☆Tadabbur Kalamullah 29 Ramadhan 1446H☆
وَٱلَّذِینَ جَـٰهَدُوا۟ فِینَا لَنَهۡدِیَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya" [Surah al-Ankabut 69]
#Berkata Hukamak:
العبرة بكمال النهاية لا بنقص البداية
"Apa yang penting adalah pengakhiran yang sempurna, bukan permulaan yang serba kekurangan."
#Kita berada di penghujung Ramadhan, maka jika kita rasa ada banyak kekurangan pada separuh pertama dan kedua Ramadhan, maka jangan risau dan bersedih kerana kita masih boleh memaksimumkan amal ibadah kita di saat-saat akhir ini. Kita manfaatkan sebaiknya supaya kita dapat mengakhiri Ramadhan dengan lebih sempurna dan berpuas hati.
#Maka maksimumkan amal ketaatan bukan hanya pada waktu malam, usahakan sehabis baik juga di waktu siang hari. Bersungguhlah dalam beribadah pada hari terakhir Ramadhan meliputi siang hari dan juga malam hari. Ia tidak terhad dengan kesungguhan ibadah pada malam hari sahaja.
#Ketika mengulas berkenaan lailatul qadar, Imam Al-Sya’bi rahimahullah berkata:
ليلُها كنهارِها
"Malam harinya adalah sama seperti siang harinya".
#Imam as-Syafi’e rahimahullah berkata:
أَستَحِبُّ أن يكونَ اجتهادُهُ في نهارها كاجتهادِهِ في ليلها
"Aku galakkan untuk kesungguhan seseorang (dalam beribadah) pada waktu siangnya adalah sama dengan kesungguhannya beribadah pada waktu malamnya"
#Berkata al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah:
وهذا يقتضي استحباب الاجتهادِ في جميع زمان العَشْر الأواخر، ليلِه ونهارِه، والله أعلم
"Ini membawa kepada galakan untuk bersungguh (dalam beribadah) pada keseluruhan waktu dalam 10 hari terakhir Ramadhan, malamnya dan juga siang harinya, wallahua’lam" (Lihat: Lata’if al-Ma’arif)
#Disamping kita menunaikan solat terawih, witir, tahajud, taubat di waktu malam, maka di siang hari boleh dimanfaatkan dengan solat sunat dhuha, solat tasbih, solat sunat mutlak dan memperbanyakkan membaca al-Quran.
#Antara amalan ringan yang menjanjikan pahala besar seperti membaca 100 ayat al-Quran pada waktu malam. Diriwayatkan oleh Sayidina Tamim ad-Dari r.a:
من قرأَ بمئةِ آيةٍ في ليلةٍ كُتبَ له قنوتُ ليلةٍ
"Sesiapa yang membaca 100 ayat (al-Quran) pada suatu malam, dituliskan baginya pahala qiyam (solat) sepanjang malam." (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad. Dinilai hasan oleh Syaikh Syu'aib Al-Arna'uth)
*Maka boleh dibaca Surah al-Fatihah (7 ayat) dan Surah al-Waqi’ah (ada 96 ayat), maka melebihi 100 ayat.
#Untuk mengekalkan momentum semangat beramal, maka dampingilah orang-orang soleh, sahabat-sahabat seqiyamullail, rakan-rakan tadarus, kawan-kawan kebajikan, sahabat yang pemurah dan ahli-ahli masjid agar kita sentiasa berada dalam suasana bersemangat untuk beribadah dan berjemaah.
#Ambillah manfaat daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Abdullah Ibnu ‘Abbas r.huma: "Nabi saw merupakan manusia paling pemurah dalam melakukan kebaikan. Keadaan paling pemurahnya Rasulullah saw adalah dalam bulan Ramadhan ketika Sayidina Jibril Alaihissalam bertemu dengan Baginda saw" (HR al-Bukhari)
#Syaikh Jamaluddin Al-Qasimi berkata: "Pada hadis ini terdapat faedah, bahawa berdamping dengan orang-orang soleh itu memberi kesan kepada agama seseorang. Sehingga para ulamak berkata: Pertemuan dengan orang-orang baik itu dapat menghidupkan jantung hati" (Lihat: Al-Fadl Al-Mubin)
♡Kekalkan semangat beribadah di siang dan malam akhir-akhir Ramadhan dengan bersungguh-sungguh tanpa kelekaan, kemalasan dan kelalaian. Moga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada kita untuk meneruskan ketaatan kepadaNya. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment