☆Tadabbur Kalamullah 28 Zulhijjah 1446H☆
ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ یَوۡمَىِٕذٍ عَنِ ٱلنَّعِیمِ
"Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!" [Surah at-Takāthur 8]
#Ayat ini tersangat sering kita baca atau kita dengar. Terdapat 1001 keinsafan dan pengajaran yang boleh kita hayati dan jadikan pedoman hidup jika benar-benar ditelusuri dan difahami.
#Berkaitan ayat ini, terdapat sebuah riwayat, disebutkan bahawa Baginda Rasulullah saw sering dilanda rasa lapar kerana sering kali baginda tidak mendapati makanan di rumahnya. Ketika tidak ada makanan di rumah baginda, maka baginda pun berpuasa. Baginda saw tidak sedih atau resah gelisah kerana 'musibah' rasa lapar itu. Ketika mana ada sahabat yang mengirim kurma kepada baginda saw, Baginda bukannya bergembira, malah kelihatan sedih dan resah seraya mengingatkan kembali ayat di atas.
#Begitulah sikap Rasulullah saw ketika mendapatkan nikmat. Mengapa? Ini kerana ianya terkait dengan nikmat yang Allah berikan kepada manusia, sekecil apa pun akan diminta pertanggungjawapan. Sekecil mana pun akan ditanya dan dihisab di mahsyar kelak. Nikmat yang dimaksudkan tentu sahaja berkaitan seluruh kelazatan dunia. (Lihat: as-Suyuthi, Durr al-Mantsur)
#Namun, hal ini jauh berbeza antara kita dengan Baginda Rasulullah saw. Kita seringkali teramat sedih saat kenikmatan terlepas atau hilang dari diri kita. Sebaliknya, kita terlalu bergembira ketika mana kenikmatan itu datang menghampiri kita. Kita lupa bahawa seluruh kenikmatan itu kita akan diminta pertanggungjawapan di akhirat kelak. Kita akan ditanya dan disoal dengan sedetailnya tentang nikmat yang kita peroleh.
#Baginda Rasulullah saw sering mengingatkan kita tentang nikmat yang akan dipersoalkan. Diriwayatkan daripada Sayidina Abdullah bin Masud r.a, Nabi saw bersabda: “Kaki anak Adam tidak akan bergerak di hadapan Rabbnya pada hari kiamat nanti sebelum ditanya tentang lima perkara, iaitu tentang umurnya bagaimana ia lalui, masa mudanya bagaimana ia habiskan, hartanya dari mana ia dapatkan dan ia belanjakan, serta tentang apa yang telah ia amalkan dari ilmu yang ia miliki" (HR at-Tirmizi)
#Dalam hadis yang lain Sayidina Abdullah bin Abbas r.a saw disebutkan bahawa Baginda Rasulullah saw bersabda: "Ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat sihat dan waktu lapang" (HR al-Bukhari)
#Sejauh mana kesihatan dan waktu lapang itu kita manfaatkan, apakah untuk kebaikan atau keburukan? Apakah untuk memperbanyakkan amal soleh atau amal salah? Apakah untuk taat atau untuk maksiat?
#Bagaimana pula dengan nikmat harta? Sedikitnya harta kita, ia tetap akan dipersoalkan dan diminta pertanggungjawapan, dari mana peroleh dan untuk apa dibelanjakan? Apalagi jika harta kita melimpah, tentu akan lebih banyak lagi pertanyaan Allah swt kepada kita pada hari akhirat kelak.
♡Selamat bermuhasabah dan menyediakan jawapan untuk menjawab segala persoalan dihadapan Allah swt nanti. Moga Allah merahmati kita semua. Aamiiin♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment