☆Tadabbur Kalamullah 11 Zulkaedah 1446H☆
وَمِن وَرَاۤىِٕهِم بَرۡزَخٌ إِلَىٰ یَوۡمِ یُبۡعَثُونَ
"Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)" [Surah al-Muʾminūn 100]
#Menurut Imam al-Qurtubi rahimahullah: "Bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan" (Lihat: Tafsir al-Qurtubi)
#Barzakh dari sudut istilah ialah pendinding (hijab) yang terdapat di antara orang mati dan orang hidup. Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali ke dunia. Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga hari Kiamat.
#Jadi, alam barzakh ialah alam yang terdapat di antara dunia dan akhirat. Alam ini boleh dikatakan sebagai tempat sementara penghuni dunia untuk sampai ke hari Kiamat.
#Kehidupan di barzakh berbeza bagi seorang mukmin dengan seorang kafir. Yang pasti apabila seseorang manusia itu beriman kepada Allah swt dan mati dalam keadaan tersebut, maka dia akan mendapat kenikmatan di dalam kubur sebelum kenikmatan di Syurga.
#Daripada Masruq rahimahullah berkata:
عن مسروق قال: ما من شيء خير للمؤمنين: من لحد، قد استراح من هموم الدنيا، وأمن من عذاب الله.
"Tidak ada perkara yang memberi banyak kebaikan bagi orang mukmin melainkan liang lahad (kematian). Kerana di situ dia berasa bebas daripada kesibukan dunia serta dia berasa aman daripada azab Allah swt" (Lihat: Hilyatul Awliya', Abu Nuaym Ahmad Isfahani )
#Manakala, apabila seseorang manusia kufur kepada Allah swt dan mati dalam keadaan tersebut, maka dia akan mendapat azab di dalam kubur sebelum azab yang berkekalan di akhirat kelak.
فَوَقَىٰهُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِ مَا مَكَرُوا۟ ۖوَحَاقَ بِـَٔالِ فِرْعَوْنَ سُوٓءُ ٱلْعَذَابِ * ٱلنَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا ۖ وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدْخِلُوٓا۟ ءَالَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ ٱلْعَذَابِ
"Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" [Surah Ghafir 45-46]
#Daripada Sayidina Abu Qatadah bin Rib’i al-Anshari r.a, beliau meriwayatkan bahawa suatu hari dibawa satu jenazah dihadapan Baginda saw, lalu baginda bersabda: "Orang yang berehat dan orang lain berehat daripadanya". Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah maksud orang yang berehat dan orang lain berehat daripadanya?". Baginda menjawab: "Seorang hamba yang beriman akan berehat daripada kepenatan dunia dan kesusahannya menuju rahmat Allah swt. Manakala hamba yang ingkar pula, yang mana orang lain, negeri, pokok-pokok dan binatang-binatang berehat daripadanya (kejahatannya)"
(HR al-Bukhari dan Muslim)
#Terdapat satu kisah masyhur, Sayidina Uthman Ibn Affan r.a berjalan melintasi sebuah kawasan perkuburan.
Tiba-tiba beliau berhenti melangkah dan terdiam, kemudian air matanya mengalir sehingga membasahi janggutnya.
Melihat Sayidina Uthman menangis teresak-esak di tepi kubur itu, seorang sahabat bertanya: "Wahai Amirul Mukminin, engkau selalu menyebut syurga dan neraka serta segala penderitaan di hari akhirat, tetapi aku tidak pernah melihat engkau menangis semasa engkau memperkatakannya. Tetapi, hari ini apabila engkau berjalan di tepi kuburan, engkau menangis. Apa sebabnya wahai Amirul Mukminin?"
Sayidina Uthman menjawab: Kerana Nabi saw pernah bersabda: "Kubur ini tempat pertama dari tempat-tempat akhirat dan tempat terakhir dari tempat-tempat dunia. Sesiapa yang selamat dari kubur itu, maka apa yang sudahnya adalah lebih ringan. Dan sesiapa yang tidak selamat darinya, maka apa yang berlaku sesudahnya akan lebih berat lagi" (HR at-Tirmizi)
♡Moga kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang dapat berehat dengan aman di alam barzakh nanti. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment