Bayangkan dunia di mana manusia tidak lagi jatuh sakit dan boleh hidup selama-lamanya. Itulah ramalan berani Ray Kurzweil, bekas jurutera Google yang juga dikenali sebagai salah seorang futuris paling berpengaruh di dunia. Menurutnya, manusia mungkin capai tahap ‘kehidupan kekal’ seawal tahun 2030.
Kurzweil bukan calang-calang tokoh. Daripada 147 ramalannya terdahulu, beliau mendakwa 86 peratus telah menjadi kenyataan, termasuk kemenangan komputer IBM Deep Blue ke atas juara catur dunia Garry Kasparov pada 1997, tiga tahun lebih awal daripada jangkaannya.
Dalam bukunya The Singularity Is Near yang diterbitkan pada 2005, Kurzweil meramalkan teknologi akan berkembang dengan sangat pesat sehingga nanobot, iaitu robot kecil dalam tubuh manusia, boleh membaiki sel rosak, melambatkan penuaan dan melindungi kita daripada penyakit. Inilah yang membuka kemungkinan hidup tanpa had usia.
Beliau turut percaya menjelang 2029, kecerdasan buatan (AI) akan menyamai keupayaan otak manusia dan pada 2045, gabungan manusia dan AI akan meningkatkan keupayaan pemikiran jauh melebihi tahap biasa.
Konsep ini dikenali sebagai singularity, iaitu saat di mana kecerdasan mesin mengatasi manusia. Beberapa tokoh lain seperti Masayoshi Son, CEO SoftBank, turut menyokong kemungkinan ini berlaku sekitar pertengahan 2040-an.
Namun, tidak semua bersetuju. Elon Musk antara tokoh yang memberi amaran bahawa pembangunan AI kini bergerak terlalu pantas tanpa kawalan sewajarnya.
Walau apa pun, idea hidup kekal tanpa penyakit terus mengundang persoalan besar. Adakah ia gambaran masa depan yang bakal menjadi kenyataan atau sesuatu yang masih jauh dari jangkauan teknologi manusia hari ini?@💝
No comments:
Post a Comment