada pagi hari matahari bersinar tidak begitu cerah dan nampak kemerah-merahan" (HR at-Thoyalisi dan al-Baihaqi)
#Namun tanda tersebut tidak perlu dicari-cari. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:
وَقَدْ وَرَدَ لِلَيْلَةِ الْقَدْرِ عَلَامَاتٌ أَكْثَرُهَا لَا تَظْهَرُ إِلَّا بَعْدَ أَنْ تَمْضِي
"Ada beberapa dalil yang membicarakan mengenai tanda-tanda lailatul qadar. Namun itu semua tidaklah nampak kecuali setelah malam tersebut telah berlalu".
#Syaikh Khalid al-Muslih hafizhahullah menyatakan bahawa tidak ada tanda khusus jika seseorang telah mendapatkan Lailatul Qadar. Katanya lagi, jika kita memperbanyak beribadah terus menerus di sepuluh hari terakhir Ramadhan, tentu akan mendapatkan malam penuh kemuliaan tersebut.
#Yang patut difahami bahawa cara menghidupkan malam tersebut dengan mengerjakan solat Isyak, solat tarawih dan solat subuh. Mengerjakan ketiga solat ini akan dicatat telah mengerjakan solat sepanjang malam.
#Daripada Sayidina Usman bin Affan r.a, Nabi saw bersabda:
مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ فِى جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ قِيَامُ نِصْفِ لَيْلَةٍ وَمَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ فِى جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ كَقِيَامِ لَيْلَةٍ
"Sesiapa yang menghadiri solat Isyak berjemaah, maka baginya pahala solat separuh malam. Sesiapa yang melaksanakan solat Isyak dan Subuh berjemaah, maka baginya pahala solat semalaman penuh" (HR Muslim dan at-Tirmizi)
#Daripada Sayidina Abu Zar al-Ghifari r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
إنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
"Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)" (HR at-Tirmizi)
#Syaikh Prof. Dr. Muhammad az-Zuhaily mengatakan: "Siapa sahaja yang melihat lailatul qadar terjadi, hendaklah ia sembunyikan. Lalu ia berdoa dengan penuh keikhlasan, niat, dan keyakinan untuk kepentingan agama dan dunianya" (Lihat: Al-Mu’tamad fii Al-Fiqh Asy-Syafii)
♡Moga kita semua beroleh pahala malam al-Qadar. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment