☆Tadabbur Kalamullah 8 Zulhijjah 1446H☆
وَلَیَالٍ عَشۡرࣲ
"Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)" [Surah al-Fajr 2]
#Saat ini, kita masih berada pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah dan umum mengetahui akan kelebihan 10 hari terawal ini, yang mana ia merupakan di antara hari-hari yang paling disukai serta dicintai oleh Allah swt bagi orang yang melakukan amal soleh padanya.
#Hari kelapan Zulhijjah dinamakan sebagai hari Tarwiyah. Makna Tarwiyah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya mempunyai dua sebab penamaan hari tersebut dengan hari Tarwiyah:
1. Para jemaah haji setelah berihram akan menuju ke Mina untuk bermalam. Ini kerana, pada keesokan harinya, mereka akan menuju ke Arafah. Ketika di Mina, para jemaah ini mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah. Mempersiapkan air ini diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون).
2. Selain itu, dinamakan juga dengan “Tarwiyah” adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim Alaihissalam telah bermimpi buat kali yang pertama daripada Allah swt agar menyembelih anaknya Nabi Ismail Alaihissalam. Seharian Baginda Alaihissalam berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada Allah swt atau daripada syaitan. Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah di antara sebab 8 Zulhijjah dinamakan dengan hari Tarwiyyah. (Lihat: al-Mughni)
#Berkaitan kelebihan hari ke-8 Zulhijjah ini, terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa berpuasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa selama setahun. Manakala berpuasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan dosa selama dua tahun.
صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ
"Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun" (HR ad-Dailami)
#Hadis ini diriwayatkan oleh Imam ad-Dailami di dalam kitabnya Musnad al-Firdaus. Para ulamak berbeza pandangan dalam menilai hadis ini. Sebahagian mereka menilai status hadis ini adalah dhaif sebagaimana yang dinilai oleh Imam al-Suyuthi dan juga Imam al-Busiri. Sebahagiannya memalsukan hadis ini.
#Sebahagian ulamak yang menilai hadis ini sebagai dhaif telah menjadikan hadis ini sebagai dalil terhadap kelebihan berpuasa pada hari Tarwiyah. Ini kerana, sebahagian ulamak membenarkan seseorang untuk beramal dengan hadis yang dha’if (lemah) di dalam bab fadhail al-A’mal selagimana ia tidak berkaitan dengan permasalahan aqidah atau hukum.
#Selain itu, ia termasuk di dalam umum hadis yang menceritakan akan kelebihan melakukan amal soleh pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah dan ia juga termasuk di dalam kelebihan beramal dan galakan berpuasa pada bulan-bulan Haram.
♡Banyakkan beramal soleh di sepanjang bulan Zulhijjah ini. Semoga Allah swt menerima segala amal soleh yang kita lakukan pada hari-hari yang dicintai oleh Allah swt ini. Aamiin♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment