Tuesday, 3 June 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 7 Zulhijjah 1446H☆


فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ 


"Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)" [Surah al-Kawthar 2


#Amalan korban merupakan salah satu daripada ibadah yang disyariatkan oleh Allah swt berdasarkan firman Allah swt diatas dan melalui beberapa hadis Nabi saw. 


#Antara hadis Rasulullah saw berkenaan ibadah korban 

berdasarkan riwayat daripada Sayidina Ibn Umar r.huma:


"Rasulullah saw menetap di Madinah selama 10 tahun dan Baginda mengerjakan ibadah korban" (HR Ahmad dan at-Tirmizi)


#Ibadah korban merupakan salah satu ibadah yang utama yang dianjurkan oleh Rasulullah saw untuk dilaksanakan pada hari raya Korban.


#Diriwayatkan daripada Sayidina Jabir bin Abdullah r.a:


"Aku berada bersama Rasulullah saw ketika Hari Raya Korban di masjid. Selepas Baginda saw menghabiskan khutbahnya, lalu Baginda saw turun dari mimbar dan pergi mendapatkan kibasy kemudian menyembelihnya sendiri sambil berkata: Bismillah Allahu Akbar. Sembelihan ini ialah untuk diriku dan untuk mereka yang tidak dapat melakukan korban daripada umatku" (HR Abu Daud)


#Hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut) berdasarkan hadis daripada Rasulullah saw. Ia merupakan salah satu daripada syiar agama ini dan juga bertujuan menzahirkan tanda kasih sayang, kemuliaan, kegembiraan bagi ramai manusia.


#Ibadah korban dituntut secara sunat kifayah bagi sebuah isi rumah. Jika salah seorang ahli keluarga melaksanakannya, maka telah memadai untuk satu keluarga tersebut. Contohnya, si ayah boleh melaksanakan korban untuk diri sendiri, isteri dan anak-anak selagi mana tinggal dalam satu rumah yang sama. Begitu juga, ibadah ini boleh dilaksanakan secara berasingan bagi setiap individu dan keluarga.


#Ibadah korban disyariatkan kepada golongan yang mempunyai lebihan harta sebanyak nilaian harga haiwan korban untuk keperluan dirinya 

dan keperluan orang di bawah tanggungannya. Seseorang hendaklah mempunyai lebihan harta pada hari Aidul Adha dan tiga hari Tasyriq (iaitu pada hari bulan 11, 12, 13 daripada bulan Zulhijjah). Empat hari ini merupakan hari yang disyariatkan untuk menjalankan ibadah korban. 


#Adapun seorang fakir yang hanya mempunyai harta yang mencukupi untuk dirinya pada hari-hari tersebut maka tidak dituntut untuk menjalankan ibadah korban kerana tujuan sesuatu syariat adalah untuk 

mengangkat kesulitan. Apabila suatu suruhan dikaitkan dengan harta seperti ibadah korban ini, maka yang dituntut hanya kepada orang mampu sahaja.


#Terdapat golongan yang berada dalam keadaan susah dan tidak mampu untuk melaksanakan ibadah korban, kemudian merasa sedih kerana tidak dapat melakukan ibadah korban. Ini adalah suatu perbuatan yang salah. Hal ini kerana, ibadah korban adalah sunnah bukannya wajib.


#Ibadah korban menzahirkan makna itsar iaitu mendahulukan orang lain atas dirinya dengan memberikan kepada fakir sembelihan yang terbaik. Bahkan disunatkan kepada peserta korban untuk memberikan sebahagian besar daging dan hanya mengambil sebahagian kecil untuk dirinya. 


لَن تَنَالُوا۟ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَیۡءࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ


"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" [Surah Āli-ʿImrān 92]


♡Jom laksanakan ibadah korban. Moga diterima ibadah korban kita dan dikurniakan pahala yang besar serta beroleh ganjaran syurgaNya kelak. Aamiiin♡


🐊Ust Naim

*Telegram Channel*

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


*Facebook Page:*

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah




No comments:

Post a Comment

  PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS Doa Apabila Sakit  عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: أَنَّهُ...