☆Tadabbur Kalamullah 8 Zulkaedah 1446H☆
وَجِا۟یۤءَ یَوۡمَىِٕذِۭ بِجَهَنَّمَۚ یَوۡمَىِٕذࣲ یَتَذَكَّرُ ٱلۡإِنسَـٰنُ وَأَنَّىٰ لَهُ ٱلذِّكۡرَىٰ
"Serta diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya?" [Surah al-Fajr 23]
#Ayat ini menyatakan bahawa akan ditunjukkan kepada manusia neraka jahanam. Neraka akan ditarik dan dipertunjukkan kepada manusia di Mahsyar kelak. Neraka yang amat berat itu akan ditarik dengan beribu-ribu malaikat dan ditarik dengan menggunakan rantai.
#Sayidina Abdullah Ibnu Masud r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:
يُؤْتَى بِجَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لَهَا سَبْعُونَ أَلْفَ زِمَامٍ، مَعَ كُلِّ زِمَامٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَك يَجُرُّونَهَا
"Neraka Jahannam pada hari itu didatangkan dengan tujuh puluh ribu tali kekang yang masing-masing tali kekang dipegang oleh tujuh puluh ribu malaikat yang menariknya" (Sahih Muslim)
#Mereka Akan melihat kedahsyatan kemarahan neraka sehingga mendidih dengan hebatnya. Firman Allah swt:
إِذَا رَأَتۡهُم مِّن مَّكَانِۭ بَعِیدࣲ سَمِعُوا۟ لَهَا تَغَیُّظࣰا وَزَفِیرࣰا
"Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh" [Surah al-Furqān 12]
#Dan pada hari itu manusia semuanya akan ingat segala apa yang telah mereka lakukan semasa di dunia dahulu. Selama didunia pelbagai peringatan telah diberikan namun mereka tidak mahu terima, tidak peduli dan pandang sebelah mata, tetapi apabila di Mahsyar nanti, mereka akan ingat semuanya.
#Kalimah يَتَذَكَّرُ maksudnya manusia akan ingat seluruhnya, dengan terperinci. Ini semua akan terjadi selepas mereka sudah melihat neraka yang sangat menakutkan dan mengerikan. Pada waktu itu mereka mula hendak insaf. Mula menyesal. Mula ingin jadi baik. Mula ingin menjadi manusia yang soleh, yang alim, yang kuat beramal, yang banyak bersedekah, banyak kuat baca Quran, yang sentiasa ulang alik ke masjid, yang ingin berjihad di jalan Allah, yang suka berkebajikan dan segala kebaikan ingin dilakukan. Manusia memang selalu lupa kesalahan yang telah dilakukannya, tetapi nanti di akhirat mereka akan ingat semuanya sekali. Ingat segalanya yang mereka lakukan sepanjang hidup didunia.
#Namun, ingatan mereka itu sudah tidak berguna lagi. Sudah sangat terlambat untuk melakukan apa-apa amal lagi. Sudah tiada peluang kedua. Saat itu baru hendak beriman, maka tidak dapat menyelamatkan mereka. Tidak berguna lagi walaupun iman mereka lebih hebat dari iman orang lain waktu itu. Masa beramal telah pun berlalu. Di akhirat adalah masa untuk hasil daripada amal terdahulu didunia. Ini hanya menjadi penyesalan yang tiada kesudahan. Lalu mereka berkata:
یَقُولُ یَـٰلَیۡتَنِی قَدَّمۡتُ لِحَیَاتِی
Ia akan berkata: "Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!" [Surah al-Fajr 24]
#Mereka berkata sedemikian kerana sudah tahu yang nasibnya sudah celaka. Tidak ada harapan untuk balik ke dunia untuk memperbaiki amalannya lagi. Mereka amat menyesal kerana dahulu mereka sibuk kumpul harta, mencari kedudukan, berebut jawatan, mencari populariti, menambah pengaruh dan sibuk segala hal untuk dunia semata-mata, tetapi di Mahsyar kelak mereka sudah tahu yang kehidupan dunia tidak ada apa pun, tidak ada nilai langsung.
#Begitulah sepatutnya kita menabung untuk kehidupan yang sebenarnya, iaitu di akhirat kelak. Iaitu dengan menghantar amal baik untuk menunggu di akhirat kelak. Tetapi malangnya kebanyakan manusia sibuk mengumpul segalanya untuk dunia mereka sahaja.
♡Beramallah sebelum menyesal. Menyesal di akhirat tiada gunanya. Bahkan bakal di azab dengan dahsyatnya. Bertaubat dan beramallah sebelum terlambat!!♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment