Thursday, 29 May 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 2 Zulhijjah 1446H☆


وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَیۡءࣲ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَ ٰ⁠لِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَ ٰ⁠تِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِینَ 


"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" [Surah al-Baqarah 155]


#Antara sebab manusia diuji oleh Allah swt ialah:


1. Allah menguji untuk menaikkan darjat kita.

2. Allah menguji untuk membimbing hati kita.

3. Allah menguji kerana untuk mengampunkan dosa-dosa kita.

4. Allah menguji kerana menghukum dan sayangkan kita. 


#Apabila Allah menguji, kita hanya ada dua pilihan, sabar dan redha atau sebaliknya. Sabda Rasulullah saw:


"Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya" (HR Muslim)


#Jika kita bersabar dan redha dengan ujian Allah, maka Allah akan menaikkan darjat kita di sisiNya. Darjat ini tidak akan nampak pada mata kasar, seperti darjah kebesaran diRaja. Tetapi kesannya boleh dilihat dengan mata. Contohnya, jika orang itu sabar dan redha, kita akan nampak orang ini tenang dan boleh uruskan masalah dengan tersusun. Mukanya akan sentiasa senyum sahaja dan tidak mengeluh. 


#Tetapi jika sebaliknya, iaitu tidak sabar dan redha, kita akan nampak orang yang diuji itu serba tidak kena, cakap pun mencarut dan memaki hamun sahaja. Kemudian menyalahkan ramai orang. Lagi bahaya dia menyalahkan takdir Allah swt.


#Sebab itu para ulamak apabila bercerita tentang sabar, mereka akan mengaitkan dengan akhlak. Contohnya, Imam Syeikh Junaid al-Baghdadi bila ditanyakan tentang sabar, beliau menjawab: "Menelan kepahitan tanpa bermasam muka". 

           

#Manakala Imam Ahmad al-Jariri rahimahullah pula menyebut tentang sabar:


"Sabar adalah tidak memisahkan antara kenikmatan dan ujian dengan pemikiran yang tenang, sedangkan yang dimaksudkan penerimaan sabar adalah tenang menghadapi ujian dengan merasakan beratnya ujian". 

 

#Imam Ruwaim rahimahullah pula menyebut: "Sabar ialah meninggalkan keluhan". 


#Fahamlah Kita bahawa Allah swt menguji kita untuk membezakan antara orang yang benar-benar beriman dengan mulut, hati dan amal (termasuk orang yang sabar) dengan orang yang hanya pandai bercakap sahaja. Bila diuji, hilang iman dan pertimbangannya, bahkan menyalahkan Allah swt. 


أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن یُتۡرَكُوۤا۟ أَن یَقُولُوۤا۟ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا یُفۡتَنُونَ * وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَیَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ صَدَقُوا۟ وَلَیَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِینَ 


"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu" [Surah al-ʿAnkabūt 2-3]


♡Orang yang benar imannya ialah mereka yang tenang redha jika beroleh nikmat dan tenang redha juga ketika beroleh musibah♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Doa Ketika Ziarah Pesakit عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَس...