☆Tadabbur Kalamullah 5 Zulhijjah 1446H☆
وَٱلۡعَصۡرِ * إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِی خُسۡرٍ * إِلَّا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلصَّبۡرِ
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar" [Surah al-ʿAṣr 1-3]
#Dalam al-Quran, Allah swt banyak bersumpah dengan masa sebagai peringatan betapa pentingnya masa kepada kita.
#Selain itu, Allah swt juga sering menggambarkan kepentingan masa dengan menyebut demi waktu Dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi, Dan siang apabila ia mulai terang dan pelbagai lagi ayat-ayat yang lain.
#Imam Fakhruddin ar-Razi ketika mentafsirkan surah al-Asr berkata: "Seolah-olah Allah swt bersumpah bahawa masa dan waktu itu adalah nikmat yang berhasil, tiada aib padanya, hanyasanya yang rugi dan aib itu adalah manusia" (Lihat: Tafsir al-Kabir)
#Ingatlah masa itu ibarat emas. Ungkapan ini biasa disebut-sebut bagi menggambarkan betapa masa itu sangat berharga. Ini kerana perkara yang paling berharga setelah memiliki iman dan islam dalam diri adalah masa. Orang yang bijak adalah orang yang menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.
#Saat ini, anak-anak kita berada dalam suasana musim cuti sekolah. Cuti sekolah sekitar 12 hari termasuk hari raya korban.
#Oleh itu, Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak tidak leka dan mensia-siakan masa lapang yang amat berharga dengan melepak, melayan drama atau cerita di televisyen, bermain game, berseronok, berhibur atau dihabiskan masa dengan tidur sahaja.
#Ibu bapa perlu manfaatkan cuti sekolah ini dengan perkara yang bermanfaat buat anak-anak agar masa cuti ini tidak dihabiskan dengan sia-sia.
#Sabda Nabi saw: "Dua nikmat yang sering memperdaya manusia: Kesihatan dan kelapangan masa" (HR al-Bukhari)
#Maka, libatkan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti masjid seperti solat berjemaah, kelas pengajian, hafazan al-Quran, kelas-kelas fardu ain, smart solat, daurah-daurah dan sebagainya.
#Selain itu, bawa anak berehlah dan berkelah. Dengan kata lain melancong atau berkelah ke mana-mana destinasi. Melalui aktiviti ini, ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengenali dunia luar sekali gus melihat keindahan alam ciptaan Allah swt.
#Jika terdapat mana-mana badan atau agensi mengadakan Kem Cuti Sekolah, maka masukkan anak-anak menyertai kem tersebut. Program ini biasanya memuatkan pelbagai aktiviti yang berasaskan motivasi pembinaan dan pembangunan serta sahsiah diri, kerohanian, akhlak dan ibadah dan seumpamanya. Di samping mendapat ilmu, pengalaman dan mengenali rakan-rakan baru.
#Selain itu, bawalah anak-anak menziarahi keluarga terdekat dan jauh supaya dapat mengenali dan eratkan hubungan kekeluargaan serta mengukuhkan hubungan silaturrahim sesama kaum kerabat dan saudara mara.
♡Penuhilah masa yang dikurniakan Allah dengan perkara yang boleh mendatangkan pahala dan keberkatan♡
🐊Ust Naim
*Telegram Channel*
Klik link ini untuk join:
http://bit.ly/tadabburkalamullah
*Facebook Page:*
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
No comments:
Post a Comment