Friday, 16 May 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 19 Zulkaedah 1446H☆


وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ یَعِظُهُۥ یَـٰبُنَیَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِیمࣱ 


Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar" [Surah Luqman 13]


#Menurut Syeikh Mutawalli Sya’rawi, nasihat ialah memberi peringatan tentang maklumat yang telah diketahui sebelum ia dilupakan atau terlupa. Jadi, nasihat bukan menyampaikan maklumat yang baru tetapi mengingatkan apa yang telah diketahui sebelumnya. Nasihat berbeza dengan mengajar. Menasihati anak bererti mengingatkannya tentang apa yang telah dipelajarinya. 


#Antara peranan ayah dan juga ibu adalah menasihati anak.

Selain menasihati, ibu bapa juga berperanan sebagai guru dalam memberi tunjuk ajar kepada anak-anak mereka. Untuk mengajar, mungkin ayah dan ibu sendiri yang mengajar atau pihak lain kerana untuk mengajar, seseorang perlu ada ilmu. Namun untuk menasihati, maka sesiapa sahaja boleh menasihati atau memberi peringatan. 


#Adakalanya ibu bapa tidak mempunyai ilmu dalam semua bidang untuk mengajar anaknya. Maka guru yang mahir dan mendalam ilmunya diperlukan untuk mengajar anak mereka.


#Perkataan memberi nasihat dalam ayat diatas didatangkan dengan menggunakan perkataan fi’il mudhari’ (menunjukkan sesuatu yang telah berlaku tapi masih belum sempurna, sebaliknya masih terus berlaku). Ini menunjukkan nasihat diberikan secara berterusan, bukan pada satu masa tertentu sahaja. Ia berlaku sepanjang masa. Inilah yang dituntut oleh Allah swt dalam al-Quranul Karim. 


#Allah swt menceritakan bahawa Nabi Yaakub Alaihissalam menasihati anak-anaknya hingga ke saat akhir hayatnya. Firman Allah swt:


أَمۡ كُنتُمۡ شُهَدَاۤءَ إِذۡ حَضَرَ یَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِیهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِیۖ قَالُوا۟ نَعۡبُدُ إِلَـٰهَكَ وَإِلَـٰهَ ءَابَاۤىِٕكَ إِبۡرَ ٰ⁠هِـۧمَ وَإِسۡمَـٰعِیلَ وَإِسۡحَـٰقَ إِلَـٰهࣰا وَ ٰ⁠حِدࣰا وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ 


"(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)" [Surah al-Baqarah 133]


#Ketahuilah bahawa nasihat paling penting ialah, 'jangan mempersekutukan Allah kerana perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar'. Allah adalah Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, yang memberi rezeki dan mentadbirkan semua urusan mereka. Maka tidak syak lagi Dialah satu-satu yang wajib disembah dan ditaati. Menyembah selain Allah swt dikatakan sebagai satu kezaliman yang besar kerana mereka tidak ada peranan langsung dalam mencipta, memberi rezeki dan mentadbir urusan alam ini walau sekelumit pun.


#Menasihati anak secara berterusan dalam mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah swt merupakan satu perkara yang bernilai disisi Allah swt sehingga Allah merakam dan mengabadikan kisah nasihat Luqman al-Hakim di dalam kalamNya yang mulia. 


♡Jangan sekali-kali kita memandang ringan ketika kita menasihati anak. Ingat! Allah memerhati dan menghargainya sebagaimana Dia menghargai nasihat Luqman al-Hakim♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...