Thursday, 17 July 2025

 ☆Tadabbur Kalamullah 22 Muharram 1447H☆


وَلَوۡ أَنَّ لِكُلِّ نَفۡسࣲ ظَلَمَتۡ مَا فِی ٱلۡأَرۡضِ لَٱفۡتَدَتۡ بِهِۦۗ وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّدَامَةَ لَمَّا رَأَوُا۟ ٱلۡعَذَابَۖ وَقُضِیَ بَیۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِ وَهُمۡ لَا یُظۡلَمُونَ 


"Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah ia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu" [Surah Yūnus 54]


#Zalim adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Terdapat banyak jenis kezaliman. Ada kezaliman yang dilakukan terhadap Allah swt. Ada kezaliman yang dilakukan terhadap diri sendiri, dan ada yang dilakukan terhadap orang lain. 


#Zalim yang paling besar adalah zalim terhadap Allah swt iaitu dengan melakukan syirik. Ia dianggap sebagai zalim kerana tidak meletakkan Allah swt pada kedudukan yang sepatutnya dan juga kerana mengurangkan hak Allah swt. Akan tetapi maksud zalim dalam ayat ini adalah dalam bentuk yang umum yang merangkumi semua kezaliman di mana kita tidak memberikan hak kepada manusia lain.


#Allah swt mengatakan 'kalaulah mereka yang zalim itu mempunyai harta sebesar bumi ini', namun begitu tentulah mustahil untuk seorang individu memiliki semua harta di dalam dunia ini. Maka ayat ini hanyalah berbentuk gambaran perumpamaan sahaja.

Apakah yang mereka akan lakukan kalau mereka ada harta sebanyak itu?


#Allah swt menjelaskan bahawa mereka akan sanggup untuk memberikan kesemua sekali harta mereka untuk menebus diri mereka daripada diazab oleh Allah swt. Biar tidak tinggal sedikit pun harta yang banyak itu asalkan mereka selamat. Saat melihat kedahsyatan dan kengerian azab, mereka langsung sudah tidak mahukan lagi harta itu. 


#Ini adalah kerana mereka telah melihat sendiri dengan mata kepala mereka bagaimana hebat dan sengsaranya Hari Kebangkitan itu sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Nabi saw, para ulamak dan pendakwah. Dahulunya mereka tidak percaya, memandang itu hanya penipuan daripada pendakwah, hanya cerita dongeng lalu buat endah tak endah sahaja. 


#Maka saat di Mahsyar, mereka sudah tahu bahawa mereka tidak akan selamat. Mereka tahu yang mereka akan diazab. Hal ini juga Allah swt sebut dalam firmanNya pada Surah az-Zumar ayat 47. 


#Yang penting dan yang boleh menyelamat manusia pada waktu itu adalah iman. Ini bermakna iman yang ada pada kita lebih berharga dan lebih besar nilainya daripada dunia ini keseluruhannya. Akan tetapi oleh kerana terlalu sayangkan harta dunia yang tidak bernilai ini, manusia telah meninggalkan iman mereka. 


#Cinta kepada dunia inilah yang menyebabkan manusia melakukan berbagai-bagai dosa. Manusia sudah tidak kisah tentang agama. Dunia adalah segala-galanya. Bahkan mereka sangat sayang harta mereka serta tersangat bakhil lagi berkira-kira untuk digunakan dijalan kebajikan. 


#Namun apabila mereka melihat azab di depan mata mereka, mereka sanggup memberikan harta-harta mereka walaupun sebanyak dunia kerana pada waktu itu barulah mereka sedar bahawa harta itu sebenarnya tidak bernilai walaupun satu sen. Namun semuanya sudah terlambat. Yang ada hanya penyesalan dan kesengsaraan. 


♡Itulah akibatnya jika kita berlaku zalim terhadap orang lain. Maka hendaklah sentiasa beringat agar tidak menzalimi manusia lain apatah lagi jangan sesekali kita berlaku zalim terhadap Allah swt. Segala wang dan harta yang banyak di dunia langsung tidak berguna di akhirat kelak. Yang bernilai hanya iman dan amal soleh♡


🐊Ust Naim

Telegram Channel

Klik link ini untuk join:

http://bit.ly/tadabburkalamullah


Facebook Page:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah



No comments:

Post a Comment

  ☆Tadabbur Kalamullah 19 Rabiul Akhir 1447H☆ هَـٰۤأَنتُمۡ هَـٰۤؤُلَاۤءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِیمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلِمَ تُحَاۤجُّونَ فِیمَا...